
Isi Kandungan
ToggleMemang ada benarnya, bila bergaduh dengan pasangan limitnya cukuplah sehari semalam, kalau lebih daripada itu, itu ego. Bukan apa, sedangkan lidah lagi tergigit, jadi bergaduh, terasa hati dan bermasam muka itu adalah lumrah dan asam garam dalam rumahtangga. Namun bagaimana setiap pasangan suami isteri menanganinya supaya hubungan kembali harmoni itu yang paling penting.Malah jika dibiarkan, hubungan boleh rapuh dan goyah.
Hadamkan betul-betul perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini.
Bergaduh dengan pasangan ni, limitnya cukup dengan sehari semalam.Kalau lebih dari tu, itu EGO.
Bergaduh pagi, petang baik balik. Bergaduh petang, malam baik, bergaduh malam, keesokan pagi kena baik. Jangan dipanjangkan atau dibiarkan pergaduhan tu sampai berhari-hari.Tak bercakap, bermasam muka, buat tak tahu antara satu sama lain.
Artikel Popular: Bila Suami Dengar Cakap Isteri Bukan Sebab Tiada Ego, Tetapi Untuk Kebaikan Bersama
Paling Ego
Siapa yang minta maaf dulu, siapa yang mula bercakap dulu, siapa yang dah buat macam biasa balik, maka dia lah yang terbaik sebab dia boleh kawal dan rendahkan ego dia. Siapa yang tunggu orang lain minta maaf, siapa yang tunggu orang lain mula bercakap dulu, maka dia lah yang PALING EGO dalam rumah tu.
Wajib Baca: Petua Orang Lama, Rahsia Bahagia Rumahtangga Berkekalan Hingga Ke Hujung Usia
Lelaki ada ego, perempuan ada ego. Kena tahu ego ni kegunaannya untuk apa. Yang lelaki kalau nak dihormati isteri, maka jangan guna ego. Sebab ego lelaki kebanyakannya akan memakan diri sendiri. Akhlak, perangai, pertuturan, perbuatan, budi bahasa si lelaki tu yang menyebabkan isteri taat dan hormat suami.
Bukan kita kena EGO TINGGI, baru isteri hormat dan taat kepada kita. Lama-kelamaan isteri akan menyampah, meluat, bosan bila kita asyik menggunakan EGO kita untuk memenangi apa saja perbalahan, pergaduhan dan pertengkaran yang asalnya bermula akibat daripada kesilapan kita sendiri.
Trust me, hubungan yang bahagia, hubungan yang harmoni, pasangan yang gembira, kedua-dua suami dan isteri tolak ego ke tepi. Siapa salah, dia mintak maaf, siapa yang silap, dialah yang perbetulkan. Siapa yang sedar pasangan dia buat salah dan silap, dialah yang kena bagi teguran dan nasihat. Siapa yang kena tegur dan kena nasihat, dia lah yang kena berlapang dada dan terbuka dengan teguran dan nasihat tersebut.
Simple.
Semoga bermanfaat!
Artikel Menarik: Cara Muliakan Hati Isteri, Suami Kena Turunkan Ego Layani Pasangan Ikut Perintah Allah
Mesti Baca: Hanya ISTERI Sahaja Tahu Baik Buruk, Sikap & Perangai Suami Yang SEBENAR
Mingguan Wanita: Setuju sangat. Jika bergaduh dengan pasangan, tak perlulah lama-lama. Turunkan ego dan kembalilah berbaik semula untuk keharmonian rumahtangga dan menggelakkan hubungan jadi lebih teruk.
Sumber: Firdaus Shakirin
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bagai Tahu Saat Kematian, 6 Bulan Sebelum Dijemput Ilahi Isteri Buat Pecutan Ibadah

Isi Kandungan
ToggleIni kisah benar yang terjadi pada seorang ibu kepada 9 orang cahaya mata, almarhumah Hajah Zaleha binti Zakaria yang begitu bersungguh membuat pecutan ibadah, 6 bulan sebelum dijemput Ilahi pulang ke kampung akhirat.
Perkongsian indah ini disampaikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi untuk pembaca MW semua renungi, hayati dan ambil pengajaran.
Semoga kita yang membaca, Allah kurniakan waktu dan peluang untuk beribadah seperti wanita ini.
Pecutan Ibadah Ibu Anak 9 Itu Begitu Laju..
Dia bagaikan tahu saat kematiannya. Pecutan ibadah hablumminallah dan hablumminannasnya begitu laju sejak enam bulan sebelum tarikh kematiannya.
Ibu kepada sembilan orang anak itu begitu komited dengan majlis ilmu, qiamullail, membaca Al Quran dan berinfaq di jalan Allah.
Dia akan menangis apabila membaca Al Quran dan bertadabbur akan maknanya. Tabung bantuan untuk Palestin sentiasa dibawanya ke mana-mana.
Singgah dari masjid ke masjid untuk menimba ilmu. Dan kiranya dia dapati ada ibu-ibu yang tidak lancar membaca Al Quran, dia akan meluangkan masa untuk mengajarkannya.
“Wang yang saya berikan untuk keperluannya begitu cepat disedekahkan. Begitu laju dia menghabiskannya untuk fisabilillah,” kata suaminya. Sebelum suaminya bermusafir ke luar negara, sudah dibayangkannya bahawa dia akan pergi untuk selamanya.
Ketika suaminya bertanya, apakah ada barang yang mahu dipesankan sebagai ole-oleh dari luar negara? Sebaliknya dia berpesan agar suaminya menjaga syariat dan mempamerkan akhlak yang baik agar Islam dipandang tinggi di bumi Barat.
Di Ruang Inilah Masa Dihabiskan Untuk Solat, Zikir Dan Bermunajat
Di sudut itulah di dalam rumahnya (gambar atas) dia menghabiskan masa untuk solat, zikir dan bermunajat. Sungguh, dia seorang mujahidah yang istiqamah dengan kebaikan sejak zaman mudanya.
Kematian dalam kemalangan jalanraya tiga hari yang lalu itu pun semasa dia menumpangkan seorang pelajar yang ditemuinya di tepi jalan.
Dalam perjalanan menuju rumah pelajar itulah dia mengalami kemalangan dan meninggal dunia di situ juga.
Semoga Allah mengampuni dan mengasihani almarhumah Hajah Zaleha binti Zakaria isteri kepada Prof Dr Jamel Othman yang telah pulang ke rahmatullah. Perginya meninggalkan kita satu pengajaran untuk istiqamah melakukan kebaikan.
Ya, cara hidup seseorang akan menentukan cara matinya. Dan cara mati seseorang akan menentukan bagaimana dia dibangkitkan kembali satu hari nanti.
MW : Moga kisah ini jadi ikhtibar kita mak-mak, untuk melengkapi hati berniat mahu berbuat kebaikan di dunia dan akhirat, ikhlas untuk Yang Esa.
Sumber/Foto : Pahrol Mohamad Juoi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bahagia Dengan Jodoh Yang Diatur Anak-Anakku Sendiri

Isi Kandungan
ToggleBahagia. Siapa yang tak nak hidup bahagia bukan? Lebih-lebih lagi dalam alam perkahwinan. Namun bukan semua orang mampu meraih kebahagiaan. Tidak sedikit rumah tangga yang terkandas di tengah jalan atas pelbagai faktor.
Gagal dalam perkahwinan pertama, bukan penanda akan gagal untuk kali keduanya. Itu yang dibuktikan oleh Sya (nama samaran), lewat 40-an. Dia bercerai pada usia akhir 20-an, akhirnya dia kembali bertemu jodoh tiga tahun lalu dengan lelaki yang diperkenalkan oleh anak-anaknya sendiri. Ikuti perkongsiannya.
Cerai Di Usia 30 Tahun
Siapa yang tak ingin bahagia, lebih-lebih lagi selepas mengahwini lelaki yang dicinainya. Namun, aku antara wanita yang tak bernasib baik itu. Aku menyandang status janda pada usiaku mencecah 30 tahun, dengan tiga orang cahaya mata. Kini mereka bertiga sudah dewasa. Yang sulung, 25 tahun bekerja sebagai pegawai bank, yang kedua 23 tahun, baru saja bergelar seorang guru dan yang ketiga berusia 21 tahun. Masih belajar di peringkat ijazah dalam jurusan undang-undang syariah.
Tak Mudah hidup Sendiri Tapi Tetap Bahagia
Ya, aku yang menuntut cerai. Aku tak ingin mengaibkan bekas suami dengan segala keburukan dalam rumah tangga kami. Bukan juga aku menyalahkan dirinya 100%. Tentu ada silap di pihakku. Tapi cukuplah aku beritahu, aku tak dapat lagi terima bila dia ditangkap khalwat dengan seorang wanita, rakan sepejabatnya.
Hatiku tertutup untuk terus hidup dengannya lagi lantas ku mohon dilepaskan secara baik untuk mencari bahagia aku sendiri. Tiga anak di bawah jagaanku. Syukur aku punya pekerjaan yang membantu aku menyara anak-anak. Malah aku bersyukur, bekas suami tak pernah abaikan nafkah anak-anak. Bahkan kalau minta duit saja atas sebab anak, dia tak pernah tak bagi. Mungkin dia bukan suami yang baik tapi dia tetap ayah yang baik untuk anak-anakku.
Lagi artikel menarik di sini:
Dugaan bergelar Janda, Sering Dipandang Serong Orang!
Suami Tuduh Isteri Mandul, Kahwin Janda Sebelah Rumah!
Mesti Dengan Persetujuan Anak-Anak
Sejak bercerai, pintu hatiku seolah-olah terkunci untuk terima mana-mana lelaki. Tipu kalau kata tak ada yang nak try. Tapi, keutamaanku adalah anak-anak. Aku rasa sudah cukup bahagia dapat bersama mereka. Ternyata mereka sangat memahami keadaan mama mereka. Tak pernah menyusahkan bahkan sangat memahami kesusahanku. Sentiasa ingin buat aku bahagia.
Bukan aku ego, tak perlukan lelaki dalam hidup. Sebagai wanita, aku tetap ada rasa ingin disayangi oleh insan bergelar suami. Tapi entahlah. Waktu anak kecil, aku sibuk jaga mereka. Bila mereka mulai dewasa, aku rasakan diri ini sudah tua untuk mencari cinta baru. Apa pun yang penting lelaki itu mesti diterima oleh anak-anak. Mereka pula tak kisah kalau bertemu jodoh lagi, asal bukan dengan suami orang. Itu saja syarat mereka.
WhatsApp Misteri
Siapa sangka, satu hari aku dapat satu whatsapp daripada nombor yang tak ku kenali. Dia perkenalkan namanya sebagai B. Mulanya langsung tak ku layan. Tapi bila dia memberitahu bahawa nomborku itu diberikan oleh anak bongsuku, akhirnya aku layankan juga.
Rupanya B memiliki sebuah firma guaman dan anakku dan rakan-rakannya pernah menemu ramahnya untuk satu tugasan universiti. B merupakan pakcik kepada salah seorang rakan universiti anak bongsuku.
Sejak itu, sering kali juga B menghantar mesej. Orangnya baik dan berusia awal 50-an. Dia duda kematian isteri dengan dua orang anak. Namun kedua anaknya itu kini berada di luar negara. Seorang bekerja di Australia dan seorang lagi belajar di UK.
Anak-Anak Aturkan
Aku tak menyangka, anak-anak menjemput B makan malam di rumah. Waktu itu kebetulan anak B yang belajar di UK juga pulang bercuti. B datang bersama anaknya dan anak saudaranya yang merupakan kawan anakku.
Ku lihat anak-anak menyukai B. Malah anak B juga kelihatan baik dan dapat bergaul mesra dengan anak-anakku.
Cuba Ukir Bahagia Untuk Kali Kedua
Dipendekkan cerita, atas aturan anak-anak, aku dan B disatukan. Pada saat itu, cinta belum muncul namun entah mengapa aku terbuka untuk menerima B. Mungkin kerana anak-anak merestuinya. Itu perkara paling penting untukku.
Perkahwinan kami diuruskan oleh anak-anak bahkan siap majlis bersanding. Syukur, kini sudah lebih tiga tahun kami bergelar suami isteri. Masih dalam proses saling mengenali diri masing-masing. Namun ku rasakan makin aku mengenalinya, semakin aku jatuh sayang padanya. Terima kasih Allah kerana hadirkan seorang lelaki yang baik sebagai pelengkap hidupku dan anak-anak.
Untuk wanita di luar sana yang mungkin pernah berstatus janda, jangan serik untuk kembali cari bahagia. Yang penting, jangan putus berdoa ye.
Jangan lupa follow kami di:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Perkara Bagus Dibuat Dan PATUT ELAKKAN Dalam Group Whatsapp Kelas

Isi Kandungan
ToggleMemandangkan ramai yang buat group whatsapp sekolah di zaman teknologi serba canggih ini, mak ayah patut tahu ‘undang-undang’ cara terbaik untuk berhubung di antara satu sama lain.
Tak dinafikan apabila menggunakan WhastApp, ini memudahkan mak-mak nak buat perbincangan yang dilihat mata kasar dan menerima maklum balas dengan pantas tentang perkembangan anak atau hal berkaitan dengan sekolah.
Namun ada juga yang tersalah guna dengan kemudahan Whatsapp sampai mak ayah lain rasa rimas untuk join dalam group kelas, jadi sebelum ‘macam-macam’ eloklah baca nota daripada Ammar Kamilin ini…
Rutin Harian Mak Ayah Dalam Group Whatsapp
Esok pagi, kita boleh menjangkakan ramai ibu bapa yang akan turun menghantar anak masing-masing ke sekolah.
Kereta akan penuh diletakkan di kiri dan kanan jalan raya. Motor dan kereta bersimpang siur dalam kawasan sekolah. Kita akan jumpa segelintir manusia yang jika boleh mahu meletak kereta dalam kotak parkir guru besar.
Akan kelihatan di mana-mana sekolah, ibu bapa dan anak berpimpinan tangan melintas jalan, bapa-bapa menjinjing beg sekolah anak dan ibu-ibu memegang tupperware (baru beli) masing-masing penuh sabar di kantin menunggu waktu rehat.
Ada antara kita, esok merupakan pengalaman pertama anak sulung memasuki kelas Tahun 1 di sekolah. Tahniah!
Baik, saya mahu berkongsi satu perkara. Jika saya beritahu ini, jangan terkejut!
Duduk saja anak kita di bangku sekolah, kemungkinan besar akan diwujudkan ‘group whatsapp’ untuk kelas mereka. Lalu, sayugia dimaklumkan, bertambahlah 1 lagi group dari puluhan ‘group’ yang sudah sedia ada dalam whatsapp kita.
Ini adalah amalan biasa, terutamanya untuk anak-anak Tahun 1. Maklum saja, anak-anak ini baru ‘berpindah alam’ dan ibu bapa akan sentiasa tertanya-tanya keadaan anak mereka.
Jika tidak diwujudkan group, kita beruntung. Tidak perlu pening kepala mendengar notifikasi ‘ting, ting, ting!’ tak kira masa.
Jika tiba-tiba kita dijemput masuk (invite), maka, bersiap sedialah.
Dari pengalaman 7 tahun bergelumang dalam group whatsapp, saya kongsikan,
Bahagian 1 : 10 perkara bagus dibuat dalam group whatsapp kelas, dan
Dan bahagian 2 : 10 perkara perlu dielakkan dalam group whatsapp kelas.
BAHAGIAN 1
| 10 Perkara Bagus Dibuat Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Sebaik-baiknya, ibu dan bapa, kedua-duanya dimasukkan di dalam group ini. Bukan apa, bagi suami isteri yang bekerja, ada masa, kesibukan akan menyebabkan ada mesej dari guru yang tidak sempat dibaca.
Sekurang-kurangnya, salah seorang dari kita boleh maklum dan mendapat informasi sekiranya pasangan masing-masing sibuk.
Saya faham, kita mungkin terganggu dengan bunyi mesej bertalu-talu, terutamanya orang lelaki (saya memang rimas, tak pasti lelaki lain).
Apa yang boleh dibuat, letakkan notifikasi untuk group ini dalam tetapan (mode) ‘mute’. Jadi segala-galanya akan sunyi sepi. Kita hanya akan baca, apabila bersedia untuk membaca. Yang penting, maklumat sampai.
2. Kita tidak mahu cikgu-cikgu dalam group keliru, sama ada ini group ibu bapa atau group ‘Taman Haiwan’. Tengok foto profil masing-masing, ada gambar kucing, gambar arnab, gambar bunga ros, eh, macam-macamlah.
Jadi, elok ditukar foto profil whatsapp dengan wajah sebenar kita. Letak foto yang paling kredibel, bukan yang bibir juih ikat tepi. Nama yang ‘appear’ di whatsapp juga, gunakan nama sebenar yang sama dengan bin atau binti anak kita tu.
Apa-apa kecemasan berlaku di sekolah, senang cikgu nak skrol dan cari. Takdelah sampai terpaksa buat pengumuman, ‘Siapa bapa Qistina Pavlova?, Siapa ibu Syafiq Kyle?’ Kan susah tu.
Sudah-sudahlah bubuh nama seperti ‘Jejaka Korea’. Buat malu saja masa ambil ‘result’ anak nanti. Buat cikgu tertanya-tanya, ‘celah mana Koreanya?!’
3. Apabila cikgu dah buat group khas untuk maklum apa-apa tentang anak kita, itu menunjukkan cikgu tu sangat prihatin. Mana ada cikgu yang ‘serah tengkuk’ untuk diganggu 24 jam? Jadi, dah dapat cikgu kelas yang begini, kita berbudi bahasa dan berkenalanlah.
Pendek pun tak mengapa, “Assalamualaikum cikgu, saya Ammar Kamilin, bapa Zulfa, terima kasih invite.” Cukup. Cikgu pun boleh ‘save’ nombor henfon kita dengan tepat. Jangan sibuk-sibuk nak tanya, cikgu available ke tidak? Lupa ke bini kita pun dah ‘add’ dalam group tadi.
4. Ada anak kita yang jenis teliti dengar arahan. Ada kawan sekelas anak kita yang susah nak beri tumpuan. Jadi, apabila ada ibu bapa lain yang bertanya tentang tugasan sekolah dan sebagainya, bantulah mereka. Bantu jawabkan bagi pihak cikgu.
Cikgu pun tak terlarat nak jawab setiap masa. Kadang tu saya perhati, “Esok pakai baju sukan ke baju sekolah?.” Soalan macam tu pun, 10 kali orang tanya sejak pukul 7 malam sehinggalah subuh esok pagi. Sian cikgu.
Ada sesetengah parents ni pun satu hal, nak skrol pun berkira. Risau ‘thumb print’ terkikis agaknya. Susah nak ‘punch card’.
5. Dah nama pun ibu bapa, mesti lebih pandai dari anak-anak (banding anak Tahun 1). Jadi, menaip mesej di group, sebaiknya ejaan penuh, tidak kontot-kontot macam bahasa ‘Alien’.
Bukan apa, mengeja penuh boleh elak salah faham. Bukan semua orang mahir teka teki. “Ckg, esk pki bj pe?” Aduh, boleh sewel nak tafsir. ‘pki’ tu apa? macam mencarut pun ya. Eja penuh ya. Tolong.
6. Pagi-pagi sebelum 7.30, biasanya cikgu perlukan maklumat pelajar tidak hadir sekolah. Jika anak kita tidak hadir atas alasan apa sekalipun, maklumkan cikgu.
Lebih bagus, kita boleh tulis whatsapp seperti senarai, dengan tajuk, ‘Murid Tidak Hadir Hari Ini’. Jadi, mudah ibu bapa lain menyambung senarai itu (copy, paste, edit). Cikgu pun senang kerja. Sama-sama gembira.
7. Tiada siapa yang boleh mengelak sakit, begitu juga anak kita. Boleh jika mahu berkongsi berita tersebut dengan group whatsapp kelas. Sekurang-kurangnya, berita kesihatan anak kita, dapat disampaikan oleh ibu bapa lain kepada anak-anak mereka.
Ini mendidik empati pada rakan sekelas. Sebagai ibu bapa, kita doakan kesembuhan buat anak rakan kita. Rakan anak kita, anak kita juga. Begitulah semangat kekeluargaan.
8. Dalam kalangan anak-anak kita, akan ada yang terpilih mewakili sekolah dalam aktiviti luar. Kebiasaannya akan ada guru pengiring atau ibu bapa mereka yang terlibat akan ikut bersama. Tiada masalah untuk berkongsi foto aktiviti tersebut dalam group.
Kita dapat mengetahui wujudnya aktiviti luar yang disertai pihak sekolah. Ada rezeki, kita boleh sediakan anak-anak kita untuk aktiviti atau pertandingan yang sama.
9. Ada masanya, cikgu akan menampal pengumuman dari pihak sekolah dalam group whatsapp, terutamanya yang berbentuk ad hoc.
Sekiranya maklumat tersebut naik, naik, dan naik sehingga tenggelam disebabkan masuk mesej-mesej baharu, ada baiknya ibu bapa yang prihatin mengambil inisiatif menampal semula informasi tersebut untuk mengelakkan ada ibu bapa yang terlepas pengumuman itu.
10. Sekali sekala, apabila cikgu menghantar mesej atau foto aktiviti yang dijalankan di dalam kelas melibatkan anak-anak kita, sebaiknya ibu bapa dapat memberi respon dan penghargaan kepada guru tersebut. Salah seorang, sama ada ibu atau bapa pun sudah memadai.
Sekurang-kurangnya, cikgu merasai sentiasa mendapat sokongan padu dari ibu bapa anak-anak murid mereka.
BAHAGIAN II.
| 10 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Nama pun group whatsapp kelas, jadi, kita elakkan bersembang hal politik negara dalam group ini. 2018 ni tahun pilihanraya, saya yakin, memang ada yang akan buat perangai ‘terlajak perahu’ nanti.
Kekalkan keharmonian group ini. Perkara terakhir kita mahu elakkan, ibu bapa ‘left group’ beramai-ramai kerana bergaduh hal yang tiada kena mengena dengan anak dan sekolah.
2. Elakkan menampal iklan bisnes atau cerita-cerita viral yang tiada kena mengena dengan hal ehwal persekolahan anak-anak. Saya tahu, ramai yang ada ‘part-time business’, tetapi group whatsapp ni bukan saluran yang sesuai.
Kecuali ada yang bertanya, “Mana eh nak cari tudung macamni?” Jika kita boleh membantu, boleh saja PM tepi. Lebih profesional. Cerita-cerita viral artis, politik, perkauman, jauhkan dari group ini. Tak larat nak baca, ‘dari group sebelah’. Entah sebelah mana pun kita tak tahu.
3. Whatsapp group bukan tempat ‘arah-arah’ cikgu. Ini adalah tempat kita ‘minta tolong’ dengan cikgu. Jadi, sewajarnya, ayatnya juga lebih lembut dan tidak mendesak.
“Maaf cikgu, saya terlupa beri duit belanja pada Asyraf Muslim. Mohon jasa baik cikgu pinjamkan duit dulu ya, saya pulangkan kemudian. Terima kasih cikgu.”
Sedap dibaca kan? Mohon maaf, nyatakan tujuan, akhiri dengan terima kasih. Lengkap. Cikgu pun takde rasa tertekan dan ikhlas membantu.
4. Saya selalu perasan perkara ni. Ibu bapa mesej tak kira masa. Apabila cikgu tak sempat menjawab whatsapp, mula meradang. “Eh, mana cikgu ni ek? Tak respon pun.”
Sabar ya. Cikgu pun ada kehidupan dia sendiri. Jika di sekolah, mereka ada jadual mengajar masing-masing. Mana sempat untuk buka whatsapp apabila sedang mengajar.
Jika di rumah, mereka pun ada anak seperti kita. Entah anak dia lebih ramai dari kita. Jika kita mesej jam 7.00 petang, mungkin dia sedang mandikan anak. Kita mesej jam 8.00 malam, mungkin sedang ajar anak mengaji. Mesej jam 9.00 malam, mungkin dia sedang teman suami makan. Mereka pun perlu masa.
Jika tak berjawab juga, percayalah, mereka memang benar-benar tidak sempat menjawab. Jika memang sangat kecemasan, cuba pula hubungi ibu bapa kawan anak kita. Mereka mungkin tahu.
5. “Siapa ibu Aiman Danial dalam group ni? Anak saya kata, dia curi ‘pencil box’.”
Hah, sudah! Tanda-tanda perang akan bermula. Memang ada ibu bapa yang serang ibu bapa lain dalam group whatsapp. Kalau boleh, mahu satu kelas tahu mereka sedang berkonfrontasi. Relaks ya, abah, mama. Perkara begini, elok PM tepi dan selesaikan ‘face to face’. Tidak perlu amuk dalam group.
Tunggu keesokan hari, lapor pada guru kelas di sekolah. Insya Allah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Sebolehnya, keharmonian group kekal terpelihara. Elok 2 famili saja terlibat, habis 1 sekolah tahu. Kool ya!
6. “Cikgu, macamana ya subjek Bahasa Inggeris anak saya ni? Dapat D.” Mengadu hal anak dalam group. Ini mungkin kurang sesuai. Ya, mungkin ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tetapi, jika dibincang dalam group, akan jadi panjang lebar dan mengganggu ibu bapa lain yang melihat notifikasi tanpa henti.
Sebaiknya perbincangan tentang anak kita, dibuat dengan berjumpa guru tersebut. Apabila guru menawarkan solusi, contohnya mengadakan kelas tambahan, barulah sesuai kita iklankan dalam group whatsapp kelas supaya anak-anak lain dapat ‘join’ bersama.
7. Cikgu baru saja tampal pengumuman dan info terkini tentang apa yang anak-anak perlu sediakan esok. Tak sempat dibaca, dah ada ibu bapa yang kecoh bersembang sampai pengumuman tadi akhirnya hilang naik ke atas.
Memang boleh skrol, tapi macam saya tulis awal tadi, bukan semua rajin untuk skrol. Sebaik-baiknya ketika cikgu sedang menaip pengumuman, elak mencelah! Biarkan informasi lengkap sepenuhnya, baru diajukan pertanyaan.
8. Ibu bapa zaman moden ni, memang ramai yang positif! Rajin ‘forward’ foto dan video motivasi ke dalam group. Baguslah jadi orang positif, tetapi group whatsapp kelas ni untuk komunikasi guru dan ibu bapa, jadi kekalkanlah begitu. Hanya hal ehwal sekolah dan anak-anak.
Bab positif ni, biar kekal dalam group positif kita saja. Lagipun, foto dan video menelan ‘data’ yang banyak. Bukan semua ibu bapa ada ‘plan internet tanpa henti’ macam kita. Mereka pun mesti dah tengok foto dan video tu dalam group lain, jadi, cukuplah.
9. Anak-anak kita memang aktif di rumah. Macam-macam aktiviti mereka buat. Melukis, mewarna, menulis, dan banyak lagi. Bagi saya, cukuplah ambil foto dan simpan sebagai kenangan keluarga saja. Tidak perlu tampal dalam group whatsapp kelas.
“Cikgu, tengok, anak saya dah pandai lukis dinasour.” Ya, kami pun tumpang gembira. Tetapi bayangkan jika semua ibu bapa buat perkara sama. Berapa banyak foto kita nak tengok. Entah sempat atau tidak cikgu nak menengoknya. Tah, tah, cikgu pun sedang jadi ‘dinasour’ di rumah. Jika mahu juga, hantar ‘personal’ pada cikgu. Boleh ya.
10. Disebabkan bertukar tempat kerja, anak kita mungkin berpindah dari sekolah itu. Sebaiknya, ceritakan sedikit tentang perpindahan tersebut dalam group dan mohon izin untuk ‘left group’. Sekurang-kurangnya, ibu bapa lain yang sudah lama mengenali anak dan diri kita akan maklum dan memberikan ucapan tanda ‘selamat tinggal’. Suasananya lebih muhibbah.
Meninggalkan group tanpa memaklumkan apa-apa, seolah-olah kita ‘memutuskan’ silaturrahim yang telah diwujudkan dengan ibu bapa lain sebelum ini dan terus menghilang.
Mungkin ada perkara lain yang tidak disebut, saya buka kepada ibu bapa berpengalaman lain untuk menambah dalam ruang komen.
Sebelum ada yang bertanya, anda bebas dan digalakkan untuk SHARE dalam group whatsapp sekolah.
~Ammar Kamilin~
Certified Consultant, Group Whatsapp Kelas Anak
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI