Allahuakbar. Seorang bapa terdengar bunyi dentuman yang kuat, tetapi tak sangka anak sendiri yang terjatuh. Ketika itu dia sedang mencari anaknya yang tiada di rumah.
Daripada bunyi itu, dia menjumpai anaknya yang terjatuh daripada tingkat lima bangunan kediaman mereka. Sudah tentu luluh hati bapa bila melihat keadaan anak yang dicari sebelum itu.
Bapa Terdengar Bunyi Dentuman Kuat
Seorang bapa tidak menyangka bunyi dentuman kuat yang didengar di kediamannya di Flat Taman Bukit Inai, Nilai, Negeri Sembilan semalam, rupa-rupanya bunyi anak perempuannya berusia 13 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan.
Paling memilukan apabila kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku ketika Rusazli Azmi, 40-an sedang mencari anaknya selepas dia didapati tiada di rumah.
Menceritakan kejadian, bapa saudara mangsa, Rusazuan Azmi, 33, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu selepas dihubungi bapa arwah merupakan abangnya.
Tak Sangka Anak Sendiri Yang Terjatuh
“Pada waktu itu saya baru saja sampai di rumah selepas pulang dari tempat kerja dan abang saya telefon beritahu anak dia jatuh.
“Saya terus bergegas ke lokasi dan waktu itu arwah masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban,” katanya yang tinggal di perumahan sama.
Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian itu, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua dengan kakaknya yang berusia 17 tahun.
Mangsa Tiada Di Rumah
Bagaimanapun katanya, ibu mangsa yang pulang ke rumah lebih awal mendapati mangsa tiada di rumah.
Ads
“Abang saya yang sampai ke rumah kemudiannya mencari mangsa di kawasan sekitar perumahan kami, tapi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seperti ada sesuatu jatuh.
“Dia kemudian berlari ke arah bunyi tersebut tapi sangat mengejutkan kerana yang jatuh itu adalah anaknya,” katanya.
Kata Rusazuan, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Berhenti Membuat Spekulasi
“Arwah ini anak nombor empat daripada enam beradik dan ketika kejadian ibu bapanya sedang berniaga.
“Mengikut kata abang saya (ayah mangsa) sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan yang dia mempunyai masalah dan dalam keadaan baik saja,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kematian mangsa.
Ads
Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah kes mati mengejut.
Mingguan Wanita : Telah tiba ajalnya, harap keluarga ini tabah menerima kehilangan ini. Secara tidak langsung, kejadian ini menjadi iktibar buat mak ayah di luar sana, kadang-kadang kita tidak tahu apa yang dilalui anak-anak setiap hari. Diharap juga kejadian yang sama tidak berulang dan berlaku kepada kita semua. Al-Fatihah.
Inilah yang dikatakan cinta hingga ke hujung nyawa. 70 tahun melayari bahtera perkahwinan bukannya suatu jangka waktu yang sekejap.Isabell Whitney dan Prebel Staver berjaya membuktikan cinta mereka hingga ke akhir hayat.
Bertemu Sebelum Perang Dunia Kedua
Isabell Whitney dan Prebel Staver jatuh cinta pada pandangan pertama ketika bertemu dalam satu ‘blind date’ di Philadelphia. Namun, mereka terpaksa menghentikan sebentar perhubungan apabila Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Kedua. Isabell telah menyertai pasukan jururawat tentera laut yang berpangkalan di Maryland manakala Preble pula berkhidmat sebagai seorang Tentera Marin. Lima bulan selepas tamatnya peperangan, mereka terus ke jinjang pelamin pada 15 Feb 1946.
Pasangan ini dikurniakan lima orang anak sepanjang tempoh perkahwinan. Salah seorang anak mereka, Laurie Staver Clinton memberitahu majalah PEOPLE, “Mereka adalah orang yang sangat hebat. Ibu sering berpesan bahawa kita tidak boleh mengubah seseorang tetapi kita boleh mengubah sikap kita terhadap mereka. Ayah saya adalah seorang yang agak sukar untuk diuruskan!”
Tinggal Di Pusat Jagaan Norfolk
Pada tahun 2013, pasangan ini berpindah dan tinggal di sebuah pusat jagaan di Norfolk selepas Isabell mula menunjukkan tanda-tanda demensia. Preble sangat kecewa melihat keadaan demensia isterinya yang semakin teruk, sehingga bilik mereka terpaksa diasingkan.
Walaupun demensia Isabell semakin kronik, dia tetap mengingati suaminya yang dicintai. Menurut Laurie, mereka perlu sentiasa meminta Isabell untuk fokus dan melihat. Namun, setiap kali Isabell melihat dan tahu itu adalah suaminya, dia akan terus tersenyum.
Semasa usia Preble hampir mencecah 96 tahun, dia memberitahu anaknya yang dia mahu berkongsi katil untuk tidur sejenak bersama Isabell. Jadi, para pekerja membuat persiapan dan menguruskan agar permintaan Preble dipenuhi.
Apabila pekerja menolak kerusi roda Isabell masuk ke dalam bilik, Isabell menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepada Preble. Pasangan itu kemudian berbaring di samping satu sama lain selama tiga jam tanpa mengucapkan walau sepatah kata. Mereka hanya berpegangan tangan dengan erat sehingga tertidur. Preble berasa sangat gembira kerana itu merupakan hadiah hari lahir paling bermakna daripada Isabell.
Beberapa hari selepas itu, Laurie dimaklumkan yang dia perlu mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Laurie turut membawa ayahnya berjumpa ibu untuk memberikan kata-kata terakhir mereka.
Beza 14 Jam, Meninggal Hari Yang Sama
Preble hanya memegang tangan Isabell. Laurie bertanya pada ayahnya sama ada dia mahu ditinggalkan di situ selepas berdoa, namun dia menggelengkan kepala. Laurie memberitahu ayahnya, jika dia tidak mahu menghabiskan masa di situ, dia perlu melepaskan tangan ibu. Preble menitiskan air mata dan dibawa pergi.
Isabell menghembuskan nafas tidak lama selepas itu. 14 jam kemudian, Preble turut sama menutup mata buat selama-lamanya.
Pasangan yang sangat sweet ini dilahirkan dengan beza hanya 14 hari pada tahun yang sama dan meninggal 14 jam perbezaan pada hari yang sama.
Preble dan Isabel bersama-sama mengharungi 70 tahun usia perkahwinan dengan penuh komitmen. Tidak kira apabila hidup menjadi sukar ataupun menemui apa-apa halangan dan onak duri, mereka tetap tempuhi bersama sehingga ke akhir hayat.
Bertuah ibu, Nur Azreen Saleh dan ayahnya, kerana memiliki seorang anak lelaki yang punyai jiwa yang besar. Sejak anaknya, Izz Zhafran berusia 4 tahun lagi dia sudah didedahkan dengan misi bantuan banjir.
“Dah biasa ikut Ayah dan Ummi menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.” luah ibu menerusi ruangan facebook miliknya.
Kini, Zhafran sudah 8 tahun dan tidak kekok ke hulu ke hilir mengangkat barangan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir.
Tersentuh hati melihat gelagat Zhafran yang mengenakan baju T belang-belang. Kata Zahfran yang menyambut hari kelahiran pada 25 Disember lalu, dia merasa seronok.
Malah akuinya, inilah ‘birthday’ paling best untuknya.
Kongsi ibunya lagi,
25 Disember 2021.. Sambutan Hari Jadi Izz Zhafran yang ke 8 tahun. Lain dari yang lain.
Kali ini tiada sambutan, nyanyi-nyanyi, tiup lilin, potong kek seperti kebiasaan.. Tiada juga hadiah-hadiah istimewa.
Sebaliknya, Izz Zhafran berkhidmat sepenuh hati, menyumbang tenaga untuk rakyat dan masyarakat dalam misi bantuan banjir Selangor pada hari ulangtahun kelahirannya.
Izz Zhafran seawal usia 4 tahun lagi dah biasa ikut Ayah & Ummi, menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Memang sengaja Ummi didik begitu. Anak lelaki kan? Menjadi tanggungjawab Ayah & Ummi untuk bentuk jati diri yang kuat dalam dirinya supaya menjadi khalifah di bumi Allah ini. Tapi Ummi tak pula memaksa. Dari kecik lagi, dia yang bersemangat nak ikut setiap program amal yang biasa Ummi aturkan.
“Birthday tahun ni paling best sekali.” Itu kata-kata yang keluar dari mulut anak soleh berusia 8 tahun ini.
Pada Ummi, umur sebegini belum mampu mengucapkan kata-kata sekadar menjaga hati kan? Hehehe.. Kiranya itulah luahan hati yang jujur & ikhlas. Agaknya lah.
Melihat Sendiri Keadaan Teruk Akibat Bencana
Sepanjang berada di kawasan bencana, terlalu banyak pelajaran yang diperolehi. Bukan kah pengalaman itu adalah ‘guru’ terbaik yang mengajar kita tentang kehidupan?
Melihat dengan mata sendiri keadaan teruk akibat bencana dan menghulurkan bantuan dengan tangan sendiri memberi pengalaman yang tak ternilai harganya dan tak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Semoga sambutan hari jadi kali ini akan kekal terpahat dalam ingatan. Sebab inilah sambutan hari jadi paling rare tapi yang penting dia gembira dan BAHAGIA.
Selamat Ulangtahun Kelahiran Anakku.. Moga jadi khalifah berjaya dunia akhirat.. Doa Ummi akan sentiasa mengiringi setiap langkahmu.. Jadilah yang terbaik dan sentiasa usaha jadi orang baik, bukan untuk orang sayang, tapi paling penting nak ALLAH sayang
** Gambar last tu Ummi upah staycation setelah penat berada di lapangan bencana.
Kemalangan maut akibat dirempuh pemandu mabuk memang sukar dimaafkan apatah lagi orang tersayang yang menjadi tempat bergantung hilang sekelip mata. Nyawa bukan mainan dan boleh dicari ganti hatta di beli dengan wang ringgit. Akibat sikap pentingkan diri, memandu dalam keadaan mabuk mengakibatkan nyawa insan lain yang tidak berdosa menjadi mangsa. Seribu kesalan pasti dirasai buat keluarga mangsa ini.
“Saya tidak maafkan, nyawa tidak boleh diganti dengan wang, saya kini betul-betul hilang arah,” kata Zahlawati Zahlan,47.
Dia adalah isteri kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi semalam.
Hilang Arah Dan Punca
Zahlawati berkata, kehidupannya bergantung kepada suami yang melakukan pelbagai pekerjaan sambilan terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Arwah buat pelbagai kerja termasuk menghantar makanan yang ditempah pelanggan melalui perniagaan kecil-kecilan saya.
“Kini saya hilang arah dan punca. Arwah meninggalkan empat anak tiri berusia tujuh hingga 15 tahun dan anak bersama saya berusia enam tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Zahlawati Zahlan,47 isteri kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dirempuh pemandu mabuk.
Panggilan Tidak Berjawab
Menurutnya, dia mengetahui kejadian yang menimpa suaminya selepas cuba menghubungi telefon namun panggilan tidak berjawab.
“Dia keluar untuk menghantar makanan di rumah rakannya di Pantai Dalam pada jam 9.30 malam. Kira-kira jam 1.30 pagi saya cuba hubungi arwah sebanyak lima kali namun tidak berjawab, namun panggilan keenam dijawab orang awam yang memaklumkan suami saya terbabit kemalangan.
“Saya terus bergegas ke lokasi dan mendapati arwah sudah tidak lagi bernyawa, dia dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu mempercepatkan pindaan undang-undang terhadap pemandu mabuk ini bagi mengelakkan ramai lagi menjadi mangsa.
“Undang-undang perlu diperketatkan, suami saya menjadi mangsa, malah bulan ini saja berapa ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa?
“Kini saya sudah hilang orang tersayang yang mencari rezeki untuk keluarga. Tindakan perlu diambil dengan segera,” katanya.
Foto Ihsan PDRM
Cedera Parah Di Kepala
Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Zaili Mohamed disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.
“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.”
“Suspek memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu setelah ditahan orang awam.”
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan,” katanya.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga kejadian ini dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal. Nyawa bukan boleh dicari ganti dengan wang, semoga hukuman dapat diperketatkan bagi mengelak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa. Alfatihah.