Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Ads
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Kredit: rocksfull
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Kredit: muzikrbtpsikologi.blogspot.com
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Ads
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ads
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Kredit: hyunjinmoon.com
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Semakin lama mendirikan rumah tangga, semakin pudar perasaan kepada pasangan. Perasaan cinta, kasih dan sayang semakin hilang dimamah waktu walaupun suatu ketika dahulu mak,ayah pasangan yang sangat ideal.
Oleh sebab itu, pasangan yang sudah lama berkahwin termasuklah yang baru berkahwin sesekali cuba ambil masa “recall” kenangan bersama pasangan. Kenangan bagaimana kita boleh menerima dia sebagai pasangan.
Insyallah jika mak, ayah lakukan perkara ini, hubungan pernikahan yang dibina akan kekal bahagia selamanya dan rasa cinta akan subur kembali. Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli dan fahami sebaiknya :
Pernah terbaca satu artikel Inggeris tentang perkahwinan. Tentang perkahwinan yang semakin lama semakin hilang ‘spark’. Makin lama makin hilang rasa cinta, rindu.
Dalam artikel, penulis itu mengingatkan kepada semua pasangan berkahwin tentang keperluan untuk ambil satu-satu masa untuk muhasabah kembali, fikir kembali kenapa kita cintakan pasangan kita dan kita pilih untuk berkahwin dengan dia.
Recall semula detik-detik kali pertama kita rasa jatuh cinta dengan dia. Recall semula detik ketika kita decide, “Ya Allah, saya nak kahwin dengan dia,”
Tiap-tiap Hari RECALL
Kalau boleh, tiap-tiap hari kita kena cari ‘sebab’, tak kisahlah walau ‘sebab’ itu berbeza setiap hari.
Oh ya, ‘sebab’ itu tidaklah termasuk dengan rasa terhutang budi dia tanggung nafkah keluarga, sebab dia sediakan tempat tinggal, sebab dia lahirkan anak dan sebagainya. Tetapi lebih kepada ciri-ciri yang menjadi ‘qurratu ain’ pada mata kita sebagai pasangan.
Kelebihan yang buatkan kita bersyukur sangat si dia menjadi pasangan kita.
Tenung Kembali
Jadi, apa yang dimaksudkan ‘sebab’ itu?
Contohnya, kejap lagi, bila kita duduk dan tenung muka pasangan masa dia tidur, baru teringat. Eh dulu masa awal-awal kahwin suka tengok bulu mata dia, suka tengok hidung dia.
Maklumlah, kadang apabila sibuk sangat dengan rutin harian, dengan anak-anak lagi, manalah kita ada masa hendak merenung sangat macam lagu Siti Nurhaliza – “menjeling, menjeling ku bertentang” itu kan.
Tambahan lagi, apabila sudah masuk 7, 8, 9 tahun perkahwinan dengan features masing-masing yang sudah berubah, kita kadang terlupa pada ‘spark’ panahan kali pertama bertentang mata yang membuatkan kita tak boleh lupakan si dia dulu itu.
Remeh Tapi Beri Kesan
Nampak macam remeh bukan? Tapi pernah tak bila kita terfikir, semua ‘sebab’ remeh inilah yang menjadi bualan dan kenangan apabila kita kehilangan seseorang. Waktu itulah kita akan recall segala kelebihan dan keistimewaan si dia yang kita telah hilang itu.
Masa itulah baru kita nak rindukan hidung ‘jambu air’nya, rindukan lesung pipitnya, rindukan gelak tawanya, rindukan sifat kelakarnya. Jadi, kenapa nak tunggu pasangan sudah tiada baru kita nak recall benda-benda seperti ini?
Kenapa tidak sekarang?
Suburkan Kembali Rasa Cinta
Percaya atau tidak apabila kita ambil masa untuk cari dan recall semua ‘sebab’ kita cinta dan pilih pasangan kita ini, tak ubah ibarat menyiram dan membaja bunga-bunga cinta di taman hati begitu. Kerana apa? Kerana kita ini manusia yang selalu terlupa. Tambahan hal-hal kecil dan remeh begini, lagilah mudah kita lupa.
Konsep ni lebih kurang dengan muhasabah untuk kita mensyukuri nikmat Allah setiap hari.
Bangun pagi still boleh buka mata, melihat, boleh bangun sendiri tanpa susahkan pasangan, boleh peluk cium anak-anak. Alhamdulillah.
Ambil Masa
Benda tu nampak macam tak ada apa bukan, tambah kalau kita bangun Subuh pun Subuh gajah memanglah tak sempat nak muhasabah apa, atau seharian disibukkan oleh gajet dan skrin semata, memanglah kita terlepas pandang perkara-perkara ini.
Tetapi kalau kita boleh let go sekejap semua distractions ini dan ambil masa untuk recall dan muhasabah barulah kita nampak betapa sekecil-kecil hal pun boleh menjadi asbab untuk kita bersyukur dan berbahagia. InsyaAllah.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Ruum : 21)
.
MasyaAllah. Sungguhlah sebab kita ini manusia yang selalu terlupa dan terleka, perlu selalu diingatkan.
MW: Kadang-kadang apabila kita terlalu sibuk, kita terlupa dengan kehadiran pasangan yang selama ini kita begitu kasih dan cinta. Oleh itu, ambil masa sejenak renungkan kembali kenangan lama yang mampu menhangatkan hubungan suami, isteri. Hadiahkan hadiah istimewa untuk pasangan juga antara salah satu cara untuk menyuburkan hubungan yang kian pudar. Klik sahaja di sini untuk tambah rasa cinta pada pasangan.
Penyakit orang kita, suka sangat sebut bahagian yang tak sempurna. Padahal banyak lagi sikap lain yang bagus, saja mencari salah.
Itulah orang kata, kalau kita cari kebaikan maka yang baik lah kita jumpa. Namun jika selalu mencari keburukan, yang nampak cuma bahagian yang buruk.
Nak-nak pula memang dah tak serasi sangat, kesannya hubungan makin berjauhan dan langsung tak boleh ngam! Cuba renungkan perkongsian saudara Abd Ghani Haron ini, moga kita boleh berubah dan buang yang keruh.
Redalah Dengan Kekurangan
IBARAT MEMILIKI KAIN SESENTUNG. DITUTUP KEPALA TERBUKA KAKI
Pesan ayah saya ,“Kita ibarat memiliki kain sesentung, tarik menutup kepala, kaki terbuka, tarik tutup kaki, kepala terbuka.”
“Teringat zaman hidup susah dulu, kain pelekat sehelailah menjadi selimut, kaki kena di lipat atau kerekot untuk tutup semua anggota.
Maksud ayah, kita tak mungkin sempurna semuanya.
Anak yang dianugerah Tuhan takkan semua memenuhi impian kita. Kelapa setandan, bukan semua berisi, pisang setandan bukan semua sama besar, jari ditangan bukan semua sama panjang. Dengan yang demikian redalah pada kekurangan yang ada pada anak, bersyukurlah kepada penganugerah Tuhan, yang terkurang itu ujian Allah, peluang untuk bersabar dan berusaha.
Setiap Orang Tak Sempurna
Suami isteri nampak perfect, sempurna segalanya, masa belum berkahwin, bila dah duduk serumah nampaklah kudis sana sini, cacat cela sana sini. Itulah hakikat kekurangan untuk kita redha, bersyukur dan bersabar. Jangan melihat isteri saja yang kurang, diri sendiri tetap ada kekurangannya cuma tidak mungkin kita melihat dalam diri sendiri. Kalau nak tahu, bertanyalah kepada isteri yang melihatnya dari luar.
Tidak semua rakan dan pekerja kita sempurna. Terimalah kekurangan mereka dengan berlapang dada, membetulkan apa yang tidak kena, menambah apa yang terkurang. Jika anda seorang guru, ingatlah murid anda ibarat jari tangan yang tidak sama panjang. Pencapaian, perangai, kebolehan adalah berbeza, bersabarlah, bertekunlah untuk memperbaiki, padamkan percikan api kemarahan, kerana semua mereka juga ciptaan Allah.
Kita ibarat kain sesentung, tutup kepala kaki terbuka, tutup kaki kepala terbuka. Bersabarlah, berlapang dadalah. Jika anda memarahi anak orang lain, ibubapanya pasti terasa.
Jangan Terlalu Mencari Kekurangan Orang
Jika anda menyatakan kekurangan seorang, ibubapanya akan terasa. Apakah anda tidak takut jika anda memarahi atau menyatakan kekurangan seseorang, anda akan dimarahi oleh Tuhan yg mencipta mereka?
Inilah hakikat mengapa kita kena mengawal kemarahan, apalagi kepada manusia. Berpada pada dan berhati hatilah, marah mungkin pada perlakuan, jangan marah pada sifatnya. Jika anda merasa anda seorang yang baik marilah kita menjadi insan yang lebih baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai wanita yang menjadi superwomen apabila mereka terpaksa keluar bekerja dan pada masa yang sama masih menguruskan hal rumahtangga. Kalau tidak kerana membantu suami sekalipun, sudah pasti nak ada wang sendiri.
Begitulah juga situasi Puan Akma Emmillia Mustakim, 33 tahun, yang bekerja sebagai ekskutif jualan di Gold City Jewellery Centre, KLIA sehingga kini.
Namun apa yang menarik, ibu kepada dua orang anak yang berumur 5 tahun dan 3 tahun ini hebat di rumah dan tetap membuat kerja part time walau sibuk menguruskan hal rumah tangga.
Pernah berhenti kerja tetapi Puan Amy kembali keluar mencari rezeki disebabkan niatnya nak membantu suami yang ditimpa masalah dalam dunia bisnes. Agaknya macam mana seorang isteri boleh membahagikan masa mencari rezeki dengan keadaan anak-anak kecil ya?
Ini dikongsi dari sudut hati kecilnya sebagai naluri seorang isteri yang sebenarnya berperang untuk menjadi mak-mak yang duduk rumah menguruskan anak-anak tetapi tetap gagahkan hati mencari sumber rezeki demi membantu ekonomi rumah tangga.
Kalau ditanya kepada wanita tentang pilihan bekerja atau duduk di rumah, kebanyakan pasti lebih memilih untuk di rumah jaga anak. Namun bila disoal Amy tentang alasan keluar bekerja, wanita ini menceritakan niat utamanya sebab nak bantu suami yang diuji dalam dunia bisnes.
“Asalnya bisnes suami drop. Income berkurang. Kebetulan company lama offer kerja. Anak pun dah 2 tahun yang kecik. So saya mintak izin suami untuk kerja balik.”
Apabila bercakap soal tanggungjawab sebagai ibu, kebanyakan wanita terpaksa mengalah dengan perkara itu sebab anak merupakan anugerah yang tidak ternilai dan pastinya seorang ibu tidak akan memperjudikan nasib anak mereka.
Maka, ramailah dalam kalangan wanita terpaksa ‘berundur’ daripada kerjaya mereka buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada satu kehidupan berbeza terutama bagi mereka yang baharu pertama kali bergelar ibu bapa.
Biarpun terpaksa berhenti demi kekangan tanggungjawab sebagai ibu, jauh di sudut hati, mereka masih berharap dapat kembali bekerja seperti sedia kala apabila anak-anak mereka semakin membesar.
Situasi ini juga pernah dilalui Puan Amy suatu ketika dulu. Ikuti temubual bersamanya…
Pernah berhenti kerja? Apa beza bila tak kerja?
Pernah, berhenti kerja sebelum lahirkan anak no.2 sebab tak larat. Jadi suri rumah best sebab nampak anak-anak 24jam depan mata. Tapi buat bisnes online sebab bosan tak ada kerja. Sambil-sambil tu dapat la duit poket sendiri. Bestnya tak kerja, expenses berkurang sebab kita tak perlu isi minyak, keluar makan, shopping alat mekap setiap bulan.
Keizinan mak ayah, bila Amy keluar bekerja.
Kalau ikutkan mak suruh duduk rumah jaga anak. Tapi ayah kata, sementara muda ni kerja la selagi boleh.
Anak-anak siapa jaga?
Sebelum ni husband yang jaga sebab husband kerja sendiri dari rumah.
Bila dapat duit, guna untuk kepuasan diri tak?
Dalam keadaan tak stabil, semua benda terkawal. Hanya belanja untuk keperluan sahaja, tolak tepi dulu kehendak sebab kena ingat sebab utama kerja balik adalah untuk bantu suami yg sedang diuji.
Macam mana uruskan masa bila balik rumah?
Sampai rumah terus defrostkan bahan mentah dan masak nasi. lepas tu kemas rumah apa yang perlu. Sambung masak. Baru la mandi dan siapkan anak-anak. Lepas tu luangkan masa untuk anak sebelum tidur.
Agak-agak kalau tak ada duit sendiri best tak? Kenapa?
Tak best sebab amy jenis yang tak pandai nak mintak-mintak suami kalau nak sesuatu. Selalunya Amy akan usaha sendiri.
Bab kemas rumah dan jaga anak-anak suami tolong tak?
Memandangkan suami kerja sendiri, memang dia banyak bantu hal-hal rumah. Suami tolong jaga anak, kemas rumah, cuci dan sidai baju. Biasanya balik kerja baju dah siap lipat.
Pernah ada masalah pengasuh? Macam mana penerimaan anak bila ibunya keluar bekerja.
Buat masa ni belum pernah hantar anak ke pengasuh. Kalau suami terpaksa kerja dekat luar, dia akan hantar anak-anak dekat rumah mak. Atau tunggu amy balik kerja. Sebab sekarang kami kerja shift. So masih boleh rotate jaga anak cuma kelam kabut sikit. Anak-anak alhamdulillah semuanya ok dan memahami so tak ada masalah mummy kerja.
Sebenarnya banyak sebab kenapa wanita memilih untuk terus bekerja. Sebab utamanya tentu lah ekonomi. Tak semua orang bersuamikan lelaki kaya. Lepas kawin boleh duduk goyang kaki di rumah. Kalau dapat macam tu, mungkin ramai wanita yang bekerja nak berhenti dan fokus pada keluarga sahaja.
Paling ketara, biasanya wanita bekerja sebab nak bantu suami. Niat nak tingkatkan ekonomi keluarga. Nampak tak, punyalah hebat kaum mak-mak zaman sekarang!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan...