Memegang ‘title’ seorang ibu tunggal bukanlah mudah. Apatah lagi dalam membesarkan anak-anak. Seboleh-bolehnya segala ruang kasih sayang diisi agar anak-anak tidak merasa kekurangan malah turut menyemai nilai-nilai positif agar mereka dapat jadikan panduan serta pedoman bila besar nanti.
Terharu membaca luahan hati dan nukilan oleh Yang Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Datin Paduka Khaleeda Bustamam, 25 ini kepada bonda tersayang. Rupanya YM Che Puan Khaleeda dibesarkan oleh mama tersayang, Aziyah Abdul Aziz yang merupakan seorang ibu tunggal. Nilai-nilai positif dan murni yang disemai oleh bondanya ternyata membentuk peribadi mulia puteri raja kesayangan bangsa Johor ini.
YM Che Puan Khaleeda menulis luahan Bahasa Inggeris tersebut didalam Instagramnya.
“Mama saya antara salah seorang wanita paling kuat dalam kehidupan saya. Saya benar-benar rasa bersyukur dibesarkan olehnya, diajar nilai sebenar kehidupan bahawasanya dunia ini hanyalah tempat sementara buat kita”.
“Sentiasa mengingati Allah SWT, jangan peduli perkara material dan mengejar dunia. Menghormati setiap orang dan setiap benda hidup serta menjaga alam semulajadi dan haiwan. Sentiasa mendoakan orang yang berkata mahupun melakukan perkara jahat pada diri saya dan paling penting untuk selalu tersenyum setiap hari”.
“Kepada semua ibu tunggal di luar sana, rasa hormat saya pada anda semua melebihi segala-galanya. Saya dibesarkan oleh ibu saya yang juga merupakan seorang ibu tunggal. Saya telah melihat kepayahan dan kecekalan yang dia tempuhi namun tiada sedikit pun keluhan yang keluar dari mulutnya yang manis”.
“Saya berdoa semoga kegigihan dan kesabaran yang ada pada dirinya sesuatu yang saya boleh miliki suatu hari nanti. Saya menulis ini bukan kerana ucapan Hari Jadinya tetapi untuk mengingatkan diri kita agar limpahkanlah kasih sayang buat ibu kita dengan penuh rasa cinta, ambil berat dan menghormatinya selagi mereka masih ada. Ini kerana terdapat mereka yang tidak berpeluang untuk mengenali ibu mereka sendiri. Alfatihah buat mereka yang ibunya telah berada di syurga sekarang”.
“Saya juga menulis perkara ini kerana sekarang saya memahami kasih sayang seorang ibu dan ia cintanya yang tiada berpenghujung. I Love You With All My Heart, My Sweet Darling Mama♥️”
Terdahulu, DYAM Tunku Ismail dan YM Che’ Puan Datin Paduka Khaleeda telah mendirikan rumahtangga pada 24 Oktober 2014. Pasangan diraja ini dikurniakan sepasang cahayamata YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah,2 dan YAM Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim,1.
Mingguan Wanita menjunjung kasih dan sangat bersetuju dengan pesanan oleh YM Che Puan Khaleeda ini.Semoga para ibu tunggal memperolehi inspirasi dengan catatan ini. Buat para pembaca pula, hargailah ibu yang masih ada dan luahkanlah kasih sayang serta perhatian buat ibu tersayang.
Sumber: YMChePuankhaleeda
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI