Bila suami anda bekerja dan terpaksa ke outstation, anda pula perlu ke pasar raya dan membawa anak-anak yang ramai. Allah… mana nak jaga anak, mana nak beli barang.
Mak anak 6 ini, Zaila Mohamad berkongsi tip keselamatan dan cara yang boleh mak-mak boleh praktik kalau dah terpaksa sangat keluar ke kedai atau pasar raya dengan ditemani anak-anak yang berderet.
Jangan Kongsi Status / Lokasi
Sebelum keluar memang aku akan bagitahu anak-anak suruh mereka bersiap. Setiap anak memang ada tugasan masing-masing. Contohnya Haziq akan siapkan adik-adik (pastikan adik-adik terutamanya si Aaliyah pakai kasut)
Husna akan siapkan botol air masak sebagai bekalan (nak jimat kan) dan sudah pastilah yang 3 orang lagi si Ashraf, Azzam & Arman memang tukang buat mama naik darah aje!
Sebelum keluar, hantar Whats App pada en suami bagitahu mahu keluar dan doakan kami anak beranak. Aku memang tak akan kongsikan lokasi atau gambar bila berada di luar, apabila sudah balik ke rumah baru muat turun gambar ke dalam Facebook.
Ini sebagai langkah privasi dan menjaga keselamatan keluarga juga. Kalau boleh duit ambil siap-siap dah, nak pergi ke pasaraya memang perlukan duit dan memang aku takde lah nak ambil duit di Plaza GM kalau hari cuti (sebab ramai orang beratur dan selalu kena cas RM1.06 sebab keluarkan guna mesin ATM MEPS) Ha ha ha Berkira!!
Jelaskan Undang-Undang (Rules) Kepada Anak-Anak
Alhamdulillah, walaupun pergi ke lubuk mainan (mana taknya kat situ segala jenis pemborong barang mainan ada) anak-anak tidak pernah mengamuk atau buat drama menangis berguling-guling atas jalan sebab nak kan mainan.
Sesekali ada lah bila Azzam Haneef tu yang minta belikan mainan tapi aku selalu buat tak layan. Anak-anak aku memang tak diajarkan dengan beli mainan sebab awal-awal lagi aku dah bagitahu yang “KITA AKAN KE GM KLANG SEBAB NAK BELI BARANG MAMA”.
Lagipun, aku tegaskan bahawa baik beli makanan daripada mainan. Ha ha ha Cuma kadang-kadang tu beli juga mainan kecil-kecil buat mereka untuk bagi semangat terutamanya Haziq yang banyak berkorban untuk jaga adik-adik.
Sebenarnya banyak lagi undang-undang seperti tak boleh beli jajan, tak boleh beli kasut roda, tak boleh beli Lego yang kadang-kadang membuatkan mereka putih mata sahaja melihat pameran mainan di sana 🙂
Kalau ke pasaraya seperti Subang Parade atau Aeon Big aku selalu jelaskan pada mereka yang aku hanya bawa RMXX jadi tak boleh nak beli barang yang bukan dalam senarai.
Ads
Kelihatan kejam tapi yang bagusnya mereka faham! Kalau yang sulung faham maka mereka akan menerangkan pada adik-adik dan mengelakkan adik-adik dari buat perangai juga.
Sentiasa Bersedia
Apabila kita seorang yang membawa kanak-kanak riang, maka kena sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang ada. Selalunya sebelum keluar pastikan mereka sudah makan kenyang-kenyang kemudian ada makanan sebagai umpan untuk anak-anak duduk diam di dalam kereta.
Perjalanan dari rumah ke Plaza GM Klang mengambil masa 20 minit sahaja. Selalunya di dalam kereta, sambil memandu aku akan membebel (lebih kepada memberi nasihat kepada anak-anak supaya memudahkan urusan mama nanti).
Sebelum keluar rumah juga aku akan Whats App pembekal untuk bungkus siap-siap barangan nanti. Jadi, apabila sampai memang terus tuju ke kedai pembekal sahaja.
Alhamdulillah setelah bertahun selalu berkunjung ke Plaza GM Klang, jadi aku sudah tahu lokasi parking yang sesuai untuk ibu anak ramai iaitu di bahagian parking bawah tanah sebelah lif.
Jadi, setiapkali berkunjung ke sini terus parking keluar kereta dan menuju ke atas kedai pemborong. Kalau pasaraya lain pun aku akan pastikan pergi ke tempat yang aku sudah biasa laluan dan lokasinya.
Macam semalam parking bawah tanah sebenarnya sudah penuh, jadi terpaksalah aku berlegar-legar sekeliling kawasan Plaza GM Klang tu. Alhamdulillah berkat doa anak-anak, sekejap sahaja pak guard datang buka untuk masuk parking ke kawasan tersebut.
Setkan “Buddy System” Untuk Anak-Anak
Sewaktu bekerja dahulu, semasa latihan kebakaran (fire drill) kami akan diberikan senarai nama pasangan kita iaitu dinamakan “buddy system” di mana jika berlaku kebakaran kita harus berlari turun ke tempat lapang dan cari di mana buddy kita berada.
Ads
Selalunya orang yang bekerja satu jabatanlah kan supaya senang nanti nak cari. Jadinya untuk anak-anak aku pun sama jugalah ; Haziq akan melihat Aaliyah, Husna pastikan Ashraf & Azzam berada dalam kawalan dan baby Arman aku yang jaga.
Tapi tengok keadaan juga, selalunya memang kena sentiasa lihat mereka, maklumlah Ashraf dan Azzam boleh tahan aktif juga, nak berlari lah, berlumba-lumba nak tekan lif.
Ya Allah memang kus semangat nak kejar mereka. Waktu macam ni memang tak boleh nak leka dan jangan nak mengadap telefon aje.
Selalunya kalau kami masuk lif, mata-mata lain akan kira berapa orang dan kalau ada makcik-makcik akan menegur “meriahnya pasukan” takpun ada yang akan cakap “ramainya anak”. Alhamdulillah aku terima aje, rezeki dan amanah dari Allah.
Haziq dan Husna memang banyak membantu dalam menjaga adik-adik. Untuk pengetahuan, aku ni seorang ibu yang garang juga, selalunya mereka berdua lah yang akan kena bebel sehingga lama kelamaan mereka faham akan tugas.
Tapi ada masa mereka juga selalu buat perangai tapi selalunya lepas kena marah (marah di sini bukan pukul tapi kena bebel) mereka akan minta maaf dan berubah jaga adik-adik.
Jangan Lepasi Limit Masa
Selalunya kalau keluar bersama dengan en suami ke pasaraya bersama anak-anak pun, kami memang ada had masa iaitu jangan lebih dari sejam kecuali kalau nak makan memang akan bertambah sejam lagi.
Ads
Bukan apa, awal-awal sampai mereka akan berlari-lari kejar-kejar sebab terlalu teruja, kemudian tenaga mereka akan semakin berkurangan. Haaaa kalau sudah melepasi fasa lebih sejam, mulalah yang akan merengek lapar, sakit kaki dan tak kurang juga buat drama.
Jadi, untuk mengelakkan berlakunya kejadian sebegini, aku memang tak akan berada di Plaza GM Klang tu lebih dari sejam
Sebab itu, aku selesa berurisan dengan satu kedai pemborong sahaja. Datang ambil barang bayar dan turun ke aras Ground untuk beli makanan buat mereka kemudian terus balik.
Kalau ke pasaraya aku suka ke Subang Parade sebab tak sesak dengan anak-anak muda. Sesuai sangat untuk keluarga yang mahu santai-santai, kalau bawa mereka aku akan singgah ke MPH mencari buku kemudian mencari roti di kedai Roti Boy.
Semudah begitu aje untuk menggembirakan mereka. Anak-anak aku ni asalkan dapat keluar dari rumah pun sudah “enjoy”!
Selalunya selepas sampai di rumah baru aku akan muat turun gambar atau berkongsikan status di Facebook. Bukan mudah untuk berniaga apabila kita tiada pembantu dan anak pula ramai berderet.
Sewaktu Arman masih kecil aku memang berehat sebentar dari berniaga dan banyak fokus pada jaga anak-anak sahaja. Yang penting diri kita juga harus sentiasa positif dan tidak terlalu bergantung pada suami
Sedikit pun aku tak rasa hebat tetapi sangat bersyukur kerana pengalaman ini banyak mematangkan diri sendiri tapi ada lah sesekali mengadu domba penat pada en suami. Ha ha ha Biasalah itu strategi untuk menagih simpati 😉
Itu sahaja yang aku mahu kongsikan. Buat surirumah, perkasakan diri dan jangan takut untuk berubah! Anak ramai bukan halangan untuk kita keluar rumah bersiar-siar.
Dengan persiapan yang rapi, insya Allah segalanya akan dipermudahkan Allah. Ok, jom bawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai buku. Pasti mereka akan gembira.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak ayah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya pada anak-anak. Namun lumrah setiap anak pastinya mempunyai karakter dan pencapaian yang berbeza.
Inilah sebenarnya ujian terbesar buat mak ayah agar dapat berlaku adil tidak membeza-bezakan anak-anak. Tiada istilah anak kesayangan mahupun anak tak guna pada anak-anak. Semuanya perlulah dilayan sama rata.
Perkongsian oleh Hj Hushim Hj Salleh, Kaunselor Motivasi ini wajar dijadikan peringatan buat mak ayah.
Pengalaman kes yang pernah ditangani apabila anak masih berdendam dengan arwah bapanya apabila membeza-bezakan diantara adik beradiknya.Anak tersebut dibandingkan dari segi kepandaian akademiknya yang kurang berbanding adik beradiknya yang lain. Kesan psikologi dan trauma yang dialami oleh anak tersebut, berbekas dan tersimpan sekian lama sehingga dewasa dan sampai ke tua.
Tambah Hj Hushim lagi, mak ayah kadangkala ‘mulut tak dijaga’ bezakan anak-anak dari segi warna kulit, pencapaian akademik, akhlak dan moral.Jangan bezakan anak lelaki dan perempuan. Peringkat awal remaja banyak cabaran yang harus mak ayah tempuhi.
Banyak kes yang ditangani, anak yang tak pandai itulah yang menjaga mak ayah sewaktu tua.Bila mana anak-anak yang bijak pandai,sibuk bekerja.Sebab itula jangan sesekali beza-bezakan anak-anak. Setiap anak pasti ada kelebihan masing-masing dan berhak dilayan sama rata.
“Kami tidak pernah merancang.” Syukur ada rezeki timang anak kedua selepas 17 tahun penantian. Tiada kata selain rasa syukur tak terhingga apabila sekali lagi diberi peluang menimang cahaya mata.
Benarlah jika sudah rezeki tak ke mana dan inilah Ketentuan Allah. Siapa sangka selepas 17 tahun menanti, Allah takdirkan sekali lagi menimang cahaya mata buat kali kedua.
Rezeki Anak Kedua
Rezeki datang tanpa diduga buat pasangan suami isteri, Norhafizi Mohamed dan Siti Aisyah Ibrahim apabila dikurniakan bayi perempuan selepas 17 tahun menunggu.
Kisahnya tular di TikTok selepas Siti Aisyah, 40, memuat naik video anak sulung, Muhammad Akmal Danial, 17, dan Nur Ayra Delisha yang dilahirkan pada 28 Ogos lalu.
Menurut Norhafizi, 44, yang menetap di Kampung Gong Kepas, Jertih, Terengganu, anak sulungnya dilahirkan pada 2004 iaitu tahun pertama perkahwinan mereka.
Kami Tidak Pernah Merancang
Menurutnya, dia dan isteri memang mengimpikan zuriat lagi cuma tiada rezeki buat mereka selepas itu.
“Kami tidak merancang dan isteri pernah hamil pada 2008 tetapi kandungannya itu keguguran dan dianggap kami tiada rezeki untuk menimang cahaya mata kedua ketika itu.
“Selepas mengalami keguguran, isteri tidak hamil dan bagi mendapatkan kepastian, kami bertemu pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan selain berikhtiar dengan menjalani rawatan kesuburan, Inseminasi Intrauterine (IUI).
“Bagaimanapun, masih tiada hasil namun kami tidak berputus asa malah teruskan hidup dengan membesarkan dan beri kasih sayang kepada Muhammad Akmal Danial,” katanya.
Selepas 17 Tahun Penantian
Berkongsi pengalamannya sejak ada cahaya mata kedua, Norhafizi mengakui agak kekok kerana sudah lama tidak menjaga dan menguruskan keperluan bayi.
Bagaimanapun, Norhafizi bersyukur kerana ada banyak waktu bersama anak keduanya itu memandangkan sudah bersara sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Mei tahun lalu.
“Bukan hanya saya malah isteri juga kekok kerana sudah lama tidak menguruskan bayi dan berjaga malam untuk menyediakan keperluannya.
“Seolah-olah kami baru pertama kali menimang cahaya mata walaupun pada hakikatnya pernah mempunyai pengalaman sebelum ini.
“Mujurlah saya sudah bersara jadi ada banyak masa bersama bayi kerana isteri bekerja sebagai jururawat di klinik kesihatan dan tidak lama lagi akan kembali bertugas selepas tamat cuti,” katanya.
Mulanya Tidak Gembira
Menceritakan penerimaan anak sulungnya, Norhafizi berkata, Muhammad Akmal Danial tidak gembira ketika kali pertama dapat tahu akan ada adik.
“Mulanya dia (Muhammad Akmal Danial) agak memberontak kerana bimbang kami beri perhatian lebih kepada adiknya kerana sebelum ini, dia anak tunggal jadi tumpuan untuknya saja.
“Bagaimanapun, segalanya berubah selepas Nur Ayra Delisha dilahirkan apabila Muhammad Akmal Danial yang paling teruja dan dia juga banyak menghabiskan masa melayan keletah adiknya itu di rumah.
“Sebagai bapa, saya suka melihat keakraban mereka berdua dan gembira apabila Muhammad Akmal Danial sudah ada teman baru di rumah lagipun kasihan juga kepadanya sebelum ini kerana sering diusik rakan gara-gara menjadi anak tunggal,” katanya.
Anugerah Terindah
Norhafizi menganggap kehadiran Nur Ayra Delisha dalam hidupnya dan isteri sebagai anugerah terindah yang menceriakan keluarga.
“Ini ketentuan Ilahi dan kelahiran Nur Ayra Delisha membuatkan seluruh keluarga teruja terutama keluarga belah saya kerana kebanyakan anak saudara sudah besar.
“Bagi pasangan di luar sana yang lalui perjalanan sama seperti saya dan isteri supaya bersabar, jangan putus asa dan terus berdoa kepada Allah,” katanya.
Mingguan Wanita : Bagi pasangan yang masih menanti kehadiran cahaya mata, jangan pernah berputus asa. Usaha dan ikhtiar selagi boleh, selebihnya serahkan kepada Allah SWT.
Walau sekecil mana pun gaji suami atau isteri bekerja pun, jangan sesekali lokek untuk memberi pada isteri. Sementelah isteri bekerja atau bergaji lebih besar daripada suami. Ini tidak, bila isteri mempunyai gaji sendiri, suami mula buat-buat lupa memberi isteri nafkah.
Memang isteri tidak meminta tetapi sebagai suami, kena ada rasa tanggungjawab. Jangan berkira untuk memberi pada isteri dan jangan sesekali meletakkan perbelanjaan rumah atas bahu isteri.
Kadang-kadang suami mula ambil mudah pasal perbelanjaan rumah apabila isteri mempunyai duit poket sendiri. Malah, suami pula mengharapkan isteri yang mengambil alih tanggungjawab untuk perbelanjaan rumah.
Bukan sahaja perbelanjaan diuruskan oleh isteri, bahkan suami mula kedekut keluarkan duit sendiri semata-mata untuk diberikan pada keluarga. Jangan begitu, bimbang rezeki makin berkurang. Jangan berkira-kira nak beri pada isteri, mana tahu dengan niat ikhlas suami, makin berlipat ganda rezeki yang Allah bagi nanti. Percayalah.
Inilah yang dikongsikan oleh Siti Suryani Yaakop tentang suami yang tidak pernah lokek pada isteri. Sanggup ketepikan keinginan semata-mata mahu dahulukan pada isteri. Asbab tidak lokek pada isterilah, ada rezeki yang tak disangka-sangka datang pada suami.
Baru mula nak lepak sambil makan kacang tadi, tetiba bertalu-talu masuk whatsapps.
Kawan saya meluahkan rasa sebak dan terharu. Dia bagitahu suami dia dapat hadiah utama cabutan bertuah. Televisyen!
Ironinya, suami dia memang teringin betul nak beli TV baru macam ini bulan lepas.
TAPI… Tak jadi beli. Sebab apa tak jadi? SEBAB… Suami dia belikan kawan saya ni gelang. Sempena ulangtahun perkahwinan diaorang baru-baru ini. Gelang pulut dakap yang orang duk terliur sangat tu. Hah!
Pengorbanan Suami
Baru saja berborak dengan kawan saya tadi tentang post saya baru-baru ni. Tentang pengorbanan. Pasal ikhlas dan pasal sabar. Tup-tup hari ini kena kat dia sendiri.
Sungguh lah kan.
Rezeki Allah.
Tak pernah salah.
Rezeki tu kalau dah kita punya, pusinglah kot ceruk mana pun. Pasti akan jadi milik kita juga akhirnya. Cuma tinggal lambat dengan cepat je.
Ikhlaskan Hati
Ikhlas menggembirakan orang walau terpaksa mengorbankan kehendak kita tu, sakit. Tapi, sungguh. Besar nilainya sisi Tuhan. Dan pasti. DIA akan beri ganti sebagai ganjaran.
Macam Allah janji. Jangan lokek dengan isteri. Kalau murah hati dengan dia, gembirakan hati dia, Allah pasti akan tambah lagi.
Dan….
Sebagai pengajaran terakhir.
Kalau teringin nak apa-apa, tunggu!
Pergilah belikan isterimu gelang dulu.
Eh!
MW: Jangan berkira nak bagi sesuatu pada pasangan. Baik isteri atau suami. Insya Allah, kalau ikhlas lagi banyak yang Dia beri. Cuma kita kena sabar. Cepat atau lambat saja.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...