Kasih ibu tiada penghujungnya. Sanggup berkorban apa saja demi anak-anak. Seorang ibu mampu menahan apa juga rintangan dan dugaan yang melanda, asalkan anak tersayang dapat pulih sepenuhnya.
Ikmal Amiliah bt Mhd Isa, 38, sesungguhnya mampu menjadi inspirasi buat ibu-ibu lain. Ketabahan dan kecekalannya membuatkan hati tersentuh saat berbicara dengan wanita muda berjiwa kental ini. Malah kekentalan dan ketabahannya turut diwarisi oleh Adi Harris yang terus kuat melawan penyakitnya. Malah melihatkan penampilan Adi yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak menyangka derita yang sedang ditanggung anak kecil itu.
Dilahirkan Sihat
Ikmal Amiliah atau mesra dipanggil Amie, diduga saat anak bongsunya, Adi Harris, didiagnosis dengan penyakit kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Hati ibu mana yang tak remuk tika menerima perkhabaran tersebut. Namun sebagai hamba-Nya, Amie sedar ini adalah ujian Allah untuknya.
“ Adi Harris bin Rosidin, lahir pada tanggal 31 Jan 2015. Dilahirkan sihat dan cukup bulan. Adi mempunyai empat orang abang iaitu Adam Harris,14 tahun, Aiman Harris, 12 tahun, Azha Harris, 10 tahun, Akmal Harris, 7 tahun.
“ Adi membesar dengan sihat sehinggalah pada usia 7 bulan, bahagian belakang tapak tangannya membengkak hingga ke siku. Risau dengan keadaan itu, saya dan suami bawa dia ke hospital. Setelah x-ray, doktor kata tiada yang merisaukan dan kami tunggu temu janji seterusnya.
“ Ketika umur Adi 1 tahun 2 bulan, dia batuk-batuk dan kami bawa ke klinik. Tapi doktor masih sama. Kali ketiga ke klinik baru doktor dapat kesan kelainan pada hatinya. Hati Adi telah membengkak dan terus dirujuk ke hospital.
Ads
“ Mac 2016, Adi disahkan menghidap kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Kanser saraf yang tumor utamanya di adrenal sebelah kanan dan telah merebak ke beberapa bahagian dalam tubuh badannya seperti hati, tulang, saraf utama.
” Adi menjalani rawatan di HKL. Dia telah menjalani beberapa fasa termasuk pemindahan sum-sum tulang. Kini telah memasuki fasa keenam: Ubat makan CisRetinoic Asid yang perlu dimakan selama setahun.
“ Tetapi setelah masuk bulan keenam, Adi tak mampu lagi meneruskan rawatan kerana badannya telah membengkak dan mengalami alahan terhadap ubat tersebut. Doktor telah mengarahkan pemberhentian serta merta segala ubatan bagi memberi peluang dirinya menerima rawatan penyembuhan alahan sahaja,” ujar Amie membuka bicara.
Cuti Tanpa Gaji
Demi memberikan sepenuh perhatian pada anak bongsunya, Amie telah mengambil cuti tanpa gaji.
Ads
“ Setelah doktor diagnosis Adi menghidap kanser, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan sepanjang rawatan Adi lebih kurang dua tahun, saya sentiasa ada di sisinya. Keputusan itu saya ambil kerana ia membolehkan saya fokus dengan rawatan Adi manakala suami akan bekerja dan menjaga empat orang anak lain.
“ Memang rasa kasihan pada anak-anak yang terpaksa ditinggalkan namun terpaksa saya kuatkan hati demi melihat Adi sembuh. Saya berterima kasih pada anak-anak. Besar pengorbanan jiwa anak-anak yang ditinggalkan. Mengurus diri mereka sendiri tanpa ada pembantu rumah. Hanya ada ayah untuk memantau. Setiap hari hanya doa yang saya kirimkan buat suami dan anak-anak. Semoga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“ Saya kini telah mula kembali bertugas pada Feb 2018.Keadaan Adi juga nampak bertambah baik. Cuma Adi masih belum boleh pergi ke taska sebab masih belum menerima suntikan vaksin. Adi memerlukan pengulangan suntikan vaksin seperti bayi yang baru lahir kerana Adi telah menjalani pemindahan sum-sum tulang pada Jan 2017,” tambah Amie lagi.
Kos Rawatan
Ketika ini, akui Amie, Adi sudah semakin kurang ulang alik ke wad dan tidak memerlukan peralatan sokongan. Maka kos rawatan tidak sebesar sewaktu masih dalam rawatan dulu.
Ads
“ Banyak duit simpanan yang dikeluarkan bagi menampung kos sara diri, kos ulang alik hospital, kos anak yang ditinggalkan, kos ubatan dan hospital dan kos-kos sampingan. Tapi itulah pengorbanan yang perlu dibayar demi melihat Adi sembuh.
“ Kini Adi masih dalam pemantauan pihak hospital. Cuma sudah tidak lagi menerima rawatan kansernya. Setiap tiga bulan Adi akan ke Klinik Pakar Onkologi di Institut Pediatrik HKL bagi melakukan ultrasound dan pemeriksaan yang berkaitan bagi tujuan pemantauan kesihatannya. Adi juga telah mula menerima vaksin pertama pada Oktober 2018,” kongsi ibu cekal ini.
“ Selain itu, anak kedua saya pula seorang Mild Autisme + Mild Disleksia. Diagnosis ketika umurnya 3 tahun dan memulakan rawatan di Hospital Putrajaya pada 2009 sehingga tahun 2013. Manakala suami saya pula seorang kanser survival (leukemia) tapi masih perlu menjalani pemeriksaan rutin kerana disahkan menghidapi Cronic Hepatitis B ketika masih dalam rawatan sebelum ini,” Kongsi Amie.
Cari Kekuatan Diri
Amie juga mengakui, sebagai manusia biasa, pasti akan ada ketikanya jiwa rasa terlalu rapuh. ” Bila kita di dalam wad, memandang keadaan sekeliling yang mana anak-anak lain yang diuji kesakitan sebegini setiap hari berperang untuk hidup. Mereka sangat kental, kuat semangat.
” Sebagaimana mereka setiap hari berjuang untuk terus hidup, berusaha untuk terus melihat esok, begitu juga saya akan sokong Adi untuk terus melihat dunia. Adi sendiri memiliki semangat juang yang tinggi. Sentiasa tersenyum dan ceria walau diduga dengan penyakit kronik. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melihat dia sembuh sepenuhnya. Saya serap semangat juang Adi agar saya juga tidak sesekali mengalah.
“ Ketika anak sakit, suami jarang di sisi kerana hospital jauh dan perlu jaga anak-anak lain di rumah. Tapi Allah hadirkan sahabat-sahabat yang selalu datang membantu. Saya sangat berterima kasih pada kumpulan perubatan dan sokongan hospital, ibu bapa, kawan-kawan, jiran, guru-guru anak saya dan orang-orang sekeliling yang sangat baik. Walaupun sebenarnya ada ketika saya juga lemah, hampir tersungkur menyembah bumi, tapi saya pilih untuk kuat dan terus kuat menghadapi hari depan, demi orang-orang yang saya sayang,” akhiri Amie menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebenarnya ada kaedah tertentu yang boleh mak ayah praktikkan dalam mendidik anak agar suka belajar dan cintakan ilmu. Mak ayah perlu tahu bahawa pendidikan anak-anak yang pertama adalah bermula dirumah! Oleh itu adalah amat penting bagi mak ayah agar mempunyai ilmu dan faham kaedah yang boleh dipraktikkan untuk anak tersayang.
Berikut merupakan perkongsian ilmu daripada Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Noor Afidah Abu Bakar sebagai rujukan mak ayah.
“Menurut Harvard Center on The Developing Child (HCDC), sebanyak 1000 trillion perhubungan neural (neural connection) terbina dalam otak kanak-kanak ketika berusia 1-3 tahun.Perhubungan neural ini terbina apabila otak kanak-kanak diberikan stimulasi dengan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran”.
Otak kanak-kanak secara semulajadinya sentiasa bersedia untuk melalui proses pembelajaran. Perhubungan neural inilah yang membantu kanak-kanak untuk belajar dan menyerap maklumat melalui pengalaman yang dilalui.
Ketika usia ini kanak-kanak suka belajar kerana seronok hendak belajar. Walau bagaimanapun, menurut HCDC juga, proses pembelajaran menjadi lebih sukar apabila otak kanak-kanak tidak mendapat stimulasi yang optimum apabila mereka meningkat usia.Keseronokan dan minat kanak-kanak untuk belajar juga didapati semakin menurun terutamanya apabila kanak-kanak terpaksa melalui rangkaian ujian dan peperiksaan dari usia yang terlalu awal.
Menurut Professor Richard Ryan seorang pakar psikologi dari University of Rochester, kanak-kanak berminat untuk belajar apabila pembelajaran berlaku secara semulajadi, iaitu melalui bermain kerana bermain adalah kecenderungan semulajadi kanak-kanak.
Ibubapa boleh memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan minat dan motivasi semulajadi kanak-kanak terhadap pembelajaran.
Keinginan anak untuk ‘explore’ dan ‘discover’ boleh dipupuk melalui 6 kaedah berikut:
1) KONGSIKAN PENGETAHUAN DENGAN ANAK
Ibubapa adalah suri teladan (role model) terbaik anak-anak. Peringkat pertama pembelajaran seorang anak adalah dengan meniru perbuatan ibubapa walaupun mereka belum faham apa yang ditiru.
Kongsikan dengan anak apa saja ilmu yang anda pelajari atau baca sama ada sukan, masakan, isu semasa, fesyen, alam sekitar, ekonomi, politik, ataupun sains.
Bersembanglah dengan anak dengan cara yang bersesuaian dengan usia anak. Jangan dipandang rendah keupayaan anak untuk sama-sama mendengar dan berbincang dengan ibubapa pengetahuan yang berkaitan.
Ceritakan kenapa anda rasakan topik atau isu berkenaan menarik perhatian anda untuk dikongsi. Dengan cara ini secara tidak langsung anak akan mempelajari bahawa proses menuntut ilmu dan pengetahuan itu bukanlah untuk kanak-kanak sahaja dan tidaklah terhenti apabila tamatnya persekolahan.
2) LIMPAHI ANAK DENGAN BAHAN BACAAN
‘Iqra’ (Bacalah) – Al-Alaq
Minat membaca menjadi faktor yang penting untuk melahirkan ‘life-long learners’. Kajian oleh Harvard University mendapati bahawa kanak-kanak yang suka membaca adalah mereka yang mudah mendapat bahan bacaan seperti buku, majalah, surat khabar, kamus dan ensaiklopedia di sekitar mereka.
Pastikan bahan bacaan di letakkan di tempat yang mudah diambil dan berdekatan dengan anak, seperti di bilik tidur, supaya minat itu berterusan dan tidak terputus.
Bacakan buku untuk anak kecil dan baca bersama-sama apabila mereka semakin membesar. Bincangkan dengan anak tentang kandungan buku dan tanyakan pendapat anak tentang watak dan cerita tersebut.
Penyertaan aktif anak dalam proses membaca dan perbincangan akan menambahkan lagi minat anak untuk membaca buku dan seterusnya menimba ilmu dan pengetahuan dari pembacaan.
3) MULAKAN DENGAN MINAT SEMULAJADI ANAK
Setiap anak mempunyai minat yang berbeza. Minat anak juga mungkin berbeza dari minat kita. Minat tidak boleh dipaksa sebaliknya perlu dipupuk. Minat anak boleh dikesan dari kecil lagi terutamanya apabila anak sering didedahkan kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran.
Berikan masa untuk bayi memegang, menyentuh dan merasa objek dan permainan supaya minat dapat dikesan dan terus dipupuk. Ibubapa berperanan untuk memberi sokongan dan galakan supaya minat itu berkembang melalui proses pembelajaran yang berterusan.
4) TETAPKAN BATASAN DALAM MEMBANTU
Kajian mendapati bahawa ibubapa yang mempunyai anak yang bermotivasi tinggi untuk belajar adalah ibubapa yang tidak memberi tekanan yang melampau, tidak melakukan semua untuk anak dan tidak membuat keputusan untuk anak.
Ibubapa ini memberi kebebasan untuk anak-anak berfikir dan memberi pendapat mereka berkaitan sesuatu perkara. Ibubapa ini memberi panduan dan sokongan untuk anak-anak dalam membuat keputusan.
Beri peluang kepada anak kecil untuk membina binaan blok mengikut idea dan keupayaan anak, menyelesaikan ‘puzzle’ dan juga menyelesaikan latihan matematik dengan sendirinya tanpa bantuan yang melampau daripada ibubapa.Ini akan melatih anak untuk menjadi lebih kompeten dan resilien. Anak yang merasakan diri kompeten, akan lebih berminat untuk belajar dan terus mencabar diri sendiri untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya.
5) GALAKKAN ANAK BERTANYA SOALAN
“Wisdom begins with wonder”
Anak kecil sentiasa ‘curious’ dengan persekitaran mereka. Biar anak bertanya apa saja soalan kerana pembelajaran berlaku dengan lebih efektif melalui kaedah soal jawab.
Layanlah setiap soalan. Jika kita tidak tahu jawapannya, beritahu anak yang anda tidak tahu dan ajak anak untuk sama-sama mencari jawapannya sama ada melalui ensaiklopedia, buku ataupun internet. Wujudkan budaya mencari maklumat kerana ia akan mengujakan anak-anak.
Ibubapa juga perlu sering bertanya soalan kepada anak untuk mencetuskan keinginan untuk mencari jawapan dan seterusnya memupuk minat untuk belajar dan menimba ilmu.Tanyakan soalan yang berbentuk konseptual seperti “Kenapa agaknya burung kembali ke sarang apabila masuk waktu senja?”. Soalan yang sebegini akan mencetuskan persoalan di dalam diri anak yang membawa kepada pencarian ilmu.
6) FOKUS PADA USAHA DAN BUKANNYA HASIL SAHAJA
Carol Dweck, seorang pakar psikologi dari Stanford University mendapati bahawa kanak-kanak lebih bermotivasi untuk belajar apabila pujian diberikan kepada usaha yang ditunjukkan berbanding hasil yang dicapai.
Semua anak mencapai sesuatu hasil pada kadar yang berbeza. Jika ibubapa memberi penekanan kepada hasil tanpa mempedulikan usaha, anak yang lambat mencapai sesuatu hasil akan merasakan diri tidak dihargai dan terpinggir.Ini akan mematikan minat anak untuk belajar dan berusaha. Pujilah setiap usaha anak untuk memberikan keyakinan kepada anak tersebut bahawa dia juga boleh berjaya satu hari nanti.
Sama-samalah kita wujudkan budaya cintakan ilmu dalam keluarga kita dan seterusnya melahirkan ‘lifelong learners’ dalam masyarakat.
Jadilah ibubapa yang hebat!
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sama-samalah kita berusaha menjadi mak ayah yang terbaik buat anak-anak.
Pernah tak anda melihat situasi ini, ketika berjalan di pusat membeli belah pada hujung minggu, ternampak seorang lelaki sedang menggalas handbag pasangannya sama ada isteri atau teman wanita.
Siap kepit bawah ketiak! Sedangkan dalam masa yang sama, si perempuan itu tidak bawa apa-apa barang pun. Hanya telefon bimbit di tangan.
Apa yang terlintas di fikiran anda. Adakah lelaki itu kelihatan romantis atau anda nampak lelaki itu macam kena ‘cucuk hidung’? Jom tanya pendapat lelaki tentang perkara ini….
1. Cara Lain Boleh Tunjuk Caring
“Ada banyak cara kita nak tunjukkan sikap caring pada pasangan. Bawakan barang-barang yang mereka beli pun salah satu petunjuk bahawa kita caring pada pasangan. Tak perlulah sampai tolong galaskan beg tangan pasangan. Nampak ganjil sebab beg tangan itu aksesori wanita. Bila lelaki yang bawa, memang tak kena. Tak sweet pun bagi saya.
Tapi ada juga rakan-rakan saya yang biasa galas beg tangan teman wanita mereka jika mereka keluar bersama. Saya pernah tanya dan kata mereka, itu tanda sayang pada pasangan. Tapi sebaliknya saya tengok macam kena queen control pun ada. Jadi, kesimpulannya, lain orang lain pemikiran. Tapi bagi saya, perbuatan itu tak sweet pun. Akmal Che Razak
2. Tak Sesuai Dengan Imej Lelaki
“Bagi saya, lelaki dicipta sebagai khalifah dan ketua keluarga. Bila bawa beg tangan wanita, rasa tak sesuai dengan imej dan watak lelaki itu sendiri yang gagah perkasa. Tapi kalau tolong angkat dan bawa barang-barang ketika beli-belah, tak ada masalah. Sebagai lelaki memang patut tolong angkat barang. Nampak gentleman. Lebih-lebih lagi jika barang yang berat. Tapi bukan galas beg tangan perempuan.
“Apa pun, terpulang pada pendapat masing-masing. Ada yang memang tak kisah nak galas beg tangan pasangan mereka walau pun ketika itu perempuan itu tak bawa apa-apa barang pun. Mungkin nak tunjuk kasih sayang dan sifat caring pada pasangan. Tapi kalau saya, memang taklah..” Wan Izmir bin A.Rahim
3. Galas Demi Keselamatan
“Secara peribadi, saya tak nampak pun perbuatan galas beg tangan isteri atau teman wanita ini ‘sweet’ atau romantis. Sebab lelaki sifatnya macho, gagah dan kuat. Beg tangan pula dikaitkan dengan sifat feminin. Keduanya kontras. Namun, tengok situasi. Macam saya, kalau setakat tolong pegang dan tunggu isteri ketika dia nak ke tandas masih boleh diterima. Sebab nak memudahkan mereka. Demi keselamatan. Tapi kalau hendak saya galas ke hulu ke hilir masa menemani isteri shopping, saya takkan buat. Tengok lelaki yang buat macam tu pun saya rasa pelik. Apatah lagi sendiri nak buat.
“Tapi ada lelaki yang tak kisah nak bawa dan galas beg pasangan mereka. Mungkin mereka rasa beg tangan ada banyak dokumen peribadi penting di dalamnya. Jadi demi keselamatan, biar mereka yang bawa. Lebih-lebih lagi jika berada di tempat sesak dengan orang. Tak kisahlah kalau mereka rasa macam itu.” Yuhaizal bin Yaacob
4. Bantu Mudahkan pergerakan Isteri
“Saya memang tak pernah galas beg tangan isteri saya. Sejak kami bercinta hingga sudah berbelas tahun kahwin. Isteri pun tahu prinsip saya tu. Bagi saya beg tangan adalah lambang feminin wanita. Buruk benar kalau lelaki galas beg tangan wanita. Muka macho tiba-tiba galas beg tangan. Tak nampak pelik ke? Lainlah kalau tolong pegang dan jaga beg tangan isteri ketika dia nak cuba baju dalam fitting room atau tunggu isteri masuk tandas. Itu nampak sweet, menunjukkan lelaki ambil berat tentang barang berharga isteri. Tapi kalau ketika window shopping suami yang galas beg isteri, memang tak elok sangat nampaknya.
“Begitu juga jika isteri sedang dukung anak . Saya rasa memang patut kalau suami tolong bawa beg tangan isteri sebab nak bantu mudahkan pergerakan isteri. Nanti kalau tertinggal di mana-mana lagi susah sebab banyak dokumen penting di dalam beg tangan mereka tu. Ini pendapat saya secara peribadi.” Sharul Nizam Amir
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“7 tahun kerja di Australia, balik sini isteri tuntut cerai.” Hilang keluarga, lesap harta benda. Sedihnya inikah balasan buat jasa yang ditabur oleh seorang suami.
Berat mata memandang, berat lagi bahu suami ini menghadapi kenyataan yang pahit ini. Tidak dapat bayangkan apakah perasaan sang isteri, tiada sekelumit ke rasa bersalah pada suami.
Ikuti perkongsian Puan Farizal Radzali ini dan hadam baik-baik mesej yang cuba disampaikan di sebalik kisah ini.
7 Tahun Kerja Di Australia
Kisah untuk renungan.
Ada klien kami, seorang lelaki yang bergelar suami, bekerja di Australia sebagai pemetik buah. Dia mempunyai isteri dan seorang anak di Malaysia.
Setiap bulan, dia akan masukkan duit ke dalam akaun si isteri.
7 tahun dia bekerja di sana. Duit belanja yang dihantar ke Malaysia memampukan si isteri membeli secara tunai, sebuah rumah yang diletakkan di atas nama isteri. Kerana dia tiada di Malaysia ketika perjanjian ditandatangani.
Akaun bersama dia dan suami ditukar kepada nama isteri seorang, atas alasan suami tiada di Malaysia untuk uruskan akaun tersebut.
Dan setelah 7 tahun, dia pulang ke Malaysia.
Si isteri memohon cerai. Anak langsung tak nak kepada ayahnya.
Anak isteri hilang, harta benda pun lesap.
Akhirnya depression. Bercakap sorang diri. Ketawa sorang diri. Bila normal, dia balik ke rumah isteri tapi dipukul dek isteri. Tak ingat dirinya telah dicerai, telah dibuang.
Hilang Keluarga
Isteri buat laporan polis mengatakan bekas suami ganggu dia dan memudaratkan dirinya dan anak. Lalu dia ditangkap polis.
Sedih sungguh kisahnya.
Akhirnya, kakak kepada lelaki tersebut menuntut keadilan bagi pihak adiknya. Adiknya berjaya dikeluarkan dari lokap atas alasan dia masih makan ubat depression.
Tuntutan pulangan semula 50 peratus dari keseluruhan jumlah wang yang pernah dihantar ke Malaysia. Rumah pun dibahagi sama rata dengan bahagian isteri.
Dan lelaki itu menang.
Namun, dia dah tak betul. Gila. Tak ada guna sudah harta segala.
Sedih, memang sedih.
Moga kita dijauhkan dari sifat tamak dan pentingkan diri sendiri. Sayangilah orang yg bertungkus lumus bekerja untuk menyara kita.
Tak kisahlah dia tak pandai atau tak handsome, atau tak seperti yang kita harapkan.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita: Begitulah ujian dalam rumah tangga, tak kiralah di waktu susah atau senang tetap akan diuji. Segalanya bergantung kepada kejujuran dan kesetiaan kita kepada pasangan. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan dan jangan bersikap tamak. Renung-renungkan.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...