Seringkali tugas sebagai seorang jururawat dipandang enteng oleh masyarakat. Walhal peranan mereka juga sama pentingnya dengan doktor yang merawat setiap pesakit yang memerlukan bantuan. Tanpa jururawat pincanglah tugas doktor dan begitu juga sebaliknya.

Noor Syahida Azman, 32 tahun, yang bertugas di Neonatal Intensive Care Unit (NICU) sejak 10 tahun yang lalu, pengalaman dipandang remeh oleh segelintir masyarakat tidak sedikitpun melunturkan semangatnya untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat setiap pesakit cilik yang dirawatnya.

Berkorban Masa

Tugas seorang jururawat ternyata bukan mudah. Bekerja dua shif dalam satu masa adalah sesuatu yang biasa buat mereka. Justeru, kekuatan mental dan fizikal amat diperlukan. Tapi itu semua dianggap sebagai cabaran buat Syahida dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk setiap bayi yang dirawat.

“Cabaran utama adalah stamina kerana itulah jururawat seperti saya perlu kuat mental dan fizikal. Apabila doktor memberi arahan, kami semua perlu pantas dan tidak boleh bekerja dalam keadaan lesu dan tidak bermaya.

“Bekerja shif tidak bermakna kita boleh balik dalam masa lapan jam waktu bekerja yang telah ditetapkan. Contohnya jika kita mula bekerja pada jam 7.00 pagi dan sepatutnya pulang jam 2.00 petang. Tapi jika tiba-tiba ada kematian yang berlaku, saya memang kena uruskan semua sehingga selesai. Jika tiada hal kecemasan pun kami perlu siapkan laporan sebelum serahkan tugas kepada rakan jururawat yang lain.

Berhenti Tidur Di Stesen Minyak Untuk Hilangkan Penat, Ramai Tak Tahu Tugas Jururawat Sebenarnya Rencam
Bersama rakan-rakan sekerja yang banyak membantu Syahida

“Saya pernah alami, masuk kerja pukul 9.00 malam dan ada bayi yang dimasukkan ke wad dan keadaannya teruk. Pelbagai rawatan sudah dibuat tapi tidak menunjukkan respon yang positif. Jam 6.30 pagi bayi itu meninggal. Sepanjang malam memang saya tidak berehat sehingga bayi tersebut meninggal. Jam 9.00 pagi baru saya balik dan terpaksa berhenti di stesyen minyak untuk tidur seketika sebelum balik ke rumah.

“Walaupun jarak dari rumah ke hospital tidaklah terlalu jauh, tapi bila bekerja shif malam dan sibuk, memang tak ada masa untuk berehat. Itulah yang kena berhenti di stesen minyak dalam perjalanan untuk dapatkan power nap,” ujar Syahida lagi.

Dengan tugas sebegitu, pastinya masa bersama keluarga juga menjadi terhad. Tapi Syahida bertuah mempunyai suami dan anak-anak yang memahami bidang tugasnya yang memerlukan dia bekerja tidak tentu masa.

“Kerja shif macam saya ini memang kena banyak berkomunikasi dalam perhubungan terutamanya dengan suami dan anak-anak. Kena banyak tolak ansur. Mujurlah suami saya bekerja waktu pejabat, jadi dia memang banyak membantu. Kalau saya perlu bekerja pada hari minggu memang suami yang akan jaga anak-anak, begitu juga kalau kena kerja malam. Suamilah yang akan jaga dan uruskan anak-anak. Begitulah rutin saya, pendek kata kerja macam saya ni kena pandai curi masa untuk luangkan bersama suami dan anak-anak,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Ads

Pengalaman Merawat Bayi

Bertugas di NICU kadang kala boleh membuatkan hati yang kental jadi runtun. Maklum sahajalah bila perlu merawat bayi yang masih kecil, naluri keibuan pasti terkenangkan anak-anak di rumah. Namun tidak kurang juga pengalaman manis tatkala dapat melihat bayi yang dirawat kembali sihat dan membesar seperti bayi-bayi lain.

Berselindung di sebalik topeng muka yang dipakai demi untuk memberikan kata-kata semangat buat ibu bapa yang kehilangan anak mereka. Tiada perkataan yang terluah dari bibir untuk menenangkan, cuma mampu membuat gerak tubuh sebagai isyarat untuk tenangkan mereka. Sebagai seorang ibu pasti sahaja Syahida turut terkesan dengan kehilangan yang berlaku.

“Tugas jururawat di NICU seperti saya sama juga seperti jururawat yang bertugas di Intensive Care Unit (ICU) dewasa. Cuma pengkhususan kami adalah kepada bayi-bayi. Memang banyak kes yang agak mencemaskan buat kami. Bila ada bayi yang meninggal dunia, ketika itulah jururawat main peranan penting untuk berikan semangat kepada ibu bapa yang kehilangan bayi atau anak mereka.

Berhenti Tidur Di Stesen Minyak Untuk Hilangkan Penat, Ramai Tak Tahu Tugas Jururawat Sebenarnya Rencam
Dinner Peads nite

“Walaupun sejujurnya kami sendiri menangis di dalam hati kerana turut terkesan dengan apa yang berlaku. Maklum sahajalah pesakit-pesakit yang kami jaga sudah dianggap macam anak sendiri. Kita pun ada anak jadi kita faham perasaan mereka.

“Tak kurang juga dengan kenangan manis yang untuk kenangan bila melihat bayi-bayi pramatang yang lahir dengan berat 500 gram, 700 gram dapat melalui hari-hari dalam NICU dan dirawat dan kembali sihat. Dalam tempoh perkhidmatan saya selama 10 tahun, saya bekerja memang banyak kespra matang yang saya kendalikan. Dapat melihat perkembangan kesihatan mereka semakin baik sudah cukup buat kami jururawat yang bertugas di NICU tersenyum dan gembira.

“Di NICU kami ada hari graduasi untuk bayi-bayi pra matang ini. Melihatkan keadaan mereka memang menyentuh hati. Bayangkanlah ada yang lahir sebesar botol kicap tapi kini dah membesar dengan baik, itu semua buat kami rasa sebak. Begitu juga dengan kehadiran kanak-kanak lain yang sakit teruk.

Ads

“Bila dapat melihat mereka sihat atau pulih kembali, ia beri kami satu perasaan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bukan penghargaan yang kami cari cuma kalau ada yang sudi, sebuah ucapan terima kasih sudah memadai untuk saya dan rakan-rakan. Terasa hilang semua penat lelah sepanjang merawat,” katanya yang gembira melihat bayi-bayi sihat dan membesar.

 

 

 

 

Ads

 

 

 

 

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI