Esok Aidiladha akan diraikan. Pasti ramai yang ambil kesempatan untuk bercuti panjang untuk pulang ke kampung halaman. Bahkan ada yang ambil kesempatan untuk mengadakan majlis reunion dengan rakan-rakan lama. Memang niat itu bagus. Tapi awas, reunion boleh menjadi mudarat dalam keadaan tertentu.
Semak perkongsian daripada HM Tuah Iskandar Al-Haj, pakar motivasi dan penulis tetap ruangan Motivasi di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Reunion, walau bagaimana bersih anda mengatakannya, ia tetap akan bercabang. Sama ada cabang-cabang itu sekadar cabang biasa atau ia menghala pada hal-hal luar jangka, ia ‘pasti’ akan terjadi.
Sememangnya ini sukar hendak diakui tetapi hakikatnya begitulah. Apa lagi dengan teknologi WhatsApp pada hari ini, kecenderungan untuk menghantar mesej peribadi pada orang tertentu dalam grup memang ada.Apabila ingin berahsia, WhatsApp peribadi adalah pilihan.
Mula-mula Biasa
Memang mula-mula mesej-mesej peribadi ini kelihatan biasa saja. Tetapi lama kelamaan, kalau dah hari-hari berbalas whatsApp, sedikit sebanyak akan mula terpesong, dipesongkan atau memesongkan. Kadang-kadang belum pun seminggu berbalas whatsApp, perkataan-perkataan seperti ‘gindu’, ‘ayang’ sudah mula dihantar.Emoji-emoji nakal juga sudah mula datang dan pergi.
Apabila reunion dirancang atas alasan untuk silaturahim, ia tidak sebenar-benarnya menghala ke situ. Memang ada yang menyimpan niat lain. Sekadar bertemu muka apa salah, tetapi setelah bersua muka di tengah ramai, ingin pula rasanya berdua sahaja.
Bagaimanakah konklusi ini dibuat? Ia berdasarkan banyaknya kes orang bercerai bermula daripada grup WhatsApp dan reunion. Screenshot komunikasi whatsApp ini menjadi bukti dalam perbicaraan di mahkamah, sebelumnya sudah menjadi penyebab dalam pergolakan rumah tangga. Banyak screenshot yang dihantar kepada saya oleh pasangan bermasalah turut membuktikan hal ini.
Oleh itu, usah percaya jika pasangan pergi bersendiri untuk apa-apa juga urusan reunion. Pergilah berdua dan lihatlah apa tindak balas pasangan. Dia mungkin terus tidak mahu pergi dengan pelbagai alasan pula, padahal sebelumnya beria-ia hendak keluar. Mengapa?
Reunion Juga Boleh Memesong?
Reunion memanglah baik tetapi ia juga boleh memesongkan hingga terheret mereka yang terhormat di dalamnya kepada hal-hal yang tidak masuk akal. Walaupun masing-masing sudah bergelar datuk dan nenek, perasaan yang pernah terjalin dahulu tetap sama.
Cukup seorang memberanikan diri untuk whatsApp peribadi dan cukup whatsApp itu disahut dengan senang hati, hubungan terlarang boleh terjadi.
Pada permulaan reunion, sememangnya masing-masing menampakkan keikhlasan untuk berukhuwah, tetapi perjalanan yang dilaluinya tidak selalu lancar. Perasaan memang tidak pernah tua selari berengsotnya usia.
Kalau dulu ada rasa syok, hari ini perasaan itu tetap sama. Syabaslah mereka yang dapat mengawal diri untuk terus menjadikan grup whatsApp sebagai medium yang bersih, reunion pula dapat dilaksanakan selari dengan kehendak ukhuwah dan silaturahim, namun selalunya tidak juga.
Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk/Imam Kariah Taman Keladi, Abidin Hasan berkata, pernah suatu ketika ada pasangan datang kepadanya mengakui whatsApp menjadi punca mereka berpisah.
Situasi ini melibatkan isteri yang menyedari suaminya menjalin hubungan dengan wanita lain menerusi kiriman whatsApp yang disulam ayat-ayat cinta dan kemesraan. – (Sinar Harian 21 Mac 16).
Purata sebanyak 10 permohonan cerai diterima Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu setiap hari dengan majoriti pasangan berumur antara 30 hingga 50 tahun.
Media Sosial Penyebab Salah Faham Suami Isteri
Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, media sosial turut menjadi antara faktor yang menyebabkan perceraian.
Trend penggunaan aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook boleh mengundang kepada keraguan pasangan yang secara tidak langsung mendorong kepada perbuatan curang apabila perhubungan biasa bertukar menjadi perhubungan mesra.
“Saya akui isu adanya Facebook dan WhatsApp menyebabkan berlaku salah faham suami isteri sehingga membawa kes itu ke mahkamah seterusnya menyumbang kepada faktor yang membawa penceraian,” ujarnya – (Metro 19 Jan 18).
Nampakkah anda betapa kroniknya hal ini? Oleh itu, jika sayangkan rumah tangga dan anda tahu anda telah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya terhadap pasangan, usah benarkan dia terlalu berlama-lama bermain whatsApp ataupun terlalu kerap pergi reunion.
Semua hubungan kalau keterlaluan akan menjadi buruk sebab ia bergerak bersama niat-niat tidak suci orang yang berada di dalamnya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI