Anggota Badan Amanah Allah, Jaga Sebaiknya Jangan Guna Buat Maksiat!

Anggota badan manusia adalah amanah daripada Allah SWT yang mesti dijaga sebaiknya. Isu penularan budaya negatif dalam media sosial masa kini tidak dapat dipisahkan dengan pengabaian terhadap amanah memelihara anggota tubuh.

Keburukan Yang Dilakukan Anggota Tubuh

Bila amanah setiap anggota tubuh dikhianati maka tersebar bermacam keburukan yang berpunca daripada anggota tubuh yang digunakan tanpa panduan cahaya Nabi s.a.w.

Bila amanah mata dikhianati maka mata suka melihat gambar atau video tidak bermoral. Bila amanah telinga dikhianati maka telinga ingin mendengar gosip-gosip liar bertujuan menjatuhkan sesama insan.

Bila amanah tangan dikhianati maka jari-jemari tidak rasa bersalah menekan butang “send” berkongsi cerita yang belum pasti kesahihannya.

Anggota Badan Amanah Allah, Jaga Sebaiknya Jangan Guna Buat Maksiat!

Jaga Dan Guna Untuk Kebaikan

Dalam mendepani cabaran ini maka setiap individu muslim perlu diingatkan tentang kewajipan menjaga amanah anggota tubuh pada diri masing-masing. Tubuh merupakan nikmat kurniaan Ilahi untuk kesempurnaan menjalani kehidupan duniawi ini dan nikmat itu akan disoal di akhirat.

Secara fizikal, anggota tubuh manusia adalah sama. Perbezaannya adalah cara penggunaan, sama ada diguna pada kebaikan atau kejahatan. Anggota tubuh boleh dipelihara serta dimanfaatkan ke jalan kebaikan sekira ia dipandu oleh suluhan cahaya yang bersumberkan cahaya Nabi s.a.w.

Ads

Sesuai dengan perbincangan ini, ada cahaya Nabi s.a.w yang boleh dimohon ke hadrat Ilahi untuk menjaga amanah anggota tubuh. Kita ingin mencontohi diri baginda di mana segala yang terhasil daripada anggota-anggota tubuh baginda merupakan kebaikan-kebaikan yang memberi manfaat kepada manusia sekelilingnya.

Lagi artikel menarik di sini:

Jika Agama Jadi PEGANGAN, Rumahtangga Bahagia SEBAB Suami LEBIH Berakal

Bentuk Keyakinan Diri Anak Dengan Agama

Ikuti Mingguan Wanita di instagram

Ads

Cahaya Nabi – “Nurul Khalqah

Diri Nabi s.a.w diciptakan dengan penuh keistimewaan. Walau secara lahiriah tubuh fizikal baginda sama seperti insan lain namun terdapat cahaya pada tubuh baginda yang mulia itu, dikenali dengan “Nurul Khalqah”.

Cahaya ‘Khalqah’ adalah cahaya pada kejadian fizikal diri Nabi s.a.w sejak dilahirkan. Tubuh baginda tubuh yang bercahaya. Sahabat menggambarkan diri baginda sebagai susuk yang bercahaya, baik secara keseluruhan atau secara khusus pada anggota badan tertentu.

Dikurniakan Cahaya Dalam Diri

Dalam sirah ada disebutkan bahawa pada suatu malam, satu bekas makanan jatuh ke lantai. Puas Saidatina Aishah r.a. mencarinya namun belum ditemui. Bila baginda pulang, dengan cahaya yang ada pada diri baginda itu maka bekas makanan itu dijumpai. Diri baginda ibarat sumber cahaya yang mengeluarkan cahaya hingga mampu menyinari suasana sekeliling.

Pentingnya kewujudan cahaya yang bersumberkan Ilahi ini pada diri seseorang maka Nabi s.a.w mengajar umatnya untuk berdoa memohon dikurniakan cahaya itu pada diri masing-masing.

Ads

Antara doa yang disarankan, “Ya Allah, berikan cahaya dalam hati kami, dan cahaya dalam kubur kami, dan cahaya pada pendengaran kami, dan cahaya pada penglihatan kami, dan cahaya pada rambut kami, dan cahaya pada kulit kami, dan cahaya dalam daging kami, dan cahaya pada darah kami, dan cahaya pada tulang kami …. dengan belas kasih-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih”.

Tubuh Yang Sejahtera

Jika cahaya Nabi s.a.w berada dalam diri seseorang maka impak positifnya sangat besar. Secara maknawinya, hati yang bercahayakan cahaya Nabi pasti akan melahirkan sifat-sifat mahmudah dalam dirinya. Lidah yang bercahayakan cahaya Nabi tentu melahirkan kata-kata positif, nasihat bermanfaat, teguran-teguran berhikmah.

Mata yang bercahayakan cahaya Nabi  tentu melihat perkara-perkara baik. Tangan yang bercahayakan cahaya Nabi tentu menjadi tangan yang disibukkan untuk kerja-kerja mulia serta terpelihara daripada kemaksiatan. Secara fizikalnya pula, jika ada organ-organ yang sakit, rosak atau lemah fungsinya maka mudah-mudahan segera dipulihkan berkat kecintaan terhadap Nabi s.a.w.

Justeru itu mohonlah agar dikurniakan “Nurul Khalqah” Nabi s.a.w agar tubuh badan ini mudah digunakan ke arah kebaikan serta terpelihara daripada kejahatan, termasuklah fitnah media sosial yang besar kesannya.

Artikel: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI