Terlalu banyak kes yang melibatkan anak-anak tular di media sosial baru-baru ini. Jadi mak ayah yang bekerja atau tidak, kebimbangan tetap muncul di hati. Setuju, ada anak depan mata pun belum tentu mereka selamat.
Sebab segala-galanya boleh dapat di hujung jari dan pergaulan dengan rakan-rakan terdekat juga boleh jadi punca berubah watak yang kadang kita pun tak sangka. Jadi apa yang mak ayah boleh buat untuk pastikan anak-anak terlindung daripada kes bahaya yang semakin menular?
Macam yang Puan Intan Dzulkefli kongsikan, zaman ini bukan lagi masanya untuk sekadar berbangga beranak tiap tahun, anak cantik & handsome, anak sekolah cemerlang akademik, tetapi untuk memastikan anak-anak takut Allah, takut bermaksiat kepada Allah, berakhlak mulia di dunia nyata & media sosial, berintegriti di depan manusia & di hadapan Allah.
Boleh Marah Anak Tapi…
Zaman sudah berubah. Kita boleh sekat anak-anak & tak beri smartphone, kurung dalam rumah, tetapi anak-anak boleh mendapatkannya dari kawan-kawan apabila berjumpa & bergaulan.
Kita boleh ugut, marah, pesan pada anak-anak tentang jangan menggatal, jangan ber-couple, jangan keluar dating dengan jantan naik motor sampai lewat malam, boleh jadi depan kita dialah anak solehah, angguk-angguk dengan tawaduk, namun, di belakang kita, boleh jadi sebaliknya. Nauzubillah.
Bila bertemu orang soleh yang berjaya mendidik anak-anak menjadi insan yang soleh-solehah & musleh, saya akan selalu meminta doa, tip & nasihat dari mereka.
I always believe, prevention is better than a cure. Tidak lain hanyalah menyiapkan asas dalam diri anak-anak untuk menempuhi ‘peperangan’ akhir zaman ini.
1. Didiklah anak mengikut zamannya. Tak boleh terlalu keras, akan membuat mereka memberontak. Namun, ibubapa tidak boleh terlalu naif juga, kelak anak pijak kepala kerana ibubapa ‘blur’. Jadi ibu bapa yang bijak, zaman kita membesar tak sama seperti zaman anak membesar. Sentiasa letakkan agama di hadapan walau bagi sesetengah orang, ia pemikiran yang kuno. Islam is the way of life.
2. Bila anak-anak meniti remaja memang akan timbul rasa ‘suka’, ‘tertarik’ pada berlainan jantina, jangan kita jerkah dia sebagai gatal nak kahwin. Nanti dia berpura & berselindung di depan kita, padahal di belakang boleh jadi anak lelaki sudah angkut anak dara orang ke hulu ke hilir, yang perempuan boleh jadi ‘sudah menjadi isteri tanpa akad nikah’ di luar pengetahuan ibu bapa.
Biarkan anak berkongsi perasaan & sebagai ibu bapa, didik jiwa mereka untuk tackle perasaan itu. Jelaskan tentang perubahan hormon remaja, pendidikan seks, solusi dalam islam (nikah setelah faham & sedia galas amanah) serta tanggungjawab di dalam perkahwinan. Hubungan suami isteri adalah mulia & berpahala, tetapi zina adalah keji & berdosa. Namun yang mulia berpahala itu datang sekali dengan pakej tanggungjawab yang berat. Perlukan persediaan. Bukan hal remeh.
3. Pantaulah aktiviti anak. Smartphone, media sosial, siapa kawan-kawannya, sesekali follow aktivitinya tanpa pengetahuan mereka untuk lebih mengenali ‘watak sebenar’ anak. Barangkali di depan kita dia anak yang naif, namun, rupa sebenar apabila dengan orang lain & di media sosialnya, boleh jadi sudah sangat lain.
4. Mendidik anak lelaki & wanita sama penting & sama hebat cabarannya. Tak boleh hanya ajar anak perempuan tutup aurat, jaga solat, jaga akhlak, melainkan kena seiring, didik anak lelaki agar jadi pelindung, jangan pandang perempuan sebagai objek seks semata, sebaliknya perempuan adalah untuk dihormati, dididik, disayangi & dilindungi. Jika sukakan seseorang, perlu ada keberanian untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami, ketua rumahtangga.
Ajar anak lelaki untuk bersifat pemimpin, bukannya tiada misi hidup, tiada motivasi, tiada usaha untuk memajukan diri serta miskin tanggungjawab. Terlalu banyak kes apabila nikah dimudahkan, golongan lelaki ambil mudah pula soal tanggungjawab hingga akhirnya menzalimi isteri & anak-anak. Semuanya kerana jahil.
Oleh itu, sebagaimana kita mahu siapkan anak dara kita untuk menjadi sebaik-baik isteri, siapkanlah juga anak lelaki kita untuk menjadi ketua keluarga yang qawwam.
5. Mengelak zina bukan hanya dengan ugutan, “macam mana kalau kamu mengandung?”, maka nafsunya akan sentiasa cari jalan agar tidak mengandung tetapi zina tetap juga berulang kerana maksiat akan menyebabkan ketagihan.
Didik anak mengelak zina dengan membuat mereka benci untuk menghampirinya. Sedarkan mereka tentang hakikat ianya dosa besar.
Saya teringat ustaz pernah pesan dengan keras;
“Cuba kamu cucuh api di kemaluan kamu bila terbit rasa nak berzina, sanggup tidak? Cucuh tangan dengan api bila terbit rasa nak sentuh kekasih kamu, sanggup tidak? Kalau panas api dunia pun kamu tidak tahan, kamu fikir bagaimana hebat azab seksa api neraka kepada penzina (jika mati tanpa taubat diterima Allah)…”
Mengingatkan pasangan & anak-anak tentang azab seksa neraka adalah wajib sebagaimana ingatan Allah dalam surah at Tahrim, ada pesanan buat para suami agar memelihara ahli keluarga dari menjadi bahan bakar api neraka. Didikan & nasihat secara lembut itu perlu, namun, ingatan tentang membenci jalan ke arah zina juga SANGAT PERLU.
6. Penglibatan bapa sebagai role-model terbaik keluarga adalah amat penting. Tidak dinafikan pemerhatian peribadi saya, kebanyakan kes zina adalah kerana bapa terlalu alpa hingga lost-touch dengan anak-anak. Tautan hati terlalu longgar.
Pujian lelaki ajnabi yang mahu masuk ‘line’ dapat ditepis dengan mudah kerana hati terisi dengan kasih sayang seorang lelaki yang bersifat hero. Bila ada yang meluahkan hasrat, terus minta jumpa ayah. Ayah didahulukan & dimuliakan.
Bayangkan jika seorang anak perempuan tidak disayang, jarang dipuji, tidak diambil berat oleh bapanya & bila didekati lelaki lain yang menawarkan kasih sayang, pujian, hadiah, kata-kata manis, tentulah anak gadis ini akan cair kerana sifat seorang wanita itu memang suka dimanjakan. Di situlah jantan-jantan ini akan mengambil kesempatan!
7. Yang paling perlu diterapkan kepada anak ialah, takut kepada Allah. Anak perlu berpegang, Allah Melihat walau ibu ayah tidak nampak. Redha Allah bergantung kepada ibu ayah. Kalau menipu ibubapa berkatkah kehidupan kita seterusnya?
Sesungguhnya solusinya ialah berbalik kepada agama sejak dari permulaan hidup, hanya taqwa jualah sebaik benteng maksiat.
Terakhir sekali, PALING PENTING kita sebagai ibubapa juga perlulah memperbaiki akhlak & tautan hati kita dengan Allah, jangan lupa doakan anak-anak, bacakan doa di ubun anak-anak semasa mereka menyusu & waktu mereka tidur. Sentiasa sebut yang baik-baik untuk anak-anak walau saat sedang marah sekalipun.
Ibubapa juga perlulah bertaubat sekiranya di masa lampau mereka juga pernah bermaksiat tatkala sebelum nikah apatah lagi jika pernah berzina. Pohonlah keampunan dan perlindungan dari Allah SWT agar dipelihara zuriat keturunan kita dari dosa zina & dosa besar yang lain.
Jangan lelah untuk sentiasa mendoakan anak-anak kita;
Allahumma faqqihuma fiddeen, wa ‘alimhuma at takwil. Robbi habli minas soliheen. Allahumma islih dzuriyyati. Amiin amiin ya robbal ‘alamiin.
Ini doa untuk amalan para ibubapa yang wajib diamalkan sebagai pelindung buat anak-anak kita menempuhi era akhir zaman yang sungguh mencabar ini.
Doa ibu tiada hijab. Doa adalah senjata mukmin.
DOA MENGELAK ANAK DARIPADA MELAKUKAN ZINA/MAKSIAT
اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ
Maksudnya : Ya Allah ampunkan baginya,bersihkan hatinya dan peliharalah kemaluannya.
(Riwayat Ahmad no 21185 , al-Tabarani no 7679, Al-baihaqiy dalm Syu’ab al-Iman no 5415 . kata al-Haithamiy perawi-perawinya adalah thiqah.)
Jika anak itu perempuan, hendaklah ditukarkan Ganti nama hu (هُ ) menjadi ha (ها ) pada perkataan-perkataan ذَنْبَهُ , قَلْبَهُ dan فَرْجَهُ .
Semoga Allah melindungi zuriat keturunan kita dari dosa zina. Amiin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI