Masih ramai yang takut-takut nak bersedekah, bukan sebab duit tak ada tetapi risau sangat tak cukup! Akhirnya langsung tak menghulur walau seringgit.
Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian saudara Abd Ghani Harondalam soal bersedekah.
Bersedekahlah Sampai Jadi Kaya
Saya ingin mengajak anda untuk merenung antara pesanan terakhir Allahyarham Dato Harun Din. Katanya orang mukmin yang hebat ialah mereka yang meninggalkan dunia, sebelum dia meninggal dunia, mereka yang bersedekah sampai kaya. Bukan dah kaya baru bersedekah, mereka yang berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah. Mereka yang datang ke masjid@surau sampai ke tua, bukan dah tua baru nak ke masjid atau surau. Dan mereka yang beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.
Apa yang dipesankan ini begitu kontra dengan pegangan sebahagian besar dari kita kerana kita seringkali memikir mati hanya setelah sakit dan tua yang hampir mati. Nak bersedekah tunggu bila berada, nak berdakwah tunggu banyak ilmu, nak ke masjid bila dah tua, dah pencen dan menunggu keikhlasan baru nak beramal.
Ads
Dengan yang demikian kita tidak mengingati mati, tidak bersedekah, tidak menyeru yang baik, menegah yang mungkar, tidak berulang solat berjamaah kecuali telah pencen dan tidak beramal kerana kurang ikhlas. Hakikatnya kita kena beramal sedikit demi sedikit untuk mencapai semua itu, bukan menunggu ketika tertentu, bukan tiba tiba terjadi demikian.
Ingatlah mati, sebagai kekuatan untuk bersedia menghadapinya, tidak terlalu terkejar dunia ini hingga melupakan mati. Bersedekahlah dengan apa yang mampu, walaupun kita sendiri memerlukan kerana sedekah itu meluaskan rezeki, yang menyebabkan kita terasa sentiasa cukup keperluan. Ini bukan omongan kerana disebut nabi dan pada saya, saya begitu merasainya. Dalam berdakwah, jangan merasa aku tak ada ilmu yg cukup untuk berdakwah kerana pesan nabi’ Sampaikan dari aku walau satu ayat’ yang bermaksud jika kita tahu satu perkara, sampaikanlah, jangan tunggu tahu banyak perkara baru nak menyampaikan.
Pegangan bahawa bila pencen baru nak berulang ke masjid, tak mau buat kerja lain dah, nak ibadat sahaja, adalah pegangan yang salah kerana meyakini umur kita boleh melebihi 60 tahun. Banyak orang tak sempat pencen atau pencen sehari dua, dah dijemput kembali. Tak kurang yang bila pencen terlantar dirumah kerana sakit. Bila masa lagi nak ke masjid, ke surau? Jangan menunggu terasa ikhlas baru nak berbuat baik, lebih teruk mengutuk orang yang berbuat baik sebagai tidak ikhlas, riak. Ikhlas itu perlu dilatih, diulang-ulang berbuat kebaikan, akhirnya akan terzahirlah keikhlasan.
Ads
Saya mengajak anda menghayati apa yang dipesan oleh Dato Harun ini dan jadikan pedoman untuk hidup kita, praktikkanlah mulai hari ini. Selagi kita tidak mengamal perkara mengingat mati, dakwah, bersedekah, bersolat jamaah dan berbuat kebaikan tanpa menunggu ikhlas, ia akan menjadi teori sahaja. Malah menjadi slogan untuk dijaja, dipesan tetapi tidak dilakukan.
Banyak orang suka tulis pesan yang baik di fb, petik hadis, kata ulamak, ingatlah pesan Allah,
Ads
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
(Surah as-Saf, 61:2-3) Maka jomlah kita amalkan apa yang dipesan sebelum kita memanjangkan pesanan tersebut kepada orang lain.
Wallahu’alam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Anak sudah tidak ke sekolah kerana pandemik Covid-19 yang kembali membimbangkan. Namun sesi persekolahan tetap dilakukan, tetapi di alam maya. Ramai mak ayah (terutama mak lah ye) mengeluh.
Bukan tak suka bahkan berterima kasih dengan usaha pihak guru lakukan, tapi kadangkala bila terlalu banyak sangat kelas anak nak dipantau, boleh jadi stres.
Bayangkan kalau anak tak ada handphone seorang satu dan kena guna yang mak punya. Kalau ada dua tiga orang? Kenalah bergilir. Ini belum lagi bab kerja sekolah yang diberi. Bagi yang masih kecil, tentulah perlu mak yang pantau dan ajar. Berbeza kalau yang sudah di sekolah menengah dan universiti. Mereka dah pandai bawa diri.
Mak Yang Bekerja
Mungkin yang mengadu stres, mak yang masih bekerja atau yang bekerja dari rumah. Mana nak buat kerja sendiri lagi, mana nak pantau kelas online dan homework si buah hati tu lagi. Bila dibiarkan je, memang dia tak siapkan.
Bahkan kadangkala tak dibuatnya langsung. Kemudian bila cikgu dah minta hantar, mulalah merengek dan menangis. Mana mak tak stres? Akhirnya, mak yang kena buat. Aduh. Macam mana nak pandai?
Jangan Stres, Wujudkan Suasana Belajar Yang Selesa
Jangan stres ye mak-mak. Kita kena sesuaikan diri dengan norma baru ini. Tiada pilihan. Kita pun tentu tak nak cahaya mata kita duduk rumah tanpa buat apa-apa. Bila cikgu-cikgu dah buat kelas online, kenalah bagi kerjasama. Kita kena hargai usaha cikgu untuk anak kita itu.
Dalam masa yang sama, kita kena pujuk mereka untuk bersemangat belajar walau pun hanya di alam maya.
Mula-mula, kena wujudkan suasana pembelajaran yang selesa untuk mereka. Kalau ada bilik sendiri, letak laptop di atas meja studt. Biar dia bersedia umpama belajar dalam kelas. Pastikan dia mandi, sarapan dan bersedia untuk masuk kelas.
Biasanya untuk yang masih di sekolah rendah, maklumkan pada mereka jadual untuk esok hari. Bermula jam berapa hingga jam berapa. Jadi mental mereka dah bersedia untuk sesi pembelajaran itu.
Kalau boleh, ketika mereka menghadiri kelas, jangan ganggu mereka. Biar mereka fokus pada guru. Nak suruh apa pun, biar lepas itu.
Duduk Sama-Sama
Boleh juga mak ajak anak duduk sama-sama di ruang tamu. Mak yang bekerja dari rumah, bolehlah pantau mereka sambil buat kerja. Secara tak langsung, kita memberi semangat untuk belajar bila dia pun melihat kita sibuk buat kerja kita. Masing-masing dengan ‘kerja’ masing-masing.
Bagi mak yang mungkin menghadapi kesukaran bila anak-anak kelas online serentak sedangkan handphone tak cukup, mungkin boleh berbincang dengan cikgu. Pasti cikgu akan bertolak ansur.
Bagi Anak ‘Reward’
Anak yang masih di bangku sekolah rendah misalnya memang banyak ragam. Bila penat, tak nak buat homework. Mak kena pandai ‘beli jiwa’ anak. Misalnya kalau mereka dapat habiskan kerja rumah yang cikgu bagi atau menghadiri kelas online, mak bagi reward. Contohnya masakkan makanan kegemarannya. Atau boleh benarkan dia bermain dengan gajet mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh mak ayah.
Anak Besar Lain Pula Halnya..
Anak yang remaja, lain pula halnya. Biasanya mereka dah ada handphone sendiri. Mak pun kena pergi ofis dan mereka di rumah. Tiba-tiba terkejut bila cikgu ‘update’ di dalam grup whatsapp ibu bapa nama anak tersenarai dalam list tak hadir kelas. Aduh.
Untuk situasi ini, sebelum keluar kerja, kena ingatkan anak untuk masuk kelas. Beritahu mereka juga, kita akan tahu kalau dia ponteng. Ha..mesti dia pun rasa takut nak ponteng kan?
Mak ayah suami, memang tak pernah lahirkan atau besarkan kita. Menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh jauh sekali. Macam mana kalau tiba-tiba mentua jatuh sakit dan cuma kita yang boleh diharap memeliharanya malah jaga mentua yang jatuh sakit itu.
Fasa permulaan jaga mentua yang sakit memang memeritkan. Hidup menantu berubah 360 darjah. Kalau dulu cuma ada kita, suami dan anak-anak. Bila ditambah mentua yang sakit pula, kita jadi haru biru. Buka ruang hati, berlapang dada, semak asbab apa yang Allah nak beri dekat kita.
5 Bentuk Rezeki Di Sebalik Jaga Mentua Yang Sakit
1. Rezeki Kesabaran
Orang sakit emosinya lain. Tak boleh lambat, tak boleh silap layanan. Melentingnya cepat, mulutnya lancang meluah ketidakpuasan. Sebagai menantu selain sabar kita boleh terang dengan baik apa yang kita rasa. Dengan cara yang tak menggores hatinya. Tuhan beri kita ujian sebegini untuk melatih jadi sabar. Andai ujian lebih besar terjadi, kita dah boleh terima.
2. Rezeki Kekuatan Mental
Bila datang merajuk mentua tak nak makan apa yang dimasak, kita akan jadi susah hati. Rasa nak marah pun ada. Kedegilan mentua yang sakit sebenarnya menguji anda bagaimana mahu selesaikan masalah itu. Otak kita akan berfikir ligat macamana nak memujuk mentua supaya ikut apa yang baik untuknya. Kita akan usaha berikan kasih sayang, tak ambil kisah emosi negatifnya, cekalkan hati dan tak layan sangat keletihan yang kita alami.
3. Rezeki Pengurusan Masa
Rutin tak sama macam sebelumnya. Jika dulu cuma siapkan makanan untuk suami dan anak. Sekarang kena fikirkan keperluan mentua juga. Kena buat seawal pagi, siapkan setiap tugasan seawal mungkin. Anda akan jadi orang yang sangat menghargai setiap masa yang ada. Walaupun letih, dengan sendirinya anda mengatur waktu. Mana yang perlu didahulukan mana yang kemudian. Anda akan jadi ibu yang hebat dalam pengurusan masa.
4. Rezeki Kreatif
Bila ditekan dengan tugasan baru, kita akan jadi kreatif.Apabila anak bertanya tentang tugasan dan tanggungjawab kita, sudah tentu kita akan menerangkan kepada anak dengan cara yang paling kreatif. Sampai anak faham dan akhirnya anak pun terdorong mahu meringankan tugasan kita. Kita juga jadi kreatif menyediakan juadah dalam masa yang singkat dan cepat, supaya tidak terkejar-kejar waktu. Menguruskan mentua dengan cara paling menyenangkan kedua-dua belah pihak.
5. Rezeki Dan Pahala
Ini yang paling utama. Selepas dibebani dengan segala macam ujian dan akhirnya kita redha, pahala menjaga mentua itu Allah juga yang akan membalasnya. Dan siapa pun tidak tahu bahawa andai kita ikhlas, Allah akan gandakan rezeki kita baik dalam bentuk wang ringgit mahupun anak-anak yang mendengar kata, suami yang memahami dan ketenangan hati sendiri.
Suami Wajib Ambil Peduli Kepayahan Isteri!
Ketika isteri, bersedia menjaga mentua anda seharusnya suami lakukan perkara ini agar isteri anda akan jadi lebih tenang dan menerima setiap perubahan hidupnya dengan penuh rela.
Hargai masa yang ada dengan isteri. Katakan 24 jam asyik menjaga mentua, carilah ruang di antara masa sibuk itu untuk berdua-duaan dengan isteri. Bawa dia ke satu tempat yang ingin dia pergi. Kalaupun tak sampai sehari, sejam dua sudah memadai.
Bantu isteri di rumah. Tolong basuhkan kain dan sidai, menyapu rumah atau memotong sayuran di dapur. Dengan pertolongan ringkas ini sebenarnya melegakan hari isteri.
Sesekali bila isteri ‘mood swing’ atau berangin, cepat-cepat dakap dia dan tenangkan hatinya. Itu akan menenangkan isteri yang keletihan dan gundah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!