Banyak sangat kes pasangan kahwin nak mudah, sanggup ke Thailand demi halalkan hubungan. Yang banyak jenis pasangan kahwin jadi nombor dua! Tetapi bila dah bertahun bersama, akhirnya lelaki buat perangai dan gagal tunaikan tanggungjawab. Padahnya hubungan rumah tangga dilanda badai.
Allah… tolonglah sedar wahai kaum wanita! Untuk renungan sebelum bertindak dengan cara yang salah dalam urusan perkahwinan, jom baca perkongsian penulis ruangan RESEPI HIDUP majalah Mingguan Wanita, Puan Suzana Ghazali ini…
“Kak Su, suami saya tak nak daftarkan perkahwinan kami. Dia cakap, kalau saya uruskan juga untuk daftar, jatuh talak satu.”
Antara aduan seorang isteri yang sudah berkahwin di sempadan hampir lima bulan. Suami melarang gara-gara diugut isteri pertama, jika perkahwinan kedua suaminya didaftarkan, dia akan failkan cerai. Suami isteri ini telah bersemuka dengan saya sebelum ini dan saya nasihatkan untuk uruskan permohonan poligami. Lebih kurang sebulan kemudian, saya dimaklumkan oleh si isteri, mereka dah pun berkahwin di sempadan, dengan pujukan si lelaki tika itu bagi memudahkan urusan.
Teringat kata orang: bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Ya lah, kalau nak susah tu, mudah saja tapi kalau nak senang belakang hari, perlulah bersusah sedikit di awalnya. Kalau senang dan mudah pada awal tadi, biasanya malah kebanyakan kes membuktikan, akan ada payah dan susahnya di belakang hari.
Ads
Ramai yang tahu hakikat ini. Namun, yang menjadi masalahnya ialah tahu tetapi enggan mengambil iktibar. Ada juga yang tahu tetapi bila terkena batang hidung sendiri, bertindak seolah-olah hakikat bukan senang nak senang tu dusta semata-mata. Tetap nak juga ambil jalan mudah dengan pendirian, berdoalah agar mudah juga belakang hari. Ya… memang betul, kita usaha dan yang lainnya kita serahkan kepada AllahYang Maha Kuasa.
Jangan lupa… usaha dan ikhtiar perlulah mengikut jalan dan landasan betul. Sungguh, matlamat tidak menghalalkan cara walaupun jalan yang anda ambil hanyalah bercanggah dengan undang-undang dan bukan hukum syarak. Satu perkara yang perlu diingat terutamanya oleh para gadis dan wanita di luar sana, undang-undang adalah untuk kebaikan anda. Melanggar undang-undang bererti anda menempuh bencana dan paling tragis, ada kes perlanggaran undang-undang dan dalam masa yang sama bercanggah juga dengan hukum syarak.
Ads
Bukan Suka-suka
Ketahuilah, perkahwinan bukanlah perkara main-main apatah lagi perkara gurauan atau suka-suka. Perkahwinan memerlukan agar setiap rukun dan syaratnya dipenuhi. Rukun nikah ada lima: calon isteri, calon suami, wali, dua orang saksi dan sighah iaitu ijab dan kabul. Saya tak nak jelaskan dengan terperinci mengenai hukum dan syarat nikah ini. Saya yakin, anda boleh cari faktanya sendiri. Namun, fokus saya ialah mengenai perkara yang selalu diambil mudah dalam perkahwinan iaitu wali dan saksi.
Teringat kes pertama yang saya kendalikan ketika menjalani latihan praktikal di Kuala Muda, Kedah: seorang lelaki ditangkap bersama seorang wanita yang diakui sebagai isterinya. Malangnya ketika tangkapan dibuat, tiada surat akuan nikah yang berjaya dikemukakan. Ketika perbicaraan, lelaki ini mengeluarkan kenyataan amat menggeletek hati saya hinggalah sekarang.
Ads
Tika hakim bertanya: siapa wali perkahwinan? Si lelaki menjawab: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Hakim bertanya lagi: siapa saksi perkahwinan? Jawapan masih sama: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Ya Allah!! Kenapalah boleh jadi begini? Itu kata hati saya tika itu dan setelah hampir 20 tahun terlibat di dalam bidang kerjaya ini, saya kenal pasti satu perkara, ramai yang mencari jalan keluar yang mudah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya di belakang hari. Seperti kes lelaki yang terlalu mengharapkan abang angkatnya inilah, khabarnya perkahwinan dijalankan oleh kadi Thailand tetapi bila ditanya di mana tempat nikah, jawapannya: sebuah kampung dekat dengan Kuala Ketil. Alahai, bila pula Kuala Ketil masuk bawah sempadan Thailand?
Itu kisah pada tahun 1996. Saya tahu dan saya yakin, hari ini tika kita disogok dengan pelbagai kemajuan, masih ramai lagi yang terlibat dan bercadang untuk terlibat di dalam perkara yang bodoh seperti itu. Ya, memang perkara bodoh dan juga memalukan.
Saya merayu kepada para gadis atau wanita di luar sana, jangan termakan pujuk rayu lelaki yang konon cintakan anda sepenuh hati. Jika benar cinta, minta si lelaki berkahwin dengan anda mengikut cara yang betul, tidak melanggar adat, menepati kehendak undang-undang dan paling penting bertepatan dengan kehendak syarak.
Ketahuilah dan ingatlah, simpankan kemas di lipatan minda anda… natijah dan kesan daripada perbuatan bodoh itu akan diterima dan ditanggung oleh anda sendirian. Terus terang, hampir kebanyakan kes sebegini, pihak lelaki bertindak lepas tangan. Yang merana dan menderita, yang terpaksa meneruskan hidup dalam sengsara adalah anda!!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebaik selesai makan di kedai makan atau restoran, rajin-rajinkanlah untuk kemas pinggan mangkuk atas meja itu. Bukan suruh basuh sampai ke sinki kedai, cuma susun bagi kemas, mudah untuk pekerja membersihkan dan kemas meja makan kita itu kelak.
Dan amalan sebegini sudah menjadi rutin buat keluarga Rohayah Ropa. Katanya inilah yang selalu dilakukan apabila menikmati hidangan di mana-mana kedai makan atau restoran bersama keluarga.
Kongsinya,
“Ini bukan masak tak jadi. Sebaliknya, ini amalan yang selalu kami lakukan bila makan mana-mana kedai atau restoran. Kasihan pekerja penat bekerja,
Walaupun itu tanggungjawab mereka, tapi kita permudahkan kerja mereka.
Katanya lagi,
“Dalam rezeki kita, ada rezeki mereka. Dan dalam rezeki mereka, ada rezeki kita. Sebaik-baik SYUKUR adalah dari sekecil pemberian. Syukur Alhamdulillah.”
MW : Selain berkait soal rezeki, sebenarnya sikap kemas meja makan ini boleh dididik dari rumah lagi. Jika boleh dididik anak-anak agar berdisiplin dengan mengemas meja selepas makan, tentunya itu satu amalan yang bagus untuk diterapkan.
Jadi, terbiasa. Bila selesai saja makan di kedai, terus automatik tak suka nampak bersepah-sepah. Rasa nak susun dan kemas bagi teratur.
Mudah nanti pekerja nak ambil dan asingkan terus sisa makanan ke tong sampah.
Haa.. dekat IKEA pun diterapkan konsep sebegini. Asing siap-siap sisa makanan anda, kemas meja, letak pinggan mangkuk kotor di tempat yang disediakan.
Cara yang diperkenalkan ini tujuannya untuk meminimumkan harga makanan. Dengan itu, tak perlu dah nak bayar pekerja untuk kemas meja makan.
Kita sendiri dah buat semua itu. Mudahkan konsepnya.
Jadi, marilah terapkan amalan murni sebegini. Mudah saja, kemas, susun, asingkan siap sisa makanan kita sebaik selesai makan di kedai. Lagi-lagi kalau makan ramai-ramai tu.
Semoga selain amalan kita jaga kita, kita juga belajar untuk jaga kebersihan sama.
Bukan mudah nak membesarkan anak-anak autisme, namun jika ditakdirkan Allah dapat anugerah anak istimewa seperti ini ternyata anda adalah insan terpilih dan hebat.
Sukar nak digambarkan dengan kata-kata namun apabila melihat video terbaru yang dimuat naikkan Zarina Zainuddin laju mengalirkan air mata, tergambar jelas bahawa dia seorang ibu yang cukup tabah menelan dugaan dan cabaran.
Tahu Anak Autisme
Mengimbas kembali saat mengetahui ciri-ciri autisme yang ada pada anak kembarnya, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai yang kini masing-masing sudah pun berumur 20an, dia sendiri pada awalnya agak terkejut dan sukar untuk menerima hakikat.
“Di waktu saya melahirkan anak kembar saya ini usia saya 25 tahun masih kuat bertenaga saya dapat melahirkan keduanya secara normal biarpun ketika itu kandungan saya berusia 8 bulan.”
“Muhammad Razil Azrai lahir dulu seberat 1.6kg selepas 3minit lahir pula Muhammad Raizal Azrai beratnya cuma 1.4kg.”
“Lebih kurang 10 hari dalam incubatur dengan cahaya lampu biru. Mereka dibawa keluar dari wad. Dan Allhamdulillah tumbesaran nya normal sehingga berusia setahun setengah saya dapati anak saya terlalu aktif Azal dah boleh mula bercakap Azil masih tidak bercakap mulanya saya fikir mungkin lambat.”
Anak Mula Hantuk Kepala
Setelah usia anak kembar saya 3 tahun Azil masih tidak boleh bercakap dan sering menghantukkan kepalanya ke simen atau dinding. 4 kali cermin kereta hadapan pecah dihantuk kepala. Setelah itu saya bawa Azil dan azal berjumpa doktor pakar di Hukm Cheras dan doktor mengesahkan Azil dan Azal mengalami autism.
Ya, ada masa anaknya tantrum dan menangis-nangis. Malah, kalau tidak dipantau anak ini boleh bertindak sehingga mencederakan diri sendiri jika dia rasa kemahuannya tak dapat dipenuhi.
Namun Zarina tetap kuatkan semangat dan tetap mendapat sokongan keluarga serta suaminya, Datuk Seri Dr Abdul Raihan Wan Jaafar untuk memastikan anak-anaknya dapat kasih sayang dan perhatian.
Respond Netizen Melihat Video Zarina Menangis
Buat Zarina Zainuddin, team Mingguan Wanita doakan yang baik-baik dan moga hati mu terus ‘sado’ dalam membesarkan anak-anak syurga ini. Aamiinn.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami memang sepatutnya membantu isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Namun masih ramai yang tak mahu. Alasannya, itu tugas isteri. Lagi pula malu kalau orang tengok.
Kes 1: Amin membantu isterinya mengambil pakaian yang telah pun kering di jemuran. Tindakan Amin disedari oleh jirannya, Amran lalu ditegur: “Amin! Kau ni memang dah kena kontrol dengan bini kau ni!” Amin cuma tersengih.
Kes 2: Amran sedang berbual dengan Amin.Tiba-tiba isteri Amran menjerit: “Abang, cepatlah tengokkan anak tu. Nangis memekak je tu. Saya nak tengok tv pun tak senang.” Amran segera menyahut. “Ya, sayang!!” dan dijeling kepada Amin: “Aku sayang bini.” Amin tersengih lagi.
Saya akui, dua situasi kes di atas adalah kisah yang saya cipta sendiri tetapi adalah berdasarkan kisah benar yang pernah sampai ke pengetahuan saya. Malah saya yakin, anda juga pernah berdepan dengan kes-kes sebegini. Persoalannya; apa beza antara ‘queen control’ dengan ‘sayang bini’? Bolehkah wujud kes queen control dalam era teknologi serba canggih kini?
Ada Dua Kategori
Mudahnya, bila menyebut kalimah berhantu queen control, ramai yang membayangkan kes para suami melakukan kerja-kerja rumah, betul tak? Pengakuan daripada klien lelaki sendiri; “Bukan tak nak bantu isteri buat kerja rumah tapi tak nak nanti dikatakan di’control’ oleh isteri.” Ada juga ibu mentua yang melarang anak lelakinya membantu isteri melakukan kerja rumah sebab katanya: “Tak nak menantu kontrol anak lelakinya.”
Terdapat dua jenis wanita queen control iaitu queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga, atau queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga. Kes pertama yang saya kongsikan ialah kategori queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga; sementara kes kedua pula queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.
Hakikat sebenarnya, kes pertama lebih kepada bukti suami sayang isteri malah suami jenis ini ialah yang melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w membantu isteri baginda dalam melakukan kerja di rumah. Diriwayatkan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi s.a.w kerjakan di rumah?” Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang, bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” – hadis riwayat Al-Bukhari.
Berusaha Jadi Suami Terbaik
Jelas sekali, suami yang membantu kerja rumah tangga bukanlah suami yang dikawal oleh isterinya sebaliknya mereka ialah suami yang benar-benar faham erti kasih sayang berumah tangga dan suami mithali yang berusaha menjadi suami terbaik seperti saranan Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Namun, memang diakui masih ramai isteri yang bersikap queen control seperti kes kedua. Haa! Itu bukan kes sayang bini tapi takut bini! Kes-kes sebegini boleh wujud disebabkan beberapa sebab yang asasnya berpunca daripada lelaki:
1. Suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya.
2. Suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab tidak berulang lagi.
3. Suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal sepenuhnya oleh isterinya.
Daripada pemerhatian saya terhadap kes-kes queen control, sikap queen control di dalam rumah tangga kebanyakannya bermula sejak pra perkahwinan lagi. Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya.
Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki. Dengan kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.
Perkara paling penting, perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumah tangga. Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insya-Allah.
Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup dalam Majalah Mingguan Wanita.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.