Dahsyat ya, kalau kurang sentuhan pada anak perempuan mereka boleh menjadi orang yang dahaga kasih sayang dan suka tarik perhatian. Sebab itulah mak ayah kena didik anak perempuan dengan cara yang betul, jangan sampai anak perempuan itu mula dekat dengan lelaki bukan mahram dalam hidupnya.
Nak mudah, mak ayah boleh semak beberapa cara yang dikongsi kali ini. Sebaiknya didiklah waktu anak perempuan itu masih kecil…
Tip Didik Anak Perempuan
1. Beli Telekung Solat
Ajar anak tentang solat sejak kecil. Sebagai galakan beli telekung solat yang comel untuk mereka. Walau belum pandai tentang bacaan tapi biasakan mereka tentang kewajipan ini. Begitu juga dengan mengaji al-Quran.
2. Cerita Pasal Aurat
Didik anak perempuan agar menutup aurat dari sejak kecil, jelas dengan tepat kenapa mereka perlu menutup aurat. Jangan biarkan mereka pakai ikut suka.
3. Ajar Bercakap Dengan Lembut
Ajar mereka untuk sentiasa bersopan santun dan berlemah lembut. Tapi anak belajar daripada sikap ibu bapa, jadi andalah yang terlebih dahulu perlu bercakap sopan dan lemah lembut supaya anak mengikut.
4. Dedahkan Anak Tentang Haid Dan Dunia Perempuan
Yang satu ini, biarlah diserahkan kepada ibu. Tapi bapa juga perlu maklum ya. Bila anak perempuan memasuki usia 9 tahun, ajarkan mereka tentang haid, cara mandi wajib, nifas, pendek kata hal-hal perempuan apabila mereka sudah akil baligh.
5. Kaitkan Dengan Anak-anak Nabi
Ceritakan kepada anak perempuan tentang wanita-wanita solehah supaya dapat dijadikan contoh seperti Siti Khadijah dan Siti Fatimah, isteri dan anak Rasulullah saw mahu pun Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim.
6. Jaga Pergaulan
Apabila anak perempuan memasuki usia persekolahan, jelaskan kepada mereka batas pergaulan dengan rakan lelaki. Terangkan kepada mereka bahagian-bahagian tubuh yang harus dijaga dan tidak boleh disentuh oleh orang lain.
7. Didik Buat Kerja Rumah
Tak nak lah anak perempuan hanya pandai dalam mata pelajaran, biarlah anak reti buat kerja rumah tanpa disuruh. Beri galakkan untuk anak perempuan membantu ibu buat kerja rumah, agar mereka tidak rasa kekok untuk buat kerja-kerja rumah. Sebenarnya pada usia 7 tahun seharusnya anak perempuan sudah boleh mengemas rumah. Paling kurang, dah boleh basuh pinggan mangkuk dan menyapu sampah.
8. Jangan Lupa Puji!
Berikan pujian kepada anak selain kecantikan dan rupa paras mereka. Puji tentang perkara baik yang mereka lakukan. Tetapi sebaiknya jangan fokus pada kecantikan luaran saja, cuba ubah pujian ke arah yang lebih membina supaya mereka tidak terlalu fokus terhadap kecantikan luaran.
9. Ayah Kena Rapat Dengan Anak Perempuan
Biasanya anak perempuan suka meluah dan pastinya dia sangat memerlukan pendengar yang baik dari seorang lelaki untuk dia berkongsi tentang rasa dan bermanja. Jadi inilah peranan seorang ayah! Nah, rebutlah hati anak perempuan sekarang sampai dia rasa tak perlu cari lelaki lain untuk berkongsi tentang rasa seawal remaja.
Tak ada lah sukar mana jaga anak perempuan kalau semua perkara di atas anda dah buat. Dan akhirnya sekali tolong pastikan anak perempuan anda mendapat kasih sayang yang mencukupi dari seorang bapa agar mereka tak mencari perhatian dan kasih sayang dari lelaki lain sebelum tiba masanya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI