Sebelum pergi, arwah ada luahkan yang dia takut tak sempat minta maaf. Walaupun sedih, ibu ini redha satu-satunya anak meninggal dunia.
Sebelum itu, gadis ini telah ditidurkan kerana penyakit lain. Setelah beransur pulih, dia dijangkiti Covid-19 pula, yang akhirnya meragut nyawa.
Ibu Redha Satu-Satunya Anak Meninggal Dunia
Selepas tiga minggu anaknya ‘ditidurkan’ akibat menghidap tibi, Azrinatul Abdul Rahman sama sekali tidak menyangka anaknya itu berdepan ujian lagi apabila disahkan dijangkiti Covid-19.
Mengakui malang tidak berbau, Azrinatul reda apabila anak tunggalnya itu, Nurul Atikah Kushaimi, 19, akhirnya pergi jua menghadap Ilahi, kira-kira 2 pagi, kelmarin.
Nurul Atikah Kushaimi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Banting, berikutan jangkitan Covid-19 yang sudah memasuki kategori empat.
Akibat Penyakit Tibi
Menurut Azrinatul, anaknya telah dimasukkan ke hospital 12 Jun lalu akibat penyakit tibi berikutan jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa ‘ditidurkan’ selama tiga minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun, katanya, selepas sedar dan semakin beransur pulih, malang menimpa arwah anaknya itu apabila disahkan positif Covid-19 Rabu lalu kerana ada pesakit di hospital berkenaan dijangkiti virus itu.
Turut Disahkan Positif
Lebih malang lagi, dia juga disahkan positif Covid-19 keesokannya dan tidak sempat menatap wajah anaknya itu buat kali terakhir.
“Sepanjang arwah di hospital sebelum disahkan positif Covid-19, saya sentiasa berada di sampingnya, menjaga apa saja keperluannya.
“Sehinggalah arwah terpaksa dipindahkan ke wad pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat, segala-galanya berubah kembali.
“Sedih mengenangkan apa yang berlaku, namun saya reda semua ini sebagai ketetapan takdir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ads
Menceritakan detik akhir bersama anaknya yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu, Azrinatul berkata, selepas disahkan positif Covid-19, arwah sugul serta tidak lalu makan meskipun dibawakan makanan yang dimintanya.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat arwah anaknya itu Khamis lalu untuk menghantar makanan dan bertanyakan khabar menerusi WhatsApp walaupun tidak dapat bercakap secara bersemuka.
Katanya, selepas dia juga disahkan positif Covid-19, suaminya, Kushaimi Abdul Halim, 50, menggantikan tempatnya menghantar makanan kepada arwah, namun ketika itu keadaan anaknya sudah semakin lemah.
“Arwah sentiasa bertanya (berhubung melalui telefon) bila saya nak datang melawat dia di hospital. Arwah kata dia takut dan sempat meminta maaf dengan saya.
“Sebagai ibu, saya berusaha sedapkan hati arwah, beritahu yang dia akan sembuh dan nanti akan pulang ke rumah.
“Kehilangan arwah cukup besar buat kami sekeluarga kerana dia anak tunggal, apa pun saya terima ini sebagai ketentuan Allah SWT,” katanya.
Tak Mampu Tahan Sebak
Ketika menceritakan keperibadian arwah Nurul Atikah, Azlinatul tidak dapat menahan sebak memikirkan anaknya jarang jatuh sakit serta personalitinya yang ceria dan suka bergurau.
Dia yang kini menjalani kuarantin di rumah berkata, arwah sangat menggemari aktiviti lasak yang mendorongnya menyertai pasukan APM di Putrajaya.
Ads
“Ketika mula-mula diterima menyertai APM, arwah sangat gembira dan bersemangat dalam menjalankan tugasnya.
“Alhamdulillah… pegawai dan rakan arwah di APM banyak membantu kami menguruskan pengebumian jenazah arwah semalam. Kami sekeluarga sangat hargai,” katanya.
Mingguan Wanita : Setiap hari ada saja berita kematian yang melibatkan pesakit Covid-19. Al-Fatihah buat kesemua korban pesakit Covid-19. Al-Fatihah.
Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke 14 berjaya membentuk pentadbiran kerajaan baru di negara kita. Semalam merupakan hari mengundi yang penuh bersejarah, ramai yang meluahkan pendirian terhadap pegangan parti politik masing-masing dan figura yang disokong.
Antara yang mendapat perhatian ramai adalah kisah menarik yang dikongsikan sendiri oleh Mufti Perlis,Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin terhadap Tun Dr Mahathir. Kata-kata yang diluahkan oleh bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke 7 ini, ketika mufti ini bertemu secara peribadi dengan beliau 4 tahun dulu, sungguh menyentuh hati dan terserlah sikap negarawan yang dimiliki.
Berikut antara pengalaman dan cerita yang dikongsikan oleh Dr MAZA sendiri;
Bukan semua perkara kita boleh setuju dengan YBg.Tun Mahathir. Banyak juga pendapat dan tindakan Tun M yang kita kurang setuju atau tidak boleh menerimanya. Beliau BUKAN MAKSUM untuk kita terima semua pendapatnya. Rekod Tun M pun bukan semuanya kita boleh puji. Di samping, secara adilnya, kita tidak boleh menafikan jasa, sumbangan dan kebijaksanaan beliau dalam banyak hal.
Tokoh-tokoh politik seperti Tun M, DS Najib, DS Anwar, DS Abdul Hadi dan lain-lain sering dikaitkan dengan pelbagai cerita positif dan negatif. Jangan kita telan semua yang dikaitkan dengan mereka tanpa penilaian yang matang dan jangan juga kita menerima segala apa yang mereka lontarkan tanpa berfikir dengan seimbang. Apapun, mempercayai mana-mana orang politik seratus peratus merupakan satu kesilapan.
Hari ini orang bercerita pasal Tun M dan kubur. Saya juga ingin berkongsi cerita pasal Tun M dan kubur. Walaupun cerita biasa, tapi mungkin ada sesuatu yang boleh kita belajar.
Tun M Dan Kubur
Pada tahun 2014, ketika itu saya sabatical di SOAS London, Tun M datang ke London. Tun M tinggal di rumah Kerajaan Malaysia yang ketika itu sedang bocor bumbungnya. Saya dan Tun M bertemu empat mata membincang beberapa perkara. Tun M bertanya saya beberapa soalan berkaitan agama. Kami berdiskusi. Kemudian Tun M membincangkan tentang YAB PM DS Najib. Masa itu beliau belum lagi menentang DS Najib secara terbuka. Beliau menyebut isu-isu seperti yang beliau sebut dalam kempen beliau sekarang. Saya hanya mendengar. Benar ataupun salah, saya tiada bahan untuk dinilai ketika itu.
Saya bertanya beliau, “Habis Tun nak buat apa? Tun nak bersuara ke “? Ketika itu Tun M mengungkap satu ungkapan yang selalu saya ingat apabila terlihat wajah beliau.
Kata Tun M kepada saya: “Nanti orang akan kata orang tua ni tak habis-habis asyik kacau orang lain jadi Perdana Menteri. Orang macam saya ini sepatutnya dah duduk bawah dah (masuk kubur). Tapi saya ni sayang kepada negara saya”.
Saya lihat Tun M yang ketika itu dalam keadaan keletihan, lesu dan sedih. Saya sendiri tersentuh dengan ucapan beliau itu. Saya diam sahaja. Kami bincang beberapa tajuk lain.
Semasa itu saya tidak sangka Tun M akan menubuhkan parti politik baru dan secara terang-terangan melawan DS Najib. Saya tidak sangka hari ini beliau yang menyatakan ‘sepatutnya beliau sudah masuk kubur’ berdiri atas pentas politik kempen pilihanraya secara besar-besaran. Ini kerana dalam ungkapan Tun M itu seolah-olah tidak banyak harapan dan beliau hanya menunggu masa untuk ‘masuk kubur’. Apatahlagi semasa itu anak beliau masih memegang jawatan MB Kedah.
Cumanya, dalam masa yang sama beliau kata ‘saya sayang kepada negara saya’. Allah Maha Mengetahui. Rasanya beliau ikhlas. Tapi saya fikir beliau mungkin terpaksa pertimbang antara usianya, kedudukannya yang dihormati di sisi negara, kedudukan anaknya dan banyak lagi kelebihan lain yang beliau sedang kecapi ketika itu.
Apabila saya balik ke Malaysia 2015 menjawat semula jawatan Mufti Perlis untuk kali kedua, beberapa kali juga saya berjumpa dengan Tun M secara empat mata. Beliau mengulangi cerita yang sama. Cumanya, tidak sangka sehingga hendak menubuhkan parti politik dan bertanding pilihanraya.
Jika orang beritahu saya Tun M bertindak begitu sebab mahu bela anaknya, maaf, secara peribadi, saya mempunyai pengalaman yang berbeza. Tun M telah menyuara bantahan itu sebelum anaknya terbuang.
Hari ini hari mengundi. Entahlah. Dunia bagaikan mimpi. Tun M bertanding dan mahu jadi PM semula. Tidak pernah di Malaysia seseorang jadi PM dua kali. Cumanya, saya sendiri jadi Mufti sebanyak dua, walaupun tidak pernah terjadi sebelum itu. Pada awalnya saya sendiri rasa ganjil. Dunia politik pasti tiada apa yang mustahil.
Saya tidak pasti sejauh manakah Tun M boleh bertahan dengan usianya itu. UMUR TIDAK BERPIHAK KEPADANYA. Itu apa yang ketara kita nampak. Selain itu, hanya Allah Yang Tahu. Tok Wan (lelaki) saya dahulu ketika dia berusia 100 tahun, orang sinis kepadanya bila beliau menanam pokok-pokok durian di tanahnya.
Mereka kata: “Sempatkah nak makan durian orang tua tu”?! Ditakdirkan Allah, beliau meninggal pada usia 126 tahun menurut hitungan anak-anaknya. Beliau sihat. Hanya sakit pada penghujung hayat. Sempat makan banyak musim durian yang beliau tanam.
Pastinya, menguruskan negara tidak seperti menanam durian. Namun, usia manusia dan apa yang akan terjadi di masa hadapan tiada siapa yang tahu.
Kita semua tidak tahu apa yang akan terjadi. Kita mengundi untuk masa depan. Namun tiada siapa yang tahu masa depan melainkan Tuhan. Agama mengajar kita berusaha dan bertawakal.
Kita berusaha untuk yang kita jangka lebih baik ataupun kurang buruk. SIAPAKAH yang terbaik?, ataupun SIAPAKAH yang kurang buruk? Itu semua memerlukan penilaian yang seimbang dan penuh kematangan. Setelah berijtihad dalam membuat penilaian, kita serah kepada Allah. Nilailah hujah Tun M, hujah DS Najib, hujah DS Abdul Hadi dengan adil. Dengarlah hujah dari semua pihak kemudian berijtihadlah, dan buatlah penilaian yang kita yakin terbaik. Selamat mengundi!
Kongsi saat cemas anak dijangkiti Covid-19, sebagai seorang ibu paling merisaukan apabila anak yang disayangi dijangkiti virus bahaya.
Begitu jualah yang dialami oleh pelakon serba boleh Mira Filzah apabila anaknya yang baru berusia tiga bulan, Wan Khair Amir disahkan positif Covid-19 dua minggu lalu.
Lumrah seorang ibu yang melahirkan, Mira seperti mana dilaporkan Harian Metro akui dirinya bagaikan hilang punca dan menangis apabila diberitahu anak sulungnya itu dijangkiti Covid-19.
Pemilik nama sebenar Amirah Filzah Badioezaman itu juga tidak sanggup melihat keadaan Amir ketika menjalani ujian saringan.
“Saya tergerak hati untuk membuat ujian saringan ke atas Amir selepas melihat kesukarannya untuk bernafas dan matanya berair.
“Selalunya bayi yang masih kecil jarang berdepan dengan situasi sebegitu.
“Kebetulan sebelum ini keluarga saya turut disahkan positif Covid-19. Enggan mengambil risiko saya terus membuat pemeriksaan dan ternyata Amir juga positif.
“Sebagai ibu saya tak sanggup melihat keadaan Amir ketika menjalani ujian saringan.
“Kita yang dewasa pun rasa sakit bila hidung kita dijolok, inikan pula bayi berusia tiga bulan,” terang Mira Filzah.
Tak kenal maka tak cinta. Nak kenal Mingguan Wanita terus setia bersama kami di YouTube Mingguan Wanita. Hampir 700 video menarik untuk anda tonton. Segalanya tentang dunia wanita dan keluarga. Klik https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
dan Subscribe kami di YOUTUBE MINGGUAN WANITA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Susulan Program Subsidi Petrol (PSP) yang diumumkan dalam belanjawan 2020 baru-baru ini, pengumuman terbaru harga petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat sebaik sahaja Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan Januari depan.
Capai Harga Pasaran
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, kementerian memutuskan menaikkan harga bahan api sebanyak satu sen setiap minggu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.
“Keputusan mengapungkan harga minyak bagi meringankan kos hidup rakyat selain mengelak harga barangan tidak naik secara mendadak.
“Kita akan apungkan harga petrol berperingkat sebanyak sen satu seminggu sehingga harga RON95 sampai harga pasaran,” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen
Mekanisme Pelaksanaan PSP
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang mahu tahu mekanisme kementerian mengelak harga barang meningkat selepas pelaksanaan PSP.
Katanya, PSP tidak akan dilaksanakan di Sarawak, Sabah dan Labuan, sebaliknya terus menikmati harga subsidi RON95 pada harga RM2.08 seliter.
Chieng Jen berkata, kementerian juga ada Akta Kawalan Harga supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan berlebihan selepas pelaksanaan PSP.
Sabah, Sarawak dan Labuan Terima Subsidi Petrol
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan PSP hanya berkuat kuasa di Semenanjung sahaja yang bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki berkenderaan.
“Bagaimanapun, rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter selepas kerajaan mengambil kira keperluan kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.
“Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95,” katanya.
MW: Pengguna kena bersiap sedialah dengan kenaikan harga minyak ini secara berperingkat setiap minggu bermula tahun depan.