Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fedtri Yahya yang juga aktif sebagai sebagai penulis lirik berkongsi amalan yang baik untuk merawat tubuh.
Dalam satu perkongsian menerusi akaun laman Instagramnya, personaliti ini mengatakan cara terbaik untuk membuang toksik dilakukan secara tradisional menggunakan dua bahan dan dilakukan waktu malam sebelum tidur.
Ahmad Fedtri Yahya, Hanya Guna Dua Bahan
Toksik ditakrifkan sebagai bahan yang menyebabkan kesan berbahaya kepada tubuh. Badan berasa sakit apabila tahap toksik menjadi terlalu tinggi.
Toksik berasal dari sumber alam sekitar, amalan gaya hidup yang tidak sihat, toksin dalaman yang dicipta oleh tubuh dan juga emosi anda. Pelbagai cara untuk menghilangkan toksik ini, salah satunya menggunakan kaedah tradisional.
“2kg garam kasar dicampur dengan 100g lada hitam.
“Tak perlu letak air atau apa-apa yang lain.
“Masuk dalam bekas yang sesuai dan pijak-pijak selama kira-kira 5-15 minit. Cuci kaki dan tidur.
“Garam tu jangan buang lagi. Boleh guna beberapa kali,” tulisnya.
Guna Bahan Yang Ada Di Dapur
Hanya menggunakan bahan yang ada di dapur iaitu garam kasar dan lada hitam, tidak perlukan campuran air. Campuran dua bahan itu dimasukkan dalam bekas yang sesuai kemudian pijak selama 5-15 minit.
Garam kasar dan lada hitam
Diingatkan juga untuk mencuci kaki terlebih dahulu sebelum masuk tidur. Campuran bahan tersebut juga tidak perlu dibuang kerana ia boleh diulang pakai untuk beberapa kali rawatan.
Kata Ahmad Fedtri Yahya, ia baik untuk membuang toksik dalam badan dan bagus untuk yang alami strok dan sebagainya.
Jadi sesiapa yang ingin membuang toksik dalam badan boleh cuba kaedah tradisional ini. Semoga bermanfaat!
Selain cara yang diamalkan oleh personaliti ini, disini juga kami kongsikan cara-cara selamat detoks tubuh.
10 CARA PALING SELAMAT DETOKS TUBUH
Berikut adalah beberapa tip semula jadi yang mudah dan murah mengurangi serta menghilang kumpulan racun dalam tubuh anda:
1. Minum air putih
Air putih atau air masak boleh membantu menghilangkan racun di tubuh melalui peluh dan air kencing yang dikeluarkan. Minum lapan gelas air putih dalam sehari dan usahakan juga untuk minum empat gelas setiap kali anda bangun daripada tidur pada pagi hari.
2. Berpeluh secara semula jadi
Ads
Berpeluh boleh membantu menghilangkan ‘longgokan’ racun pada tubuh dan kulit anda. Anda boleh mengatasinya dengan melakukan senaman kardio seperti berjalan kaki, berlari, berbasikal yang mana boleh membuatkan anda berpeluh secara semula jadi.
3. Secawan teh setiap hari
Ternyata teh merupakan salah satu minuman yang memiliki kandungan antioksidan yang cukup tinggi. Antioksidan dalam teh berupaya menghalang serta mencegah pengumpulan radikal bebas yang masuk ke tubuh melalui udara yang kita sedut.
4. Lobak merah
Lobak merah adalah sejenis sayuran yang sangat baik untuk menjaga kesihatan mata, kerana kandungan vitamin A yang terkandung di dalamnya. Di samping itu, lobak merah juga berperanan besar sebagai media pembersih daripada tumpukan racun yang ada di dalam tubuh seperti racun pada organ usus besar dan hati anda.
5. Kurangkan pengambilan gula
Di samping dapat mengundang pelbagai macam penyakit menyerang tubuh, gula juga memainkan peranan besar sebagai salah satu makanan yang dapat meracuni tubuh anda seperti mengundang penyakit kanser, diabetes mahupun jantung.
6. Khasiat buah anggur
Ads
Buah anggur terutama anggur hijau ternyata sangat efektif menghilangkan racun di dalam tubuh anda. Selain itu, anggur juga mengandungi ‘resveratol’ yang dapat menangkis kanser kulit daripada sinaran matahari yang membakar.
7. Makanlah buah betik
Buah betik dikatakan sangat efektif sebagai pelindung tubuh daripada pelbagai radikal bebas yang tercampur daripada udara yang kita hirup. Jadi, buah ini tentunya sangat efektif untuk mencegah pengumpulan racun di dalam tubuh.
8. Makanan berserat
Untuk menghilangkan racun secara semulajadi dari dalam tubuh anda anda kenalah rajin mengambil makanan berserat. Ia akan membantu membersihkan sistem dan menghilangkan zat kimia berbahaya atau zat kimia yang tidak diperlukan oleh tubuh. Makanan kaya serat seperti sayuran hijau, gandum dan nasi sebaiknya dimasukkan dalam diet setiap hari.
9. Jus lidah buaya
Lidah buaya mempunyai banyak manfaat. Bukan sekadar boleh mencantikkan serta menyuburkan rambut anda. Malahan, salah satu fungsinya adalah mengeluarkan racun dari dalam tubuh. Lidah buaya memiliki zat antioksidan yang membantu menghilangkan zat-zat kimia beracun dalam tubuh kita.
10. Lemon suam yang dicampur madu
Salah satu cara yang paling kerap dipraktik untuk menghilangkan racun dari dalam tubuh adalah dengan minum air suam yang telah dicampur lemon dan madu pada setiap pagi. Caranya sangat senang, anda cuma perlu sediakan segelas air suam, tambahkan satu sudu madu dan perah beberapa titis lemon ke dalamnya. Campurkan dan minum.Lakukan pada setiap pagi, sebelum anda mengambil makanan lain.
Susulan pengumuman kerajaan yang membenarkan rentas negeri bermula 10 Jun, ramai yang merebut peluang untuk balik kampung. Penggunaan fasiliti di kawasan Rehat dan Rawat seperti surau, kedai makan dan tandas juga dibuka dan dibenarkan berbanding SOP ketika PKP sebelum ini.
Kena Patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)
Orang ramai yang merentas negeri mulai hari ini dibenarkan singgah berehat dan menunaikan solat di surau yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing.
Bagaimanapun, pembukaan R&R itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk mengamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial.
Lebih Banyak Kelonggaran
Ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hari ini, menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi.
Sebelum ini, rakyat Malaysia bukan sahaja tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa, malah pelbagai aktiviti tidak dapat dilakukan sebagai usaha kerajaan dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.
Turut diumumkan, restoran, gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai serbaneka dan runcit, yang sebelum ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam, kini dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam.
Boleh Beriadah Di Zoo Negara
Kepada ibu bapa pula, mereka boleh menghilangkan kebosanan anak-anak yang ‘terkurung’ hampir tiga bulan di rumah dengan membawa anak-anak beriadah di Zoo Negara dan zoo-zoo lain kerana premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi.
Namun, dalam keterujaan mengunjungi premis-premis dibenarkan, rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi SOP ditetapkan malah mereka perlu beringat bahawa segala aktiviti dilakukan adalah di bawah pemantauan pihak berkuasa.
Menurut Ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan pemantauan kepada pematuhan SOP di premis perniagaan dan kawasan awam selaras dengan penguatkuasaan PKPP.
Boleh Kena Kompaun
Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun dalam tempoh pelaksanaan PKPP.
Dalam perkembangan lain, setakat 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatat kes COVID-19 satu angka, untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara membabitkan kalangan warganegara.
Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah jemu mengulangi pesanan supaya rakyat negara ini sentiasa mematuhi SOP, mengamalkan normal baharu selain menjaga kebersihan diri masing-masing.
Ini sebagai menghargai penat lelah barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus membantu merealisasikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan untuk memastikan negara bebas COVID-19.
– BERNAMA
MW: Jadi buat yang nak balik kampung tu, jangan bimbang tetap boleh singgah rehat, tunai solat dan makan di kawasan R&R. Cuma pastikan lebih berjaga-jaga, patuhi SOP,amalkan kebersihan dan kekalkan penjarakan sosial.
“Halalkan semuanya ibu, sebenarnya saya sudah mati,” kata akhir anak maut kemalangan jadi kenyataan. Kata-kata pelik diungkap oleh Safitri Mulyana beberapa ketika sebelum meninggal dunia menjadi kenyataan apabila arwah terlibat dalam kemalangan dengan lori dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 74.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Tanjung Pagar, pada jam 8.51 pagi, Safitri Mulyana Mohamad, 31, yang tinggal di Kampung Gong Pasir maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah peha kanan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu Safitri dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dipercayai terbabas ke laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Pertembungan kemalangan ini mengakibatkan arwah meninggal di lokasi kejadian. Dirinya keluar membeli makanan untuk ibunya yang mengidap sakit buah pinggang.Beginilah keadaan Vivanya yang remuk dalam nahas meragut nyawa ini
Dalam masa sama, sebuah Proton Saga yang berada di belakang cuba mengelak namun bergesel dengan kenderaan mangsa.
Jelas ibunya, Norshikin Mustaffa, dia sama sekali tidak menyangka kata-kata pelik yang diungkap anaknya menjadi kenyataan.
Memetik Harian Metro, Norshikin, 64, yang menghidap penyakit buah pinggang berkata, arwah anaknya itu seorang ibu tunggal. “Dia tinggal bersama saya dan menjaga saya dengan baik, dia akan ambil dan hantar saya setiap kali saya menjalani rawatan mencuci buah pinggang di Hospital Dungun.
“Semalam, dia bawa saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) untuk bertemu dengan pakar mata dan ketika dalam perjalanan pulang dia memberitahu saya bahawa dirinya itu sebenarnya sudah meninggal dunia,” katanya.
Kata-kata peliknya mengatakan dirinya sudah meninggal dunia jadi kenyataan
Katanya, dia terkejut dengan ungkapan pelik yang keluar daripada mulut anaknya itu sambil meminta anaknya itu tidak bercakap lagi perkara itu.
“Beberapa minit selepas itu, dia bertanya semula jika dia meninggal, adakah saya akan menghalalkan segala makan minumnya serta air susu saya membesarkannya. Saya kata saya halalkan semuanya dan selepas itu saya minta supaya dia tidak lagi mengulangi kata-kata sebegitu,” katanya.
Norshikin berkata, dia sangat terkejut selepas menerima panggilan daripada anak bongsunya yang memaklumkan arwah maut dalam kemalangan.
“Ketika kejadian, arwah keluar untuk membeli nasi lauk daging yang saya pesan, saya tunggu kenapa dia tak pulang rupanya dia terbabit dalam kemalangan. Biasanya dia akan bawa saya untuk menemaninya dan hari ini dia minta saya tidak mengikutinya seolah-olah dia sudah mengetahuinya dia akan pergi meninggalkan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Menurutnya, pemandu lori yang berusia 45 tahun dan pemandu Proton Saga yang juga wanita berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat di bawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ibu bayi 9 bulan kongsi detik cemas anak diculik dari rumah pengasuh & bakal dijual kepada sindiket. Tiada apa yang lebih menakutkan seorang ibu bila mana anak kesayangan diculik orang. Lebih menakutkan anak itu dijual kepada sindiket kanak-kanak. Inilah pengalaman ngeri dilalui seorang ibu muda, Farisha Amirah Zainal yang mana bayi kecilnya berusia 9 bulan, Raisya Mohamad Rahimi dilarikan dari rumah pengasuh.
Menceritakan trauma ngeri dilaluinya, dirinya mengakui jantungnya seperti mahu luruh bila diberitahu anak saya dilarikan sekumpulan individu tapi kini saya bersyukur kerana bukan sahaja dia selamat malah polis turut berjaya mengesan suspek yang terlibat.”
Memetik perkongsiannya di Malaysia Gazatte, Farisha Amirah Zainal, 24, ibu kepada bayi, Noor Raisya Mohamad Rahimi, sembilan bulan yang dilarikan sekumpulan individu dalam satu kejadian di Taman Pauh Perai di sini semalam.
Mencerikan kejadian, Farisha Amirah dikejutkan dengan berita kehilangan anak perempuannya pada pukul 5.30 petang sebaik pulang dari tempat kerja dan dalam perjalanan mengambil anaknya dari rumah pengasuh.
Jelasnya, dia kaku dan lemah apabila pengasuhnya yang juga warga emas memaklumkan cucu perempuannya sendiri yang melarikan anaknya.
Ketika itu wanita tersebut sedang solat.
“Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.
Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat.
“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami,”.
Menurut Farisha Amirah, sejam kemudian, dia dan suami menerima panggilan daripada polis memaklumkan mereka telah berjaya mengesan suspek namun bayi yang dilarikan tiada bersama.
Katanya, meskipun diberitahu anak mereka belum lagi ditemui namun naluri tetap mengatakan bayi itu akan diselamatkan dan pulang ke pangkuannya.
Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.
“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian ngeri itu.
“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur,” jelasnya yang berasal dari Changlun, Kedah.
Tambahnya, sehingga kini, dia masih trauma atas kejadian tersebut selain mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anaknya sepenuh masa.
“Saya sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain,” katanya.
Terdahulu, lima individu termasuk seorang remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan bayi berkenaan direman di Mahkamah Bukit Mertajam di sini hari ini.
Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik.