Apabila bergelar seorang isteri dan ibu, tidak dinafikan kita inginkan rumahtangga dan anak-anak segalanya diuruskan dengan sempurna. Adakala apabila terlalu inginkan ‘kesempurnaan’ itu, segalanya ingin diuruskan seorang diri tanpa mengharapkan bantuan. Ia membuatkan diri sendiri rasa cukup penat dan lelah.
Kesannya, mulalah diri rasa tertekan, jiwa terbit kemurungan dan hilang kebahagiaan dalam diri demi memastikan segalanya memenuhi kesempurnaan yang diinginkan.
Jika mak-mak mempunyai sikap begini, seeloknya hentikanlah. Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Jemput hayati perkongsian nukilan oleh Puan Najibah Mustaffa ini;
Selalu kita dengar orang cakap, bila perempuan ini pandai serba serbi. Untunglah suami dan anak-anaknya. Bahagialah keluarganya. Pandai memasak sedap, hebat mengemas, menghias rumah, berdandan berhias pun tak kalah. Didik anak-anak pun mantap. Cantik pulak tu. Ewah.
Saya pun di awal perkahwinan cuba untuk jadi begitu. Anak seorang OK lagi, masa tu boleh je buat sendiri semua. Hatta kalau gas habis pun, boleh je pergi kedai beli dan angkat masuk rumah. Haha dia punya power.
Bukan suami tak tolong, diri sendiri yang tak pandai minta tolong. Sebabnya acah acah mahu jadi sempurna semuanya. Terbiasa berdikari pun sama. Rumah mesti kemas, kain mesti berlipat, baju kerja suami siap bergosok, makan minum siap hidang terjaga semuanya. Masak tu mesti meriah lauk. Ewah lah sangat.
Bila anak sudah bertambah, dari satu jadi dua, tiga dan kini empat. Lama kelamaan, badan jadi sangat penat. Usia pun semakin meningkat. 4 tahun sahaja lagi nak cecah 40 tahun. Sakit pun dah terasa sana sini.
Tambah lagi bila saya mula berniaga. Mana nak tengok WhatsApp, coaching team, pantau outlet, guide staf, buat marketing, bla bla dengan senarainya yang panjang.
Ads
Penat.
Fasa Penat
Perempuan bila tenang gembira dia sangat comel macam teddy bear atau hello kitty. Tapi bila penat dia akan jadi orang lain. Kadang tu singa, harimau, hantu kak limah segala.
Saya pernah lalui fasa penat dan tertekan ini selepas melahirkan anak keempat. Dengan dia susah nak tidur, nak menyusu sahaja. Melekat dengan ibu. Tak boleh langsung ibu jauh. Masa tu saya tak rasa seronok pun duduk rumah sendiri. Tak rasa kasih pun tengok suami dan anak-anak. Serabut.
Sebabnya? Penat. Penat ni boleh jadi pintu masuk Syaitan hasut itu ini. Mengeluh, mengungkit, sedih, kecewa bla bla yang negatif. Bila penat solat pun tak khusyuk. Huhu.
Mujurlah saya tersedar yang ini bukan kehidupan yang saya cari. Saya tak boleh biar berterusan dengan penat. Cari ilmu, baca perkongsian di FB.
Ads
Berhenti Jadi Sempurna
Tahulah saya jawapannya. Saya perlu berhenti jadi sempurna. Hanya perlu jadi bahagia. Saya perlu mula belajar minta tolong ahli keluarga dan orang lain.
Seminggu sekali saya ambil bibik. Dia kemas rumah, lipat kain, tukar cadar, kadang tu basuh langsir, sental tandas, mop lantai semua. Complete satu rumah dikemas.
Hari hari lainnya saya mengemas 2 kali sehari sahaja. Pagi sebelum anak bangun, petang sebelum Maghrib. Kemas pun sekadar pastikan rumah tidak berselerak sangat sebab ada anak anak kecil yang suka bawa mainan sana sini, lantai disapu, dan dapur bersih dari pinggan mangkuk tak berbasuh dan sampah.
Kain baju berbakul, kalau larat dan sempat, lipat. Kalau tak pejam mata tunggu bibik datang minggu depan.
Saya selalu sahaja sebut kepada suami dan anak-anak, ibu penat, ibu nak rehat. Tak mahu paksa diri berlebihan.
Yang saya jaga sangat hanyalah makan minum keluarga. Memang memasak 2-3 kali sehari. Itupun ringkas sahaja. Ada karbo, protein, sayur cukup. Syukur yang penting kenyang. Sebab saya selalu percaya, masakan mengikat kasih sayang keluarga dengan sangat indah. Ada juga lah hari beli je lauk bila tak sempat atau tak ada bahan basah dalam peti. Hihi.
Ads
Malam malam berehat sahaja. Bergolek dengar cerita anak-anak.
Pilih Untuk Bahagia
Sudah tua tua begini. Saya mahu lebih masa untuk tambah ilmu, baiki ibadah. Mahu lama lama di tikar sejadah, mahu tadabbur alquran, mahu baca buku banyak-banyak dan buat apa yang menggembirakan.
Benar, khidmat kepada rumahtangga adalah medan pahala. Namun janganlah sampai menekan diri. Ramai ibu hari ini tertekan. Bacalah banyak kisah yang berlegar di media sosial.
Kita pilih untuk bahagia dulu. Barulah semuanya terlihat sempurna pada mata kita. Walaupun tidak pada mata orang lain.
Dan para suami, bantulah isteri anda bahagia dengan kurangkan rasa penatnya. Sebab bila ibu gembira dan bahagia, seisi keluarganya turut berbahagia.
Najibah Mustaffa
Catatan sementara tidurkan anak.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita.Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Bila berkahwin, bertambahlah tanggungjawab isteri. Jangan pula bila dah kahwin, mula rasa isteri beban dan perlu pikul tanggungjawab lebih.
Sebenarnya, isteri, ibu atau mak adalah ‘jantung rumah’. Kalau tak ada dia, rumah akan terasa sunyi dan tak lengkap walaupun ramai penghuni dalam rumah tersebut. Percayalah.
Suami pula janganlah segala kerja rumah diserahkan segalanta pada isteri. Maklum sajalah, nama pun dah isteri, kenalah buat.
Jangan beranggapan begitu. Dahulukan isteri berbanding orang lain dan jangan rasa isteri beban, sebaliknya dialah asbab rezeki suami bertambah.
Sebab itu, lelaki kalau nak berkahwin, jangan fikir keseronokan semata-mata, kena ada ilmu rumahtangga bersama. Gembirakan hati isteri sebab dialah orang sentiasa mendoakan untuk suaminya.
“Kalau kau rasa isteri itu beban, maka ia akan jadi beban dalam hidup. Tapi kalau kau anggap isteri sumber asbab rezeki, ia akan jadi ‘magnet rezeki’.”
Nak rezeki sentiasa datang, dahulukan isteri lebih dari orang lain. Sebab bidadari kita tak pernah berhenti mendoakan dan dia adalah punca rezeki dalam rumahtangga.
Jantung sebuah rumah adalah seorang isteri. Jika hatinya tak bahagia, maka seisi rumah akan kena tempias nampak tak bermaya. Maka para suami, sayangi isterimu agar di sentiasa gembira dan berdoa untuk kita.
“Syukur pada Allah pemberi rezeki. Tiada yang boleh beri sesuatu melainkan Allah. Terima kasih Allah.
Belanja atas isteri dan keluarga sedekah paling besar nilainya. Nafkah wajib. Apa yang kita suka untuk diri, itu juga yang kita kongsikan dengan isteri.”
Buat isteri gembira, rezeki datang. Buatkan isteri rasa dihargai, rezeki melimpah. Sentiasa buat isteri seronok, rezeki datang tak disangka.
Kawan-kawan,
Jika terasa rezeki sempit, usah risau. Perbaiki hubungan dengan isteri dulu. Check mana yang terkurang. Gembirakan hatinya. Insya Allah, awak akan lihat rezeki datang dalam bermacam bentuk rupa.
“A successful marriage requires falling in love many times, always with the same person.”
Begitulah.
Mingguan Wanita : Selalu kita dengar, suami menumpang rezeki isteri dan anak-anak. Sentiasalah gembirakan mereka.
Bulan puasa nie, rasanya tugas mak-mak bertambah sikit. Maklum la, awal pagi dah bangun untuk siapkan sahur. Ini belum lagi, mengemas, membasuh, menjaga anak dan keluar bekerja untuk membantu meringankan tanggungan suami dan keluarga. Mengemas, memasak, membasuh, menjaga anak dan sebagainya memang tugas dan tanggungjawab isteri. Lebih memeritkan, tatkala tiba bulan Ramadan, sudah tentu tugas-tugas rumah tangga akan bertambah dua kali ganda.
Jadi, melihat keadaan isteri dalam menguruskan rumah tangga, suami cubalah pandang dan perhatian apa yang boleh dan mampu di tolong bagi meringankan beban isteri. Ini peluang untuk suami meraih pahala ‘tambahan’. Ingat, meraih pahala ini bukan sahaja di bulan puasa tetapi suami boleh praktikkan pada hari-hari biasa. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Menurut Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
Bahagiakan Isteri
Dalam budaya yang kita amalkan sekarang ini, isteri akan menyiapkan makanan berbuka dan bersahur untuk keluarga. Ini adalah satu budaya yang sangat baik.
“Walau bagaimanapun, tugas menyediakan makanan dan keperluan hidup secara asasnya adalah oleh suami. Tambahan pula, isteri zaman sekarang turut bekerja. Keadaan ini akan menjadikan masa lebih sempit untuk menjaga anak-anak, menguruskan rumah tangga, menyediakan makanan berbuka dan bersahur sebagai rutin harian,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, dengan kehadiran suami untuk menjadi peneman isteri sudah cukup membahagiakan isteri dan mampu mengurangkan rasa bebanan penat dan sangat baik sekiranya suami turut membantu menguruskan hal-hal rumah tangga yang berat dan kasar.
“Sebenarnya, ambil berat dan prihatin suami untuk bersama menemani isteri adalah cukup baik. Di tambah dengan kata-kata penghargaan boleh menambahkan lagi kebahagiaan isteri dan mampu meringankan rasa bebanan penat isteri bekerja.
“Antara yang boleh suami bantu adalah berbentuk kasar dan memerlukan kekuatan fizikal seperti mengemaskan dapur, membantu mengangkat hidangan dan sebagainya. Suami tidak perlulah melakukan perkara sama yang dibuat oleh isteri tetapi memadai dengan menghargai,” ulasnya panjang lebar.
Ringankan Beban
Sebagai seorang suami, kadang-kadang mereka salah faham dan fikirkan kerja-kerja memasak di dapur adalah tugas isteri semata-mata. Namun, suami boleh ringankan beban isteri dengan memberi sokongan, memuji isteri dan bergurau senda. Sekurangnya dapat mengurangkan rasa tekanan oleh isteri.
“Bagi isteri pula, elakkan daripada mengarah suami untuk melakukan itu dan ini kerana ia boleh menyakitkan hatinya. Contoh, bagi suami yang tidak suka memasak, elakkan daripada menyuruh dia membantu memasak.
“Ini kerana banyak lagi kerja-kerja lain yang sesuai dengan penghormatan isteri kepadanya sebagai ‘super hero’ dalam keluarga. Bahagiakan kembali isteri, walaupun sedang melakukan kerja-kerja yang memenatkan”.
Jangan Cabar Ego
Selain daripada itu, isteri hendaklah bijak membahagikan tugas-tugas sesuai yang mencerminkan isteri menghormati suami. Walau bagaimanapun, elakkan daripada menyuruh suami untuk membuat tugas-tugas yang suami sendiri tidak sukai dan mencabar keegoaannya.
“Saya percaya, tidak ramai isteri yang mengharapkan suaminya turut sama membantu memasak kerana ia mungkin akan menyukarkan lagi. Jadi, berbahagialah apabila saling melengkapi. Sebagai isteri juga, perlu fikirkan banyak perkara lain yang dilakukan oleh suami, yang sememangnya tidak mampu seorang isteri lakukan,” jelasnya.
Fitrah manusia, isteri selalu fikirkan yang dia banyak berkorban dan melakukan tugas berbanding orang lain. Tetapi sebenarnya, orag lain juga berfikiran begitu. Isteri mengungkit apabila dia rasa penat. Tetapi, kalau dia fikirkan tentang suami juga banyak berkorban dan melakukan tugas-tugas lain, mungkin boleh menyedarkan dan mampu mengurangkan ungkitan tersebut,” katanya mengakhiri perbualan.
PESANAN UNTUK SUAMI
Banyakkan masa bersama terutamanya di waktu berbuka dan bersahur dengan isteri, kerana fitrah isteri sukakan suami yang sentiasa menemani dan mengambil berat tentangnya.
Hargailah kerja-kerja isteri dalam menguruskan rumah tangga, menyediakan makan pakai keluarga agar kepenatannya tidak terlalu dirasakan.
Bantulah apa yang sesuai terutamanya peranan kita sebagai suami yang ada kekuatan fizikal dan berlaku romantik dengan isteri yang banyak berkorban untuk suami dan keluarga.
PESANAN UNTUK ISTERI
Buatlah tugas-tugas menyediakan makanan untuk berbuka dan bersahur dengan ikhlas dan penuh hormat kepada suami.
Elakkan daripada mengungkit, berleter ataupun mengarah suami melakukan perkara yang isteri sendiri tahu, ia tidak sesuai dengannya kerana ia akan mencabar egonya.
Saling hargailah pengorbanan suami yang kita sendiri tidak mampu lakukan, insya-Allah, hati akan lebih bersyukur dan redha. Hasilnya hubungan terjalin dalamsuasana positif.
