Anak menangis jangan terus jerit, suruh diam atau pukul! Mungkin anak hanya ingin perhatian daripada mak ayah.
Kadang-kadang mak ayah terlalu leka dengan urusan harian atau kerja sehingga terlupa anak di depan mata perlu dimanja dan dibelai.
Bayangkan jika mak, ayah dianugerahkan anak-anak syurga atau orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mampu menguruskan diri dan hanya harapkan mak ayah untuk uruskan, pasti sukar bukan.
Oleh itu, layanilah anak anugerah Allah ini sebaik mungkin. Waktu kecil anak-anak hanyalah sekejap saja, suatu hari mak ayah pasti akan merindui momen-momen ini seperti mana yang dikongsi oleh Ustaz Firdaus Mokhtar ini.
Mungkin Anak Hanya Ingin Perhatian
Ada satu hari tu saya teman ummi pergi temujanji dengan doktor pakar di Hospital Sungai Buloh. Isteri ada sekali memandangkan sesi dia dengan pesakit sebelah petang.
Sedang menunggu giliran nombor terpapar dekat skrin tergantung atas kaunter, sampai seorang akak ni. Tolak anak dia atas kerusi roda. Berhenti betul-betul sebelah aku.
Aku pandang ke akak tu, dia pun balas pandangan. Dia senyum. Pemurah orangnya ni.
Anak dia mungkin sekitar umur 10 tahun kalau ikut saiz badan. Lelaki dan sedikit berisi. Anak kurang upaya. Tak boleh duduk dengan betul, macam menyandar baring tapi sambil duduk. Ada bantal kecil segi empat sama menahan belah kanan badan adik ni.
Anak Tak Mampu Uruskan Diri
Tangan semua sempurna rupa. Cuma berlipat ke dalam di pergelangan kedua belah tangan. Yang tak boleh diluruskan. Ada gaya seperti tak boleh uruskan diri sendiri.
Di hidung adik ni ada tiub panjang. Dilekat kemas ke arah bawah melalui tepi pipi kanan. Terus panjang tiub tu masuk ke dalam baju dia melepasi leher. Aku tak pasti tiub apa. Macam tiub makanan pun iya.
Akak tadi berbisik ke adik itu dan dia terus ke kaunter bawa kad biru. Kad temujanji. Mungkin baru nak dapatkan nombor giliran.
Melihatkan itu baru aku perasan, rupanya ramai dalam tempat menunggu tu mak ayah dengan anak-anak sekitar umur yang sama.
“Rasanya hari ini memang hari untuk temujanji kes macam anak-anak ni,” tiba-tiba isteri aku menyatakan pendapat. Aku angguk tanda setuju.
Ads
Sungguh Ajaib
Akak tadi patah balik ke anak dia. Senyum lebar sungguh ke anak dia. Adik tu merespon. Angguk angguk dan senyum juga.
“Hmm.. hmm.. hmm..” suara adik tadi bercakap sesuatu. Aku tak faham. Tapi akak tadi bercakap balik dengan dia. Seolah dia mendengar setiap butir cakap adik tadi. Ajaib. Yang aku dengar cuma bunyi orang kemam mulut.
Kadang-kadang nampak akak tu sapukan mulut anak dia dengan kain sapu. Air liur dia meleleh. Berusaha nak bersembang dengan mak dia. Akak tadi masih tersenyum-senyum melayan anak istimewa dia.
Nampak dia terhibur betul berdua tu. Keadaan yang bising dengan perbualan ramai di kawasan menunggu bagai langsung tak dipeduli. Mak dengan anak tu macam di alam lain, bergembira dan sama-sama menanti sesuatu.
Aku perhati sahaja. Leka sekejap. Aku senyum sendiri.
Tenangnya akak ini. Melayan anak yang sudah besar tapi terbatas pergerakan. Mungkin banyak renyahnya sebab semuanya mak yang kena buat. Nak bergerak ke sana sini, mak kena tolak kerusi roda dan mungkin banyak keadaan kena dukung dan angkatkan dia.
Nak makan pun bersuap. Mandikan, basuhkan rambut dan seluruh badan. Berak kencing semua mak itu juga yang bersihkan siang dan malam.
Anak Menangis Jangan Terus Jerit, Suruh Diam
Bukan waktu kecil bayi tu, ini dah 10 tahun. 10 tahun menguruskan anak dengan gaya menjaga bayi besar. Siap boleh bergelak ketawa dengan anak yang tak keluar pun butir kata percakapan dia.
Ads
Allahu.
Kawan-kawan, kita Tuhan bagi anak yang sihat dan sempurna. Tak lama mana pun zaman kanak-kanak dia. Sekejap sahaja sudah besar. Dah pandai urus diri. Dah pandai bercakap memberi kita faham kehendak dan apa yang dia nak.
Memang sifat anak-anak kadang-kadang meragam dan kasar bermain. Baru sikit anak menangis kita dah jeritkan. Kita dah cubit dan pukul suruh diam. Mungkin dia letih. Atau nak perhatian kita.
Teringat pagi hari tu baru marahkan Khalilah. Pagi pagi baru bangun, bergaduh pula dia dengan Abidah. Walidnya geram terus marahkan Khalilah.
Tuhan tunjuk terus depan mata hari ini, orang lain Tuhan uji anak sakit dan tak upaya. Seharian perlukan bantuan bergerak dan upaya daripada seorang mak. Elok je akak tu layan. Kau dah kenapa senang sangat nak marah anak?
Oh Tuhan. Berikanlah kami hati yang tenang dalam membesarkan anak-anak. Dan berilah kesabaran buat semua ibu bapa yang Kau uji dengan anak-anak yang istimewa.
Berikan mereka pahala yang sangat banyak kerana mereka bersungguh menyantuni anak-anak mereka. Ampunkan dosa mereka ya Allah. Berikan mereka syurga-Mu nanti bila mereka kembali kepada-Mu.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Gigi anak rosak, nak salahkan siapa ya? Habis berlubang dan rongak sampai tak boleh nak tidur malam sebab sakit gigi! Inilah nasib anak kecil kalau dari kecil gaya pemakanannya tidak dijaga.
Sepatutnya mak ayah perlu menjaga pemakanan anak-anak dari peringkat awal, kena elakkan makanan yang mengandungi kandungan gula yang berlebihan.
Kalau boleh, kita tak nak jadi seperti yang Dr Intan Norsyazwani kongsikan ini. Gigi anak yang rosak sebab tak dijaga dengan betul dan akhirnya kena cabut belum pada waktunya. Lagi sedih, cabut banyak gigi dalam usia 3 tahun pun ada!
JANGAN JADI IBU DAN AYAH YANG PENTINGKAN DIRI
Seorang ibu hadir ke klinik membawa seorang anaknya yang berusia 5 tahun dalam keadaan gusi membengkak.
Si anak dalam kesakitan teramat sangat akibat gigi yang terlalu teruk dan besar kariesnya, tak tidur dengan nyenyak dari semalam. Asyik mengadu gigi sakit.
Bila diperiksa, gigi yang berlubang besar tidak dapat lagi diselamatkan dan perlu dibuat cabutan.
Sayang sekali. Seawal usia 5 tahun, gigi susu yang sepatutnya bakal gugur di usia 10-11 tahun sudah kena dicabut.
Nasihat diberikan supaya diberi ubat antibiotik dan tahan sakit untuk kurangkan bengkak dan kesakitan yang dialami kerana gigi akan sangat sakit jika dicabut dalam keadaan sebegini.
Malangnya, jawapan yang diterima dari si ibu amatlah mengecewakan.
“Cabut je lah doktor. Malam-malam tak boleh tidur asyik sakit. Menangis je. Dah cabut nanti settle dah tak ada sakit dah.”
Sudah diterangkan keadaan anak akan sakit sangat, tapi diabaikan oleh si ibu dengan alasan saya kerjalah doktor. Bukan senang nak dapat cuti. Hari ni dah cuti, cabut jelah doktor.
Si anak berlinang air mata. Kadang-kadang bila ibu ayah dah berkeras, kami turutkan juga. Ketika dicabut, memang si anak menangis dan menjerit semahunya katanya sakit walaupun sudah diberi ubat bius setempat. Allahu, sukar untuk digambarkan. Bagi saya ibu dan ayah seperti terlalu pentingkan diri.
Anak Tak Salah Tapi Mak Ayah Yang Salah!
Bagi saya, jika orang dewasa dalam keadaan gusi membengkak pun takkan berani untuk terus beri giginya dicabut dan akan minta ubat bagi surut bengkak dahulu. Inikan pula si anak kecil.
Salah anda menyebabkan anak gigi rosak. Saya tak salahkan si anak. Didikan awal perlu diterap dari seawal usia anak anda walaupun sebatang gigi.
Lagi mengeruhkan keadaan, inilah pengalaman pertama si anak datang ke klinik pergigian untuk dirawat dan pengalaman itu adalah yang paling traumatik untuk si anak.
Cuba anda beri jawapan, bagaimana anak hendak suka datang berjumpa doktor gigi jika pengalaman pahit dan trauma yang anda berikan kepada mereka?
Dan bagaimana anak nak suka jumpa doktor gigi jika anda pun jumpa kami bila sakit sahaja?
Jadi buat mak ayah yang ada anak kecil, jagalah gigi anak di peringkat awal. Tolonglah didik anak-anak untuk menjaga gigi dan elakkan daripada mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Manisnya pekerti anak bongsu daripada tiga beradik ini. Dalam diam, dia dapat baca apa yang ibunya, Asmawati Ayob inginkan iaitu buah honey melon special.
Kata ibunya, walaupun hari ini bukanlah hari istimewa untuknya. Bila anak perempuannya, Asma’ Ariessa Binti Rashid, 9 tahun menghadiahkan honey melon dan cawan coffe, ia tetap mengundang rasa terharu dalam hatinya.
Surprise Daripada Cekmek
Cekmek itu nama panggilan untuk Ariessa.
“Tak perlu tunggu hari istimewa untuk buat surprise. Setiap hari adalah istimewa kan. Hari ini, dia (cekmek) tiba-tiba hadiahkan saya buah honey melon dan cawan coffe.”
Patutlah hari tu dia ada tanya, “Mama suka barang apa?” Mama cakaplah coffee cup thermos.
Lepas tu 3 hari lepas beli barang runcit kat Central Mart. Singgah di kedau buah kat dalam tu. Dari jauh nampak, “Amboi.. specialnya buah melon ni. Siap ada baju warna kuning. Mesti mahal ni.” Terdetik dalam hati.
Sampai dekat. “Hah! Memang mahal pun. Sekilo RM12. Aduii macam durian harganya. Takpelah.. nantilah.”
Tapi balik masih teringat sebab pernah makan buah yang sama masa atas cruise hari tu. Memang sedap manis lain macam.
Semalam pun saja singgah lagi kedai buah tu. Ofkos Cekmek ada sebelah. Tanya nyonya tu. “Sebiji ni agak-agak berapa kilo.” Dia kata 2 kilo lebih.
“Adui.. mau RM30 sebiji. Hmm.. nantilah.”
Mama Tunggu Dalam Kereta..
Hari ini on the way nak ke sekolah hantar Cekmek. Dia cakap, “Mama tolong berhenti kat Central Mart. Sebab nak tengok barang. Tapi mama tak payah turun.”
Bila tanya barang apa. Dia cakap, “Adalah.. kawan dia ada beli benda bawa ke sekolah. So, dia saja nak tengok-tengok aja.”
Dalam hati saya kata, “Ni mesti mainan kan!”
Mama pun oklah tunggu dalam kereta. Dia turun seorang. Mama cakap, “Cepat jangan nak lambat-lambat kat dalam tu. Dia balas ok.”
Dalam beberapa minit dia datang, “Eh! Bawa plastik? Siap shopping.. eh! Sekali tengok. YA ALLAH.. kamu ni Cekmek..”
Dia beli barang yang mama suka, coffee mug dan honey melon. Hepinya mama.. berbunganya hati mama. Terharu rasa mama, rasa nak nangis pun ada.
Tak Perlu Tunggu Hari Istimewa Nak Buat Orang Lain Bahagia
“Kamu ini sweet sangat lah Cekmek.”
Bila tanya guna duit mana beli. Dia cakap guna duit tabung. Alahai.. patut dia suruh tolong kira duit tabung dia tadi. Bukan banyak pun. Ada lah dalam RM34. Beli buah dah RM24.60. Coffe mug RM2.50. “Belen tinggal berapa je duit kamu Cekmek.”
Bila cakap, “Habislah duit..” Dia kata, “Tak apa mama, ustaz kata biar habis duit sebab buat pahala daripada dapat duit sebab buat dosa.”
Aduh! Menusuk kata-kata mu nak. Okay, mama rasa kamu semakin layak menjadi penceramah macam Oki. Amin..
Dan betullah kata Asmawati ini, sebenarnya tak perlu pun tunggu hari istimewa untuk buat orang lain bahagia. Itulah yang ditunjukkan oleh anak bongsunya ini.
“Tq Cekmek. I love U trillionsss!” Kata ibu ini bahagia.
Bila anak nak masuk darjah satu, kalutnya mak ayah dah bermula dari sekarang. Dup dap dup dap dalam hati tu memikirkan ‘Pandai tak nanti anak aku berdikari’,
‘Cukup tak nanti keperluan anak’, ‘boleh tak anak ambil baki dengan betul lepas membeli di kantin sekolah’, ‘Hilang tak nanti barang sekolahnya.’
Macam-macam persoalanlah berlegar-legar dalam kepala itu. Jadi sebelum kebimbangan itu jadi sesuatu yang merisaukan, mak ayah perlu ambil langkah bersiap sedia.
Panduan yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee untuk mak ayah persiapkan diri sememangnya cukup berguna dan perlu dihadam kemas-kemas.
Anak Masuk Darjah Satu.. Bertenanglah Mak Ayah
Ada beberapa perkara yang perlu ibu bapa siapkan sebelum anak melangkah ke tahun satu.
Pertama : Ajar Anak Cara Guna Duit
Yang ini sangat penting. Tunjukkan nilai duit kepada anak. Kalau boleh, buat praktikal di rumah supaya anak tahu berapa perlu dibayar, berapa baki yang perlu diminta dan sebagainya.
Kedua : Tak Perlu Beli Kasut Sekolah Mahal-mahal
Kasut berjenama yang makan harga sampai lebih RM60. Sebab apa? Biasanya kasut sekolah tu hayatnya tak lama.
Sebab hilang. Bila kasut mahal, lepas tu hilang pulak, mulalah mak ayah bikin ribut dalam grup WhatsApp kelas anak.
Sama juga dengan peralatan sekolah seperti pensil warna dan seangkatan dengannya. Cukuplah dengan pensil warna 12 batang. Kalau hilang pun tak ralat.
Ketiga : Jangan Lupa Tulis Nama Anak
Tulis nama anak pada beg, kasut, baju, seluar, bekas pensil dan segala harta ismit ulam raja yang anak-anak kita ada.
Kalau hilang juga, tanya elok-elok dalam grup WhatsApp kelas (kalau ada). Dan kalau tak jumpa juga, belilah baru. Kalau tak mampu, jumpa guru besar. Mungkin PIBG boleh bantu.
Keempat : Ajar Anak Minta Izin Untuk Pergi Tandas
Ada anak yang pemalu atau takut. Tu yang terlepas dalam kelas tu.
Kelima : Cara Ini Elak Anak Nangis Di Hari Pertama Sekolah
Bisikkan dekat anak setiap hari yang mereka akan mula bersekolah tahun depan. Kalau anak-anak nak pakai kasut sekolah hari-hari pun takpa. Sekadar nak mencetuskan rasa teruja. Tak adalah nanti bila sampai sekolah, menangis sepanjang hari.
Keenam : Terangkan Hakikat Sebenar Sekolah
Ceritakan dekat anak apa yang akan dia alami di sekolah. Kalau di tadika, itulah cikgunya dari pagi sampai petang. Tapi di sekolah rendah, cikgu-cikgu bertukar mengikut subjek.
Pernah anak saya cakap, “sekolah tak best.” Saya tanya, “kenapa?” Dia jawab, “cikgu ramai. Tukar-tukar pula tu. Penat nak berdiri duduk.”
Ketujuh : Minta Anak Berkawan-kawan
Suruh juga anak-anak berkawan. Antara sebab anak selalu menangis ialah dia tak jumpa kawan untuk bermain. Kalau jenis mesra alam, senang sikit. Duduk sekejap saja dah boleh ajak kawan sebelah melompat.
Kelapan : Bertenanglah Mak Ayah.. Beri Kepercayaan Pada Sekolah
Biasanya, minggu pertama sekolah ada minggu transisi. Biasanya juga, sekolah hanya benarkan mak ayah tunggu hari pertama sahaja.
Hari kedua mak ayah dah dilarang untuk menunggu sampai depan pintu kelas. Kecuali ada hal tertentu. Bincanglah dengan cikgu, kalau ada kes-kes tertentu.
Kesembilan : Hati-hati Dengan Media Sosial, Tak Semua Status Yang Di ‘Up’ Menyelesai Masalah
Kalau ada yang tak puas hati dengan pihak sekolah, maklumkan terus kepada guru besar. Jangan pula ditular dalam FB. Bayangkan kalau kita bikin masalah. Nanti yang terima akibatnya, anak kita juga. Kita jadi malu, anak-anak pula tak selesa.
Sepuluh : Pergi Sekolah Itu Wajib
Paling penting, suruh anak pergi sekolah. Undang-undang di Malaysia ini, bila anak berumur 7 tahun saja, mereka wajib pergi sekolah. Kalau tak pergi sekolah, satu kesalahan.
Selamat menempuhi alam baru terutamanya ibu bapa yang anak sulung baru masuk tahun satu dan selamat menjadi singa sebab nak kena siapkan anak awal pagi.
Benarlah segala kekuatan seorang wanita ada pada Tun Dr. Siti Hasmah. Mingguan Wanita begitu tertarik dengan perkongsian seorang wanita ibu tunggal yang bernama Puan...