Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.
Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Ads
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Ads
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Ads
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terkejut betul baca screenshot yang Peguam Syarie, Suriati Ab Ghani dari Mohamad Azlin & Suriati Associates ini kongsikan (rujuk gambar screenshot di bawah). Marah betul menantu dengan ibu mentuanya ini. Sehinggakan keluar bahasa ‘kasar’ yang tak sepatutnya ditulis. Dengan nada marah pulak semata mahu menyakitkan hati.
Tak semua mentua itu mahu meracun hubungan anak dan menantu. Ramai sebenarnya malah rata-rata mentua sekalipun mahu lihat anaknya hidup bahagia dengan pasangannya. Berkeluarga beranak cucu. Namun, bila ada segelintir yang bersikap sebegini, maka kisah mentua kejam dijaja bagaikan tiada indah pada pandangan mata.
Kredit foto : Cerekarama Racun Ibu
Rumah Tangga Pecah Belah Kerana Campur Tangan Mentua
Bila timbul isu rumah tangga pecah belah sebab campur tangan mentua, orang pun akan nampak mentua tak baik. Sibuk je nak masuk campur urusan rumah tangga anak menantu. Biarlah anak menantu tu bawa haluan rumah tangga mereka ke mana pun, kenapa nak sibuk-sibuk.
Ya betul.. satu part macam tu, memang tak dinafikan ada mentua yang sibuk dengan urusan rumahtangga anak menantu. Tapi ada juga menantu yang tak hormat mentua, hubungan tak baik dengan mentua. Malah, tak suka mentua, bersalam dengan mentua pun masa kahwin dulu je. Lepas tu dah tak nak balik langsung rumah mentua dah..
Ingat..kita pun akan tua, semakin hari umur kita semakin meningkat, anak kita juga semakin membesar & akan kahwin suatu hari nanti, kita juga akan dapat menantu yang mana kita nak menantu tu hormat kita sebagai mentua.
Sepatutnya kita yang muda pada masa ni patut merendah diri bertolak ansur, hormat mentua seperti ibu bapa kita sendiri, orang tua emosi dia lain, sensitif.. patut kita yang muda boleh kawal emosi & dapat berfikir dengan lebih baik berbanding dengan orang tua.
Untung Menantu Dapat Mentua Jenis Yang Memahami
Amat beruntung bagi sesiapa yang dapat mentua yang memahami, tak banyak cakap, tak sibuk masuk campur hal-hal kecil dalam rumahtangga anak menantu.. bersyukurlah, gunalah peluang tersebut untuk sayangi mentua, tackle hati & perasaan mereka.
Macam-macam kisah yang saya dengar & jumpa bila terlibat dengan isu masalah rumahtangga orang, bukan nak menangkan sesiapa, tapi bila dah bahasanya macam kat atas ni.. kita dah tau orang yang taipnya macam mana.. budi bahasa mencerminkan peribadi seseorang.
Jika marah sekalipun.. jika mertua tu salah sekalipun, tak perlu mencaci carut bagai macam tu terhadap orang tua.. macam tu ke bahasa ayah yang nak menjaga anak nanti.. ayah yang sepatutnya memberi didikan ilmu dunia & ilmu akhirat kepada anak.
Rupanya nak bahagiakan hati isteri ini paling mudah sangat wahai suami. Tak perlulah sampai nak keluar ribu-ribu ringgit belikan emas permata. (Tapi kalau dapat bagus juga..) Cuma perlukan beberapa ‘effort’ dari suami saja.
EFFORT tu dalam bahasa mudah orang perempuam seumpama keprihatinan suami pada kesusahpayahan isterinya. Ini yang diperjelaskan dengan mudah oleh BroOhsem, Akhtar Syamir 12 cara mudah suami boleh buat untuk bantu isteri.
Sebab, ada juga suami yang masih belum jelas. Katanya, dah tolong isteri, tapi di pihak isteri masih juga serba tak kena di mata. Itu yang ada suami sampai berkata-kata dalam hati, ‘apa lagi isteri aku nak?’
Haa.. ini yang BroOhsem ringkaskan. Paling mudah sangat ni suami nak faham, hadamkan siap-siap.
Ini 12 Cara Paling Mudah Bantu Isteri
Saya ringkaskan seringkas-ringkasnya cara nak bantu dan mudahkan urusan isteri untuk para suami buat.
1. Kalau tak nak basuh semua pinggan, basuh pinggan sendiri sahaja.
2. Kalau tak nak masak semua lauk, tolong masak nasi sahaja.
3. Kalau tak nak kemas meja sebelum makan, tolong susunkan pinggan dan lain-lain sebelum makan.
4. Kalau tak boleh tolong basuh baju, tolong letakkan pakaian sendiri dalam bakul baju kotor.
5. Kalau tak nak basuh tandas, bersihkan sepenuhnya selepas guna.
6. Kalau tak mampu nak lipat semua baju seluar, jangan sepahkan bila ambil pakaian sendiri.
7. Kalau tak nak mop semua lantai, jangan kotorkan atau lap terus bila tertumpahkan apa-apa.
8. Kalau tak rasa nak kemas satu rumah, jangan sepahkan ruang tamu.
9. Kalau rasa diri tak romantik, janganlah garang sangat.
10. Kalau nak yakinkan isteri yang anda tak curang, jangan kunci telefon.
11. Kalau tak sabar nak jaga anak, jangan marahkan isteri apabila dia marah anak. Itu adalah perkara yang normal dalam mendidik anak.
12. Kalau perlukan masa peribadi sendiri, beri juga masa peribadi untuk isteri.
Ringkas bukan? Ini benda yang paling minimum dan sangat mudah. Jika anda buat ini, saya pasti ramai isteri yang akan lebih tenang. Saya bukan cadangkan para suami buat semua benda ini sahaja, tetapi ini untuk yang baru nak bermula atau selama ini tertanya-tanya “apa lagi yang isteri aku nak?”
“Saya selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan, emas dan isu semasa. Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. Anda juga boleh berbual, bertanya pendapat dan berkongsi masalah atau apa-apa pun asalkan tidak berkenaan Poligami dan Politik.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Soal doa dan tutur kata, mak ayah kena hati-hati. “Bila bercakap jangan ikut lepas saja.’ Lagi-lagi tentang perkara negatif, fikir dahulu sebelum berkata-kata.
Bimbang jika perkara tak elok itu terjadi kepada anak-anak mak ayah asbab hanya dek kerana kata-kata sendiri. Ikuti perkongsian Azlan Noor ini dan hadam baik-baik iya.
Soal Doa & Tutur Kata
Satu hari Surihati tak sengaja tersebut sesuatu yang tidak sepatutnya kepada anak sulung kami. Saya terus tegur. Sebab saya tahu, kata-kata kita tuju kepada anak-anak juga adalah doa.
Dan doa seorang ibu ni sangat makbul. Tak boleh dibuat main.
Saya teringat kawan saya pernah cerita. Masa tu ada majlis di rumahnya. Saudara-mara berkumpul.
Apabila ramai macam itu, budak-budaklah paling seronok. Bermain bergurau dengan sepupu sepapat semua. Kawan saya cerita, masa tu la budak-budak dok berkejar turun naik tangga. Sekali dia perasan, anak dia ada sekali.
Mak Ayah Kena Hati-Hati
“Jangan berlari atas tangga tu. Jatuh karang. Boleh sakit nanti.”
Tak lama lepas keluar dari mulut dia tu,
“Gedebukkk!!”
Dengar bunyi datang dari tangga. Bergegas di pergi tengok. Dan betul sangkaan dia. Anak dia yang berlari di tangga tadi yang jatuh. Berdarah dahi, pecah bibir. Meraung la sekuat hati si anak tu.
“Masin betul mulut kita ni. Asal sebut je, senang sangat jadi.”
Kedengaran nada menyesal.
Betul suatu musibah atau kejadian tu, Allah dah tentukan qada dan qadar dia.
Cuma dalam soal doa dan tutur kata, mak ayah kena hati-hati. Ramai tak perasan benda ni. Terutama bila bercakap ikut lepas je. Tak ada istilah bergurau dalam soal ni. Lagi-lagi perkataan yang tak elok atau negatif.
Bila Bercakap
Bayangkan kata-kata negatif yang dituju kepada anak-anak. Saya pernah dengar orang maki anak depan- depan,
“Kau ni semua benda reti buat, tak boleh harap langsung.”
“Kalau sehari tak susahkan aku boleh tak? Tak boleh tengok orang senang sungguh la.”
Kita yang dengar ni pun rasa berdesing telinga bila dengar, inikan pulak anak-anak.
Menurut kajian, kata-kata negatif sebegitu boleh lukakan hati anak yang paling dalam. Benda ni akan impak pertumbuhan emosi dan mental anak-anak kita.
Kesannya akan nampak bila dia dewasa nanti. Kerana apabila satu-satu perkataan yang diulang-ulang setiap hari, minda bawah sedar anak yang dengar tadi akan terima dan anggap kata-kata tersebut betul, dan terus bentuk identiti dia.
Hari hari kena maki ‘tak guna”, “tak guna”, maka jadilah dia anak tak berguna.
Hari-hari kena cemuh “bodoh”, “bengap”, maka jadilah dia sebagaimana yang dicemuhkan tadi.
Kita mungkin tidak sampai tahap maki hamun anak. Tapi kata-kata yang terkeluar dari mulut kita tanpa sengaja tu, itu juga doa. Lebih malang jika dia yang tak elok tadi Allah makbulkan. Nauzubillah.
Mak ayah, mulai dari sekarang,
1. Lazimi sebut yang baik-baik kepada anak.
Guna perkataan konstruktif yang boleh bini jati diri dia. Setiap hari, puji anak-anak bila mereka buat kebaikan. Jika perlu tegur, gunakan perkataan yang baik.
“Abang good boy sebab selalu solat awal waktu.”
“Bagus kakak selalu kemas mainan lepas main.”
2. Gantikan pendekatan kritik kepada menerangkan.
Kanak-kanak juga ada ego dan maruah. Perasaan mereka mudah terguris bila kritik. Gunakan pendekatan ‘Menerangkan’. Kenapa ini salah. Kenapa itu tak boleh. Mereka lagi senang faham.
Jangan Ikut
3. Guna petua orang dulu-dulu. Guna perkataan positif.
Sebelum marah anak-anak, lazimkan sebut tukar perkataan negatif kepada positif. Lama lama nanti jadi tabiat bila nak tegur anak akan guna perkataan baik.
“Anak bertuah.”
“Bijak punya anak.”
4. Banyakkan komunikasi dengan anak.
Dari kecil latih berkomunikasi dua hala. Supaya mereka tahu apa yang kita nak cakap tu penting dan mereka ras yang diri mereka juga penting.
5. Sentiasa berdoa dengan sebut nama anak.
Tiap kali berdoa, sebutlah nama anak dalam doa. Setiap anak, apa yang kita nak mereka jadi, kita doakan mereka. Doa sungguh-sungguh. Bangun tahajjud, solat hajat.
Lepas Saja
Doa Allah lembutkan hati anak supaya jadi anak soleh dan solehah. Moga yang kita tersilap sebut kepada mereka dulu, Allah ganti kan dengan kebaikan.
Kalau kita pernah terlanjur berkata tak elok kepada anak, inilah masa kita berubah.
Sama- sama belajar dan ubah pendekatan kita dalam mendidik anak-anak.
Jom doa yang baik-baik untuk anak-anak kita.
Kontroversi keluarga Prince Syed semakin hangat apabila adik iparnya meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan yang menyebabkan emak dan abah mereka dimasukkan ke lokap. Ikuti luahan penuh di sini.