Biarlah Ramadan lebih banyak melatih kesabaran dan membentuk hati kita lebih bersyukur dan redha.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mungkin basuh baju dianggap perkara yang paling mudah sahaja. Masuk baju dalam mesin, tak perlu tunggu dan boleh buat kerja-kerja lain. Sampai masa, siap dan jemur sahaja. Mudah sangat.
Kadang-kadang, nampak sangat mudah dan senang untuk basuh baju tapi sebenarnya untuk lakukan kerja-kerja basuh baju ini pun kena ada adab dan etikanya. Mungkin sebelum ini kita tidak tahu dan angap perkara mudah saja.
Perkongsian daripada Bijen Mohd ini boleh membuka mata buat isteri mahupun sesiapa sahaja tentang adab dan etika membasuh baju.
Jangan ingat beradab hanya dengan suami, keluarga atau orang lain sahaja. Kadang-kadang cara kita beradab pun ada masalah, apatah lain dengan perkara ini. Nak kongsi adab-adab dan etika lain membasuh baju di rumah.
1. Basuh baju sendiri
Ini adab paling penting. Jangan harapkan orang lain basuh baju kita. Isteri muliakan suami. Suami mudahkan isteri. Anak-anak belajar berdikari. Zaman sekarang bukan susah pun nak basuh. Campak masuk mesin je, mesin yang tolong basuhkan.
2. Tetapkan jadual membasuh
Buat jadual membasuh suami, isteri dan anak-anak. Barulah tak bertembung bila nak guna mesin basuh. Ampaian pun tak penuh pada satu-satu masa. Kalau semua nak harung sekali, itu yang sibuk nak beli mesin basuh barulah, ampaian penyidai tak muatlah. Itulah, inilah.
3. Asingkan pakaian mengikut warna dan jenis kain (kasar & lembut)
Kelaskan pakaian supaya kain tak turun warna. Kain kasar seperti jeans dan denim pula tak boleh dicampur dengan kain lembut macam sutera dan jersi. Nanti cepat rosak dan berbulu. Asingkan pakaian yang bernajis dengan yang bersih.
4. Pakaikan butang baju dan kemaskan zip seluar
Kalau tak nanti butang baju mudah tersangkut dan mudah tertanggal jahitannya. Gerigi zip yang kasar pula akan merosakkan kain-kain lain. Kesian nanti baju berbulu.
5. Terbalikkan pakaian (inside-out)
Ini supaya warna kain tak cepat pudar di bahagian luarnya, seperti seluar hitam. Bahagian celah ketiak juga dapat dicuci dengan bersih dan tak mudah berkarat.
6. Pakai detergen dan pelembut yang halal
Setakat yang jumpa ni yang halal adalah dari jenama Top. Jenama lain mungkin ada, kalau tahu boleh share info.
Penting ke ada sijil halal? Tepuk dada tanya iman. Terpulang kepada anda.
7. Terus sidai selepas siap basuh
Ini pun penting untuk mengelakkan bau hapak. Jangan biar baju lembap terperam lama. Kalau sabun tak power, sia-sia je bubuh sabun banyak tapi bau wangi tak kekal lama. Oh, wangi kain terletak pada pelembut, bukan pada sabun. Jadi tak payah bubuh sabun sampai selori, terutamanya mesin basuh front load.
8. Seni menggantung pakaian
a. Gantung pakaian menggunakan hanger untuk jimat ruang dan kurangkan kedutan. Bagi kain bersaiz besar (seperti selimut, cadar, tuala, kain pelikat), boleh lipat dua dan sidai bagi menjimatkan ruang ampaian. b. Gantung pakaian berwarna secara inside-out dan di tempat yang tidak kena cahaya matahari secara terus untuk mengelakkan pakaian cepat pudar. c. Bagi pakaian putih, biarkan bahagian luar di luar. Gantung di bawah cahaya matahari terang supaya putihnya jadi berseri. d. Susun pakaian mengikut warna, saiz dan jenis dengan tertib. Semua orang suka bila tengok benda tersusun dan seragam. Tapi tak semua orang boleh tengok benda yang berterabur. Jadi menyukakan orang tu adalah akhlak terpuji. Orang nak ambil jadi menantu pun senang hati.
Korang jangan tanya pula mana dalilnya. Nak buat, buat. Tak nak buat sudah. Kalau buat, insya-Allah terhindar dari masalah.
Adab-adab ni sesuai untuk pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga. Pasangan yang lama-lama ni, liat dah nak ubah.
MW: Perkongsian yang boleh membantu pembaca untuk lebih tahu tentang cara betul nak membasuh baju ye!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...