Jasa dan pengorbanan seorang mak sangatlah besar. Kasih sayangnya pada anak-anak dan keluarga tiada galang gantinya.Hinggakan ketika anak sakit, sanggup nyawa diri dipertaruhkan menggantikan derita dan kesakitan yang perlu ditanggung oleh seorang anak.Namun hakikatnya, seorang mak perlu ‘pentingkan dirinya’ sendiri, memikirkan keperluan dirinya terlebih dahulu untuk kesejahteraan seluruh isi keluarga.
Untuk fahamkan lebih lanjut, jemput baca perkongsian dan pandangan Puan Farizal Radzali ini sebagai panduan;
Dulu, masa saya baru ada seorang anak, tiap kali anak demam atau sakit, saya susah hati. Sampai saya cakap kat mak saya, kalaulah sakit tu boleh berpindah, biarlah sakit anak tu pindah kat saya.
Tapi mak saya cakap, “Biar anak yang sakit, jangan mak yang sakit”. Masa tu saya rasa tak patut seorang mak cakap macam tu.
Tapi lama kelamaan, bila anak pun dah bertambah, baru saya faham apa yang mak saya cuba sampaikan.
BIAR ANAK SAKIT, JANGAN MAK YANG SAKIT
Andai semua ahli keluarga sakit sekalipun, seorang mak boleh jaga semuanya. Tapi bila mak seorang yang sakit, semua isi keluarga jadi tak tentu arah, segalanya jadi kucar kacir. Sesungguhnya benar sekali.
Ads
Mak saya juga cakap, kalau makanan dah siap, ada masa makanlah dulu. Jangan risaukan anak belum makan. Sebab mak yang kena bertenaga. Jangan tunggu masa sesuai untuk makan, sebab seorang mak tiada masa sesuai. Kerana mak tiada me time.
Kalau ada duit, rasa nak makan makanan mahal sikit tapi tak mampu nak beli untuk semua isi keluarga, belilah dan makan sendiri. Contohnya, teringin sangat nak makan aiskrim Connetto (dulu aiskrim ni kira mahallah). Belilah dan makan sendiri. Jangan rasa bersalah. Jangan rasa pentingkan diri. Sebab anak akan membesar, In Shaa Allah mereka akan ada masa untuk menikmatinya, mungkin lebih dari kita. Doakan rezeki anak-anak dimudahkan.
Cari ‘Me Time’ Sendiri
Sebagai mak, tak kiralah bekerja atau tak, kita tetap seorang mak. Kita tetap lalui perkara yang sama, tugas yang sama, rutin yang sama. Memasak, membasuh, mengemas, mencuci, mengajar, mendidik, membebel, semua tu tugas mak, tiada yang terkecuali. Carilah me time sendiri. Jangan tunggu me time itu datang, sebab ia takkan datang.
Ads
Tak perlu jadi sempurna untuk segalanya. Hidup ini bukan untuk jadi sempurna, tapi untuk dinikmati dan menyimpan bekalan untuk hari kemudian. Jangan peduli kata orang sebab orang bercakap takkan pernah berhenti. Puaskan hati sendiri, bukan untuk orang lain.
Hidup untuk memberi, tapi simpan sikit untuk diri sendiri. Bukan kerana pentingkan diri tapi kerana kita manusia, ada kelemahan, kita tahu penat. Berehatlah jika nafas dah makin laju, jangan paksa diri. Minta bantuan jika perlu, walaupun adakala bantuan yang diminta, tiada yang peduli. Andai sukar didik suami, didiklah anak untuk membantu.
Moga mak-mak diluar sana sihat selalu, sentiasa dilindungi Allah swt dan diberi pahala berlipat ganda di atas pangkat sebagai MAK.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, ada ketikanya seorang mak perlu ‘pentingkan diri sendiri’ untuk keperluan seluruh ahli keluarganya. Tak perlu rasa bersalah, hidup untuk memberi, tapi simpan sikit untuk diri sendiri.
Anak-anak adalah permata keluarga. Bagi memastikan dirinya terus bersinar, pendidikan yang baik harus diberikan. Ini kerana pendidikan atau ilmu adalah hak bagi seorang anak demi mengisi akalnya dengan baik.
Hanya dengan ilmu akal dan hatinya dapat menemukan makna yang terbaik buat diri dan lanjutan daripada itu akan lahirlah sebuah peribadi yang baik dan sejajar dengan nilai-nilai yang ditetapkan dalam Islam. Ia bermula dengan ilmu. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia.
Penyerapan Maklumat
Apabila bercakap soal ilmu, ia amat berkait dengan platform pendidikan bagi anak-anak. Tidak kira dalam konteks sekolah mahupun di rumah seharusnya dikotomi pendidikan tidak berlaku. Pembelajaran bukan hanya bertempat di sekolah. Ia harus bermula sejak anak mula mengenal alam kehidupan sehinggalah dia kembali ke liang lahad. Inilah hakikat pendidikan.
Bagi menentukan ilmu yang baik dapat disematkan, kita harus faham dan bijak meletakan keutamaan dalam pendidikan mereka. Sebagaimana yang kita ketahui, anak-anak ini pada awal usianya mudah menyerap apa sahaja maklumat yang terdapat dalam persekitarannya. Malangnya, dia belum mampu menyaring maklumat tersebut. Semua maklumat tersebut akan diserap secara “lump sum”.
Didik Anak tentang Sang Pencipta
Oleh sebab kehebatan mindanya ketika ini mampu menyerap segala jenis maklumat maka maklumat yang diberikan haruslah yang berbentuk asas dan penting dalam kehidupan sebagai seorang manusia iaitu yang memiliki tugas sebagai hamba dan khalifah Allah.
Pendidikan ini adalah pendidikan tentang tauhid dan iman yang memberikan anak pengetahuan dan makna bahawa dirinya adalah hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab yang harus ditunaikan demi untuk mendapat reda dan cinta Allah seperti bersyukur, mengenali Allah sebagai pencipta dan Tuhan Yang Esa.
Di samping itu, tetap berperanan sebagai khalifatullah yang bertanggungjawab mengelola urusan keduniaan sebaik mungkin kerana Allah. Di sini, anak-anak harus dididik tanggungjawab ibadah seperti tatacara bersolat, membaca Al-Quran dan pendedahan terhadap amalan-amalan beragama yang lain.
Saring Maklumat
Dalam pada itu, kekurangan mindanya yang masih belum mampu menyaring maklumat pula harus di pandu dengan menyaring terlebih dahulu maklumat yang ada dalam persekitarannya dan memberikan panduan berkala tentang apa sahaja maklumat yang sampai ke dalam persekitarannya. Di sini, ibu bapa harus berperanan sebagai contoh teladan yang terbaik untuk anak-anak. Kita harus berkorban dan berusaha sedaya mungkin untuk melakukan hijrah kepada yang lebih baik.
Prestasi dan akhlak diri harus dipertingkatkan, sunah-sunah Rasulullah s.a.w harus dijadikan panduan hidup bagi mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Perubahan ini akan membentuk persekitaran keluarga yang lebih positif dan membantu persekitaran tumbesaran anak-anak yang jauh lebih baik.
Pendidikan Tauhid
Oleh yang demikian, pendidikan yang harus menjadi keutamaan dalam mendidik anak-anak adalah pendidikan tauhid agar kehidupan anak dipasak kuat dengan pengenalan dan penggantungan yang tinggi kepada al-Khaliq yang Maha Besar. Pendidikan tauhid ini adalah hak anak-anak untuk kita penuhi.
Jika kita rasa tidak mampu menyediakan perkara tersebut dengan baik maka kita harus berusaha menambahkan ilmu berkaitan dengannya, melakukan perubahan diri dan persekitaran dalaman keluarga dan melakukan peneguhan dengan menghantarkan anak ke persekitaran sekolah yang memiliki hal tersebut agar anak-anak tidak terlepas daripada memilikinya.
Tetap Penting
Apabila menceritakan soal prioriti atau keutamaan, ia bukanlah menolak terus-menerus pendidikan berbentuk akademik seperti Matematik, Sains dan sebagainya. Malah kesemua ini amat penting untuk diketahui bagi melengkapkan dirinya selaku manusia yang memegang jawatan sebagai khalifatullah dan bertanggungjawab untuk mengelolakan alam.
Oleh yang demikian, pendidikan harus diberikan dengan baik kepada diri anak, dengan mengutamakan pendidikan tauhid, ibadah dan akhlak kemudian ilmu pengurusan diri dan persekitaran menerusi subjek-subjek akademik yang lainnya. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bagi seorang isteri, perkahwinan dan rumah tangga adalah segala-galanya. Mereka akan berkorban apa sahaja untuk rumah tangga dengan harapan untuk bahagia.
Namun ramai juga isteri yang tidak pasti perasaan sendiri. Adakah dia bahagia atau sebenarnya sedang sengsara? Bunyinya kedengaran mudah tetapi bisik emosi ini sukar ditafsirkan walaupun oleh tuan punya badan itu sendiri.
Kali ini saya kongsikan beberapa tanda-tanda yang sebenarnya memakan perasaan seorang isteri dari dalam. Ianya umpama sel kanser.
Hadirnya tidak terasa sehinggalah selepas segala-galanya sudah reput dan terlambat.
3 Tanda Emosi Isteri Tak Bahagia
Pertama : Selepas 2 Tahun Anda Sedar Banyak Kurangnya..
Setiap wanita terjun ke alam perkahwinan dengan anggapan dan harapan tinggi kepada pasangan mereka.
Anggapan itu terbina hasil daripada analisa sendiri, ‘promosi’ daripada bakal suami atau hasil cadangan daripada rakan-rakan atau keluarga.
Semuanya sudah tentu yang baik-baik dan hebat. Dengan anggapan-anggapan semua itu benar maka tinggilah juga harapan anda untuk bahagia.
Namun ramai isteri mengaku bahawa dalam masa dua tahun sahaja, mereka sedar bahawa banyak daripada apa yang dilihat pada suami tidak secantik yang dipandang.
Tidak ada manusia yang sempurna. Masalah timbul apabila anda terlalu mengharap yang lelaki itu memenuhi segala-gala anggapan dan harapan yang anda bina sebelum berkahwin.
Kedua : Hadam Maksud ‘ Pengorbanan & Kebodohan’ Itu Sempadannya Senipis Bawang
Anda mengungkit dan memprotes kelemahannya sehingga terlupa kebaikannya yang tersembunyi. Jika itu yang kerap kali berlaku sekarang maka anda menempah status sebagai isteri yang tidak gembira dalam perkahwinan sendiri.
Perkahwinan perlukan pengorbanan. Itu semua orang tahu tetapi pengorbanan itu perlu dilakukan dalam had dan sempadan yang sewajarnya.
Ada orang cakap ‘dalam sesebuah rumah tangga pengorbanan dan kebodohan’ itu sempadannya senipis kulit bawang. Tidak ada erti pengorbanan itu jika hati kecil anda meratap setiap malam kerana sedih dengan pengorbanan yang tidak dipedulikan itu.
Anda bukan isteri yang bahagia sekiranya merasa begitu.
Sekiranya hal ini sedang berlaku pada anda maka rujuklah kepada pihak yang boleh memberi bantuan. Hak-hak anda sebagai wanita dan juga sebagai isteri adalah jelas dan perlu dipertahankan. Itu beza antara isteri yang derita dan isteri yang bijaksana.
Ketiga : Termenung Itu Dah Macam Rutin Hidup
Selalukah anda termenung sendirian dan tertanya-tanya ‘adakah aku gembira atau derita dalam perkahwinan ini?’ Apakah bunyi jawapannya? Adakah anda seperti merenung dua helai kertas laporan dengan terlalu banyak contengan tebal markah merah berbanding dengan markah biru?
Gerak rasa emosi berada di dalam zon separa sedar minda. Ianya tidak boleh dikawal. Anda boleh berpura-pura gembira tetapi bayangan sedih dan hiba dalam mimpi adalah apa yang sebenarnya bersarang tebal dalam fikiran.
Jika anda selalu bermimpi sedih atau ngeri maka itulah bisikan emosi sebenar anda dalam perkahwinan itu. Izinkan saya bertanya, dalam dua minggu lepas bagaimana mimpi anda? Mimpi yang seronok atau mimpi yang menakutkan?
Orang cakap perkahwinan itu ialah saling melengkapi. Benar sekiranya itu satu perkahwinan yang bahagia. Namun itu tidak bermakna kita mesti menunggu orang lain datang melengkapi kekurangan yang kita ada sebelum kita boleh merasa bahagia.
Seperti yang saya katakan tadi, itu hanya harapan yang belum tentu menjadi kenyataan.
Bagaimana jika orang itu datang bukan datang melengkapkan tetapi lebih merosakkan apa yang telah anda miliki? Realitinya kita sendiri yang sebenarnya bertanggungjawab membina kebahagian itu.
Jangan Kecewa Jika Pasangan Tak Mahu Berubah..
Anda boleh mengharap dia berubah menjadi lebih baik tetapi adakah anda mesti merosakkan diri jika dia tidak mahu berubah? Bersedih, meratap dan mengutuk diri kerana merasa diri gagal mengubah perkara yang tidak mampu kita ubah adalah perkara sia-sia.
Sebab itu kita disuruh berusaha dan kemudian berserah kepada Allah SWT untuk menentukan.
Namun sebagai hamba-Nya kita diperintahkan untuk redha atas apa takdirnya. Jika takdirnya itu seperti yang kita mahu maka bersyukurlah. Sekira tidak maka sesungguhnya itu adalah yang terbaik dan Dia juga yang Maha Mengetahui.
Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Ci=onsultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita.
Semakin risau dengan aplikasi pelik-pelik yang muncul zaman sekarang, lagi kasihan yang terjebaknya wanita bertudung.
Mungkin anda punya pendapat yang berbeza, tetapi cuba renungkan sudut pandang daripada Ustaz Farid Rashidi ini. Agak-agak rasa betul ke tindakan kita publish video tergedik-gedik itu di media sosial?
Terjebak Dengan Aplikasi, Comel Tapi…
Sekumpulan lelaki sedang lepak-lepak di restoran. Sekejap mereka ketawa, sekejap senyum. Ralit memerhati telefon kawan mereka. Semuanya sedang fokus pada telefon bimbit yang satu itu.
Rupa-rupanya mereka sedang ketawa melihat aksi gadis melayu yang beraksi liar. Terkinja-kinja, tergedik-gedik bagai cacing terkena api. Semuanya dipertontonkan percuma di aplikasi Tik tok, Dubsmash, Bigo, IG Story, FB Story dll. Ya, secara percuma.
Aduhai. Malu hilang entah ke mana. Apalagi mahu memikirkan soal halal haram. Entah berapa juta mata lelaki melihat perlakuan itu.
Benarlah kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah:
“Siapa yang tidak ada malu, maka tidak adalah baginya sedikit pun dari nilai insaniah itu melainkan hanya tinggal daging, darah serta tubuh fizikal mereka.”
[Kitab Miftah Daris Sa’adah – Kunci Kebahagiaan Dunia Akhirat]
Kerana itu bila manusia hilang malu, dia akan berbuat apa saja hatta perangai haiwan pun dia sanggup tiru. Malah lebih teruk daripada haiwan ternakan. Nauzubillahhi minzalik. ?♂️
Sebuah hadis menyebut:
عَنْ أَبيْ مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ: صلى الله عليه وسلّم (إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُولَى إِذا لَم تَستَحْيِ فاصْنَعْ مَا شِئْتَ) رَوَاهُ اْلبُخَارِيّ
Dari Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr Al Anshari Al Badri r.a dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
”Sesungguhnya termasuk perkara yang didapati oleh manusia dari perkataan nubuwwah (kenabian) yang pertama adalah jika engkau tidak malu maka berbuatlah sesukamu.”
[Hadis Riwayat al-Bukhari, no.6120]
Antara akhlak Rasulullah SAW yang terhebat, malunya Baginda SAW melebihi malunya seorang anak gadis.
Di dalam Kitab Syamail Muhammadiyah dalam bab Sifat Malu Rasulullah SAW ada hadis menyebutkan:
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW lebih pemalu daripada seorang gadis yang berada di dalam biliknya. Jika beliau tidak senang kerana sesuatu, maka kami boleh mengetahuinya dari raut wajah beliau.”
[Hadis Riwayat at-Tirmizi, al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Ahmad, Abu Daud at-Thayalisi dan Ibnu Sa’d]
Marilah kita berpesan-pesan, ingat mengingati bersama. Sayang Rasulullah SAW kan?
Tolong beritahu anak gadismu (tak kiralah kalau mak-mak pun join sama, menari didapur sambil upload tik tok) tebalkan rasa malumu.
Andai hilang malu, menghilanglah segala maruahmu.
Dijemput share benda baik, ini tak perlu malu-malu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...